suria

Jururawat berpengalaman jaga pesakit strok kongsi rahsia kuasai 5 bahasa termasuk Arab

Nisha Andrea Raj mempunyai pengalaman 10 tahun dalam penjagaan pesakit angin ahmar dan menguasai lima bahasa dengan baik.

ORANGNYA kecil molek namun semangatnya mahu membantu pesakit yang tidak berdaya akibat serangan penyakit angin ahmar cukup mengagumkan.

Apa yang lebih mengagumkan, Nisha Andrea Raj bukan sahaja mempunyai pengalaman 10 tahun sebagai jururawat dalam rawatan strok malah dia juga fasih berturut dalam lima bahasa. Selain bahasa Melayu, Tamil dan Inggeris, Nisha, 31, fasih berbahasa Mandarin dan bahasa Arab!

ARTIKEL BERKAITAN: Dari kokpit ke restoran... 5 kapten bersemangat ubah nasib, berani ceburi bidang baharu

Bercerita mengenai penguasaan bahasanya itu, Nisha menjelaskan dia memang suka mempelajari bahasa dan peluang bekerja di Singapura dan Arab Saudi sebelum ini telah memberi peluang kepadanya mempelajari dua bahasa itu.

"Saya belajar bahasa Mandarin dan Arab kerana bukan sahaja saya suka tetapi ia turut memudahkan komunikasi bersama pesakit yang kebanyakannya sudah tua.

"Pengalaman tidak dapat memahami apa cuba disampaikan pesakit membuatkan saya nekad mempelajari bahasa Mandarin dan Arab dan ternyata usaha itu mendatangkan hasil.

"Ia bukan sahaja membuatkan hubungan di antara saya dan pesakit bertambah mesra tetapi komunikasi dua hala banyak memudahkan tugas dan proses penyembuhan pesakit," katanya kepada mStar.



Nisha (bawah, kanan) bersama rakan sekerja di Homage.

Berkongsi mengenai cara dia mempelajari kedua-dua bahasa itu, Nisha menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang teknik khusus namun lebih banyak belajar daripada pemerhatian dan latihan komunikasi.

"Antara faktor yang memudahkan proses belajar bahasa adalah menetap di negara itu sendiri. Seperti di Arab Saudi, memang kebanyakan orang di sana berbahasa Arab, jadi mahu tidak mahu saya perlu belajar.

"Apabila setiap hari mendengar dan cuba tangkap apa mereka bualkan, ia lebih mudah dan lama-kelamaan kemahiran itu datang dengan sendirinya," jelasnya yang menetap selama lima tahun di Arab Saudi ketika bertugas di Pusat Perubatan King Abdul Aziz.

Sementara itu, bercakap mengenai pengalaman bertugas di luar negara, Nisha menjelaskan ia banyak membantunya memantapkan lagi kemahiran dan pengetahuannya dalam penjagaan pesakit strok.

Semua ilmu yang diperoleh ketika bertugas di Singapura dan Arab Saudi kata Nisha digunakan bagi membantu pesakit strok di Malaysia.

"Terlalu banyak pengalaman dan ilmu yang saya kutip. Kedua-dua negara itu mempunyai kaedah dan tata kerja berbeza dalam menguruskan pesakit strok termasuk kaedah fisioterapi yang dilakukan.

Apabila setiap hari mendengar dan cuba tangkap apa mereka bualkan, ia lebih mudah dan lama-kelamaan kemahiran itu datang dengan sendirinya.

NISHA ANDREA RAJ

JURURAWAT RAWATAN STROK HOMAGE

"Apa yang saya pelajari di luar negara selama 10 tahun memang berguna dalam membantu pula pesakit di negara ini," katanya yang kini bertugas sebagai Pakar Penjagaan di Homage.

Menjelaskan tugasnya kini, Nisha memberitahu di Homage mereka menawarkan penjagaan pesakit di rumah selain mengoptimumkan penjagaan bersama ahli keluarga pesakit.

Dalam pada itu, Nisha menjelaskan penjagaan dan rawatan terhadap pesakit angin ahmar sebenarnya berbeza-beza mengikut keadaan pesakit dan perkara ini sebenarnya sering diabaikan disebabkan kekurangan kefahaman mengenai penyakit tersebut.

Jelasnya, ahli keluarga biasanya akan berharap pesakit dapat kembali sembuh dengan segara namun proses pemulihan itu memerlukan kesabaran memandangkan ia melibatkan pemulihan sistem neuromuscular melibatkan pergerakan, keseimbangan badan, mobiliti, keupayaan berjalan dan koordinasi pergerakan.

"Terdapat pelbagai terapi yang boleh dilakukan terhadap pesakit seperti fisioterapi, terapi kerja, terapi percakapan dan sebagainya. Kesemua terapi ini perlu dilakukan secara berhemat dan teratur bagi memastikan pesakit dapat berdikari.

"Paling utama dalam semua terapi ini adalah sokongan keluarga agar pesakit tidak berasa sendirian atau berputus asa dengan keadaan dirinya. Kehadiran jururawat juga bukan sahaja menggalakkan pesakit tetapi keluarga.



Nisha juga sering terlibat dalam kempen dan ceramah kesedaran mengenai strok.

"Di sinilah komunikasi itu sangat penting dan kemahiran berbahasa dapat merapatkan jurang agar pihak keluarga lebih memahami tentang rawatan serta pertolongan yang mereka boleh berikan kepada pesakit," jelasnya.

Sokongan dan pemahaman keluarga sangat penting kata Nisha kerana proses terapi dan pemulihan pesakit memerlukan perhatian dan rutin tetap setiap hari.

Atas sebab itu juga katanya, ahli keluarga juga perlu memainkan peranan agar mereka juga tidak berasa tertekan apabila pesakit tidak menunjukkan perubahan besar dalam proses pemulihannya.

"Perkara ini juga saya sering tekankan dan pandang serius kerana ahli keluarga sangat memainkan peranan, jadi amat penting mereka memahami situasi pesakit dengan baik selain rutin tetap dan teratur dapat membantu agar mereka tidak berasa tertekan," katanya.

Atas dasar itu juga kata Nisha, masih banyak program kesedaran terhadap masyarakat dilakukan mengenai penyakit angin ahmar terutamanya dalam mengenali gejala, komplikasi serta menghadapi detik kecemasan sekaligus membantu pesakit diserang strok mendapat rawatan segera.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain