suria

Korban masa bermain, 2 sahabat tubuh platform online selepas simpati lihat nasib makcik diberhentikan kerja

Jishnu (berdiri) dan Rakhael baru berusia 12 tahun tetapi mereka sudah memiliki perniagaan platform atas talian. -MURAIN SHANMUGANATHAN

DUA sahabat baik, Jishnu Maruthamutu, 12, dan Rakhael Tanabalan, 12, sering tidak berenggang dengan komputer riba mereka biarpun di malam hari.

Ibu bapa mereka tidak risau kerana menyedari kanak-kanak itu menggunakan masa lapang dengan melakukan sesuatu yang menguntungkan dan produktif.

Pada September lalu, mereka menubuhkan portal makanan dalam talian yang menjual snek tradisi India, gula-gula dan juga kek yang dibuat secara homemade.

Kanak-kanak itu memperoleh idea tersebut setelah ibu saudara Jishnu diberhentikan kerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac akibat pandemik Covid-19.

Jishnu kasihan melihat ibu saudaranya itu mula menjual muruku dan biskut untuk mendapatkan wang tambahan.

"Ibu saudara saya minta bantuan saya untuk menyiarkan gambar makanan ringannya di media sosial kerana dia tidak biasa dengan cara pemasaran dalam talian. Saya rasa simpati padanya dan menyedari terdapat ramai orang seperti ibu saudara saya yang mengalami masalah kewangan kerana wabak ini.

“Ayah saya dan ibu bapa Rakhael mendorong kami untuk melakukan sesuatu yang berfaedah daripada bermain permainan komputer. Kami menyahut cabaran untuk membantu ibu saudara saya dan individu lain yang memerlukan platform untuk menjual produk buatan sendiri, ” kata Jishnu dalam satu wawancara menerusi emel baru-baru ini.



Jishnu (kanan) dan Rakhael menawarkan snek tradisi India buatan sendiri di portal makanan mereka.

Wabak Covid-19 yang melanda negara ini menyaksikan peningkatan jumlah platform makanan dan perkhidmatan penghantaran dalam talian.

Kebolehcapaian produk dalam talian membolehkan pengguna kekal duduk di rumah sambil menikmati kemudahan e-dagang.

Perniagaan kuliner dalam talian juga mengalami pertumbuhan pesat.

Lebih ramai pengusaha makanan dari rumah memperoleh keuntungan daripada hobi mereka dengan menjual makanan di laman media sosial seperti Instagram dan Facebook.

Pelajari platform dalam talian

Jishnu dan Rakhael melihat situasi ini sebagai peluang untuk memulakan usahasama baharu bagi membolehkan pengusaha makanan dari rumah memperoleh pendapatan tambahan.

Mereka beralih kepada platform e-dagang seperti Shopify dan WooCommerce untuk mempelajari taktik peniagaan.

"Ketika pertama kali mulai meneliti, kami menemui beberapa laman web yang menunjukkan kepada kami contoh kanak-kanak di seluruh dunia yang menjual barang dalam talian. Sebilangan dari mereka berusia seawal lapan tahun.

"Kami mendapat inpsirasi daripada kisah-kisah ini. Dan jika kami dapat melakukannya, semua orang juga dapat melakukannya," kata Rakhael yang juga murid tahun lima di sebuah sekolah swasta di Cheras.

Jelas Jishnu, mereka beralih kepada video tutorial pemasaran di Facebook dan YouTube untuk menubuhkan platform dalam talian.

“Ia sangat menarik. Kami belajar cara menaikkan posting di Facebook dan menggunakan alat untuk melihat berapa banyak yang menyukai posting kami. Kami tertarik untuk memahami cara seluruh dunia digital ini berfungsi, ” katanya.

Namun kanak-kanak itu tidak melakukan perkara tersebut bersendirian.



Maruthamutu (kiri) sentiasa membantu Jishnu dan Rakhael memperbaiki portal makanan mereka.

Mereka bersyukur kerana Maruthamutu, pengurus program di syarikat teknologi yang mengembangkan penyelesaian platform digital, selalu menghulurkan bantuan.

"Kadang-kadang, saya dan Rakhael tidak memahami fungsi Shopify seperti menghubungkan video dari YouTube dan gerbang pembayaran. Ayah meluangkan masa untuk memberi inspirasi kepada kami menerusi pandangannya, dan mengajar kami cara dunia e-dagang berfungsi," kata Jishnu.

