suria

Jika dulu bermain patung Barbie, kini ratu gimnas Farah Ann teruja dirinya boneka edisi khas kempen global

Farah Anne bersama boneka Barbie menyerupai dirinya. Foto Instagram @farahann94

PATUNG Barbie cukup sinonim dalam kalangan kanak-kanak perempuan sebagai barangan mainan dan peneman setia malah ada menjadikan ia sebagai koleksi peribadi.

Bagi ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, sejak kecil dia juga seorang penggemar patung Barbie malah sering bermain dengan membuat gerakan gimnastik sambil berangan-angan ia sedang membuat persembahan di stadium.

ARTIKEL BERKAITAN: Membesar sebagai 'slow learner' bukan alasan cipta kejayaan... Madiha Fuad kini uruskan 5 syarikat, bangun aplikasi bantu individu murung

Namun hakikatnya ia bukan sekadar angan-angan, Farah kini adalah antara gimnas terbaik dunia dan paling menggembirakan apabila dia turut mempunyai patung Barbie sendiri.

Pihak Barbie bersama Mattel mengeluarkan edisi patung Barbie menyerupai dirinya menerusi kempen You Can Be Everything dalam usaha jenama itu mendorong remaja menceburi bidang sukan.

Boneka khas itu dibuat menyerupai dirinya iaitu berambut hitam dan mengenakan pakaian merah jambu, putih dan emas, seperti mana yang dipakainya ketika di Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur dan Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast.



Farah terkejut apabila dimaklumkan pihak Barbie yang ingin menghasilkan boneka untuknya.

Diberi nama Shero, ia adalah yang pertama dan satu-satunya yang dicipta di Malaysia namun ia tidak dijual kepada umum.

Farah memberitahu dia terkejut apabila mendapat panggilan daripada pihak Barbie yang memaklumkan mereka ingin menghasilkan patung tersebut untuk dirinya.

Malah kata Farah, dia tidak pernah bermimpi untuk mempunyai pantung Barbie menyerupai dirinya meskipun boneka itu adalah antara permainan kegemarannya ketika kecil.

"Saya tidak pernah bermimpi untuk mempunyai patung Barbie yang menyerupai diri saya. Sudah tentu saya sangat gembira dan bersyukur terpilih dalam projek itu. Ia adalah penghormatan luar biasa buat diri saya," katanya yang akan beraksi mewakili negara di Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun.

Sementara itu, Farah memberitahu dia juga teruja kerana penghasilan patung itu bukan sahaja untuk dirinya sebaliknya ada tujuan lebih besar di sebalik boneka tersebut dalam memberi inspirasi kepada generasi muda terutamanya kanak-kanak perempuan dalam mengejar impian mereka.

"Impian setiap kanak-kanak perempuan harus dipupuk dan mereka harus diberi peluang untuk mencapai apa yang mereka inginkan dalam hidup.

"Saya percaya semua gadis harus diberi peluang untuk mengejar cita-cita mereka termasuk sebagai atlet. Saya sangat beruntung dan bertuah dapat bersama-sama menyampaikan mesej itu dengan harapan semua cita-cita mereka tercapai,"jelasnya.

Selain Farah, atlet Malaysia yang lain turut dipilih menjadi model Barbie adalah legenda skuasy negara, Nicol Ann David, penerjun Olimpik Leong Mun Yee, jaguh tenpin boling Shahlin Zulkifli dan atlet luncur ais pecut, Anja Chong.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain