suria

Harta 7 keturunan pun tak habis tetapi jutawan ini pilih hidup sederhana... Kenali siapa mereka

Siapa yang tidak mengenali Mark Zuckerberg, pengasas Facebook yang memiliki kekayaan luar biasa.

JET peribadi, pulau persendirian, rumah percutian, kereta mewah, barangan berjenama dan mengelilingi dunia adalah antara hasrat yang terpendam sekiranya kita diberi peluang untuk menjadi jutawan.

Bagaimanapun sebenarnya masih terdapat beberapa jutawan yang menjalani kehidupan sederhana meskipun mereka hanya boleh memetik jari untuk mendapatkan apa diinginkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Membesar sebagai 'slow learner' bukan alasan cipta kejayaan... Madiha Fuad kini uruskan 5 syarikat, bangun aplikasi bantu individu murung

Golongan ini menggunakan wang mereka untuk mengembangkan perniagaan selain membantu golongan memerlukan. Jom kenali siapa mereka ini.

1. Warren Buffet

Warren Buffet atau lebih dikenali dengan nama jolokan Oracle of Omaha, adalah seorang pelabur terkenal Amerika, CEO Berkshire Hathaway serta dermawan.

Menurut Forbes, Buffet juga merupakan salah seorang individu terkaya di dunia dengan nilai kekayaan AS$72 bilion.

Namun siapa sangka, di sebalik kekayaan dimilikinya, Buffet masih tinggal di rumah yang dibelinya pada 1958 dengan harga AS$31,500 malah ketika berkahwin buat kali kedua, Buffet hanya mengadakan majlis itu di rumah anak perempuannya.

2. Mark Zuckerberg

Pada usia 31 tahun, tak ramai orang boleh mencapai kejayaan seperti mana dilakukan oleh pengasas Facebook, Mark Zuckerberg.

Meskipun mempunyai kekayaan berbilion dolar namun Zuckerberg tidak pernah meninggalkan kehidupan ringkas sebelum dia bergelar jutawan.

Zuckerberg mengakui hanya mempunyai satu almari di dalam biliknya untuk menyimpan baju-T yang kebanyakannya berwarna kelabu.

Dia juga tidak pernah menayangkan kekayaannya malah dia hanya memandu sebuah kereta jenis Volkswagen Golf yang hanya berharga AS$20,000.

3. Carlos Slim

Carlos Slim Helú mengumpul kekayaan menerusi pegangan dalam pelbagai perniagaan di Mexico.

Walaupun dia memiliki syarikat hartanah yang membina kediaman mewah di Mexico, Slim masih menetap di kawasan yang sama dia dibesarkan.

Slim tidak pernah berniat untuk berpindah daripada rumah yang sudah berusia 30 tahun itu kerana ia meninggalkan banyak kenangan buat dirinya.

Jutawan itu tidak memakai jam tangan mahal, dia juga tidak mempunyai kapal layar atau barangan mewah yang lain.

4. Amancio Ortega

Pemilik jenama Zara, Amancio Ortega adalah usahawan fesyen terkenal Sepanyol yang mempunyai nilai kekayaan AS$74 bilion.

Dengan jumlah kekayaan itu, Ortega boleh memiliki apa diimpikan seperti pulau persendirian, jet peribadi, rumah mewah dan sebagainya.

Tetapi, Ortega memilih untuk hidup secara sederhana dan dia bersama isteri hanya tinggal di sebuah pangsapuri di La Coruna.

Lebih mengagumkan adalah Ortega sering berinteraksi dengan pekerjanya tanpa mengira pangkat dan makan tengah hari bersama mereka di kantin syarikat.

5. Christy Walton

Apabila John T. Walton yang juga anak kepada pengasas rangkaian pusat beli-belah Walmart, Sam Walton meninggal dunia dalam satu insiden nahas helikopter pada 2005, isterinya mewarisi 50 peratus daripada kekayaannya.

Meskipun Christy Walton berjaya mengembangkan Walmart sebagai pusat beli-belah terbesar di Amerika namun dia masih menjalani kehidupan sederhana.

Christy memilih untuk membesarkan anak lelakinya di kawasan perkampungan di San Diego dan tinggal di sebuah rumah lama. Apabila mereka berpindah, dia mendermakan rumah itu kepada organisasi kebajikan.

6. Tony Hsieh

Jika anda penggemar fesyen pasti akan tahu jenama Zappos, peruncit kasut dan pakaian dalam talian. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tony Hsieh adalah seorang jutawan yang menghasilkan AS$265 juta pada 1999 dengan menjual salah satu perniagaannya kepada Microsoft.

Sepuluh tahun kemudian, dia juga menjual Zappos kepada Amazon dengan harga AS$1.2 bilion menjadikan Tony mampu memiliki apa sahaja yang didamkan.

Tetapi kemewahan tidak membuatnya gembira sebaliknya Tony lebih selesa menjalani kehidupan sederhana serta hanya memiliki beberapa pasang kasut.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain