suria

Dilabel pondan antara sebab lelaki malas belajar masak... 4 manfaat ini mungkin boleh ubah presepsi anda

Lelaki harus belajar memasak agar boleh berdikari dan belajar berdiri atas kaki sendiri.

SEJAK kebelakangan ini terdapat banyak video memperlihatkan kaum lelaki memasak sama ada di asrama atau di rumah sehingga berlaku kekecohan apabila ada yang lari lintang pukang sebaik sahaja mencampak ikan ke dalam kuali.

Itu belum lagi ada yang memasak mi segera dalam baldi - Gelagat itu mungkin nampak melucukan tetapi pada masa sama menunjukkan aktiviti memasak masih perkara 'asing' buat kaum lelaki.

ARTIKEL BERKAITAN: Pandemik tak halang Jid Kay berkarya, koleksi ‘Malaysia Kita’ angkat keunikan kaum dan budaya sempena Kemerdekaan

Ada sesetengah lelaki yang merasakan kerja memasak adalah tugas orang perempuan semata-mata dan menganggap lelaki tidak sepatutnya berada di dapur.

Jika seorang lelaki itu rajin ke dapur atau pandai memasak dia akan digelar pondan. Ejekan seperti itu juga membuatkan ramai yang tidak mahu belajar memasak.

Sebenarnya, tidak ada apa yang perlu dimalukan sekiranya lelaki tahu memasak dan rajin ke dapur. Sebaliknya memiliki kemahiran memasak memberi banyak kelebihan.



Memasak membuatkan hidup seorang lelaki lebih berkualiti.

1. Berdikari

Memasak sebenarnya adalah kemahiran yang perlu ada pada setiap orang tidak kira apa gender mereka. Ia boleh mengajar kita untuk tidak bergantung kepada orang lain dan lebih berdikari.

Apatah lagi jika hidup membujang - tiada emak atau kakak yang akan melayan selera makan anda. Paling tidak belajar perkara asas memasak.

2. Hidup lebih berkualiti

Jika mempunyai kemahiran memasak, pasti kita boleh masak sendiri di rumah. Selain dapat berjimat, anda juga boleh memperbaiki kualiti hidup yang sihat.

Membeli makanan di luar tidak semestinya menyihatkan kerana kita tidak tahu bahan apa digunakan dan mungkin boleh menyebabkan penyakit seperti kolestrol, darah tinggi, cirit-birit dan sebagainya.

Masak sendiri, sekurang-kurangnya kita tahu bahan yang digunakan dan tentukan sendiri apa yang sepatutnya masuk ke dalam perut kita.



Dedahkan aktiviti memasak kepada anak lelaki sejak mereka kecil.

3. Melatih diri

Ketika memasak, seseorang itu akan menjadi lebih peka, bukan sahaja tumpuan kepada hidangan yang disediakan tetapi ketelitian dan kesabaran dalam menghasilkan sesuatu.

Memasak juga dapat menajamkan deria rasa kita. Tidakkah anda rasa bangga dapat sediakan masakan yang enak dan disukai orang lain?

4. Lebih menghargai

Apabila tahu memasak, ia akan membuatkan seseorang rasa lebih menghargai kesusahan untuk menyediakan sesuatu makanan. Ia juga membuatkan kita lebih menghargai jasa dan pengorbanan seorang ibu.

Apabila perasaan itu wujud, apabila berkahwin kelak, seorang lelaki lebih bertanggungjawab dalam meringankan beban isteri. Rumah tangga juga jadi lebih harmoni.

Ia sekaligus mengikis sikap pentingkan diri dan tidak peduli yang ada dalam diri. Akhir kata, kaum lelaki - belajarlah memasak hari ini juga!

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Lelaki, Memasak, Dapur, Pondan, Berdikari

Artikel Berkaitan

Artikel Lain