Fokus utama

Maruthamutu, 47, menjelaskan: "Jishnu dan Rakhel sibuk memikirkan idea untuk laman web mereka yang baru dilancarkan. Mereka selalu mendapat inspirasi untuk memodenkan lagi laman web ini, termasuk menguruskan produk, mengadakan promosi baru dan kandungan video, lebih bebas. Masa bermain mereka dikurangkan dengan memperbaiki laman web tersebut.”

Di atas platform tersebut, mereka menawarkan barang-barang buatan sendiri seperti gula-gula tradisional, kuih-muih dan makanan ringan.

Ibu saudara dan rakan keluarga masing-masing menyediakan barang makanan untuk dijual di laman web mereka.

"Sebelum kami menyenaraikan barang makanan di laman web, kami harus melakukan food tasting pada makanan terlebih dahulu. Kami mesti menyukainya.

“Memandangkan Deepavali akan dirai tidak lama lagi, kami mahu fokus pada biskut buatan sendiri untuk sambutan tersebut, ” katanya.

Menurut Jishnu, ramai rakan dan ahli keluarga menyokong usaha mereka selain beberapa individiu turut menyatakan minat mereka menerusi Facebook dan Instagram.

“Kami juga mendapat jualan dari Kedah. Namun kami berharap pengusaha makanan berbakat ini boleh menjana wang secara dalam talian menerusi produk yang mereka pasarkan," katanya.



Tanabalan (kiri), Rakhael, Jishnu dan Maruthamutu melakukan food testing pada makanan terlebih dahulu sebelum memasarkan produk tersebut.

Hubungan kekeluargaan

Maruthamutu dan bapa Rakhael, Tanabalan S. Thermalsamy, 40, membantu mereka melakukan pendaftaran syarikat dengan membuka akaun bank, menyiapkan produk dan membuat gerbang pembayaran.

"Ibu kami pula membantu mengatur proses operasi, dari urusan pertanyaan hingga menyelesaikan penghantaran. Mereka juga membantu kami dengan pemotretan produk," kata Rakhael yang membantu menguruskan promosi di Facebook dan Instagram.

Mengenai bagaimana mereka membahagikan masa antara sekolah dan mengurus laman web, Rakhael berkata: "Kami berdua pergi ke sekolah yang sama tetapi berada di kelas yang berbeza. Memandangkan PKP, setiap hari kami akan belajar secara dalam talian, menyiapkan kerja sekolah dan bersukan di sebelah petang. Kami akan fokus kepada laman web bermula pukul 9 malam.

"Seminggu sekali, kami mengadakan perjumpaan dengan bapa kami mengenai cara memperbaiki laman web e-dagang tersebut," katanya.

Ia perniagaan yang serius untuk kanak-kanak ini tetapi mereka masih mempunyai masa untuk bermain, seperti kanak-kanak lain.

"Kami 'saling berbunuhan’ sepanjang masa di Fortnite (permainan dalam talian) tetapi kami lebih suka bermain bersama-sama untuk 'membunuh' orang lain. Setakat ini, kami tidak mempunyai sebarang konflik dalam menjalankan perniagaan atas talian kami," kata Jishnu sambil menambah keuntungan perniagaan mereka disimpan untuk strategi pemasaran pada masa depan.

Dalam pada itu, Maruthamutu turut berbangga dengan Jishnu dan Rakhael yang berbakat dalam perniagaan.

Malah, dia gembira kerana kanak-kanak tersebut memulakan laman web dengan tujuan membantu mereka yang memerlukan.

"Itu amat bermakna bagi kami. Kanak-kanak berusia 12 tahun ini berusaha keras menyumbangkan masa mereka untuk menjalankan perniagaan. Ini juga mendorong kami untuk membantu mereka apabila diperlukan.

Jishnu berkata:"Rasanya kami dapat mencapai sesuatu. Ayah kami mengatakan ini adalah permulaan yang positif dan kami perlu terus memperbaiki diri. Kami juga dapat merasakan perbezaan ketika menerima pengesahan pesanan.

"Mendengar kegembiraan mereka (pengusaha makanan dari rumah) membuatkan kami bahagia, jadi kami selalu menikmati makanan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain