suria

Doktor lincah mengajar bekas pesakit kanser Zumba... “Jika ada yang ‘tewas’ saya emosional”

Dr Nahar mempunyai pengalaman dalam mengajar Zumba.

APABILA bercakap mengenai aktiviti kecergasan dan zumba, ada satu nama yang menjadi bualan dalam kalangan bekas pesakit kanser iaitu Prof Madya Dr Mohd Nahar Azmi Mohamed.

Golongan wanita terutamanya cukup suka dengan kelas yang diadakan Dr Nahar dan pesakit sanggup menunggu berbulan-bulan lamanya untuk mendapatkan rundingan dengannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengalaman kehilangan ahli keluarga akibat Big C dorong Nurul Izza tawar khidmat jururawat hospis, mesejnya... elak hidup dengan penyesalan

Setiap pagi Sabtu, suara ketua Jabatan Perubatan Sukan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) itu kedengaran cukup lantang sambil melakukan gerakan bersama lagu rancak ketika mengajar kelas Zumba dan aerobik kepada bekas pesakit barah yang mendapatkan rawatan di hospital itu.

Peserta yang menyertai kelas itu semuanya tersenyum sambil cuba mengikut gerakan yang ditunjukkan Dr Nahar.



Dr Nahar mempunyai hubungan akrab dengan semua peserta program ESG.

Sejak 2012, Dr Nahar tidak pernah terlepas mengadakan kelas itu dan mengajar peserta secara sukarela setiap Sabtu kecuali sekiranya dia balik ke kampung halaman di Johor atau bercuti ke luar negara.

Semuanya bermula pada akhir tahun 2011 bersama Malaysian Breast Cancer Survivorship Cohort Study - sebuah projek kolaborasi di antara Universiti Malaya dan Queens University of Belfast, Ireland Utara - yang dibiayai oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Tujuannya adalah untuk mengubah gaya hidup (pemakanan, aktiviti fizikal), kesihatan mental dan kualiti hidup dalam kalangan wanita Malaysia berbilang kaum yang menghidap barah payudara.

Sebagai perunding perubatan sukan, Dr Nahar memberitahu dia ditugaskan untuk mengkaji komponen aktiviti fizikal yang sesuai untuk golongan ini.

"Penyelidikan menunjukkan bahawa senaman tidak hanya selamat tetapi boleh dilakukan semasa pesakit dalam rawatan barah. Ia dapat meningkatkan fungsi fizikal dan kualiti hidup pesakit, ”katanya.



Dr Nahar mahu semua bekas pesakit kanser berdikari dan tahu tentang kepentingan senaman.

Kumpulan sokongan senaman pertama (ESG) yang terdiri daripada 15 bekas pesakit barah bertemu setiap Sabut selama enam bulan untuk menjalani satu set latihan sistematik agar tetap cergas dan dapat menjalani gaya hidup sihat serta mencegah kanser daripada kembali.

Peserta akan bersenam di gimnasium, membuat latihan kardiovaskular termasuklah Zumba. Aktiviti peserta juga akan dipantau dan data diambil bagi melihat perkembangan mereka.

"Saya dapat menjalin hubungan erat dengan semua peserta dan ada di antara mereka yang bertanya apa akan terjadi kepada mereka sekiranya saya tidak lagi mengajar... Ia cukup menyentuh hati saya. Sehingga kini, jika ada pesakit yang tewas dalam pertarungan mereka, saya yang akan emosional.

"Tujuan saya adalah untuk memberi sokongan sambil mendidik mereka mengenai pelbagai aspek senaman. Sebahagian besar daripada mereka tidak terdedah kepada teknik yang betul.

"Malah ramai peserta turut mengajak rakan-rakan senasib yang lain menyertai aktiviti itu dan saya tidak boleh katakan tidak. Ramai daripada mereka yang datang dari jauh," katanya yang turut dibantu oleh seorang sukarelawan.



Selain bekas pesakit kanser, Dr Nahar turut mengajar petugas barisan hadapan.

Memandangkan ia mendapat sambutan hangat dalam kalangan bekas pesakit kanser, ia menjadi program rasmi dibawah Jabatan Perubatan Sukan, UMMC dan terbuka kepada semua bekas pesakit kanser. Ketika ini, ia mempunyai 200 ahli.

Sementara itu, selain memfokuskan kepada program ESG, Dr Nahar juga turut mengajar tiga kelas lain untuk kakitangan UMMC dan petugas barisan hadapan.

"Saya mesti mengawal jumlah peserta kerana ruang yang terhad, biasanya ada sekitar 40 hingga 60 orang. Dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, kelas ESG telah beralih ke sesi langsung di Facebook dan saya melakukannya setiap hari supaya lebih ramai dapat mengambil bahagian... kini terdapat 1,500 orang!" katanya.

Jadualnya memang padat tetapi Dr Nahar tetap meluangkan masa berkualiti bersama keluarga pada hujung minggu.

"Jika saya bersara, saya berharap dapat memiliki sebuah tempat yang membolehkan saya terus mengajar bekas pesakit tentang kepentingan senaman dan menjaga kesihatan.

"Peserta sangat membantu peserta lain dan dengan cara ini juga mereka dapat berkongsi maklumat, pengalaman agar tetap positif dalam meneruskan kehidupan," ujarnya. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain