suria

Hebat! Jadi wanita pertama pegang jawatan naib presiden AS, apa yang anda perlu tahu tentang Kamala Harris?

Kamala Harris muncul sebagai wanita pertama menyandang jawatan naib presiden Amerika Syarikat.

KAMALA Devi Harris melakar sejarah apabila menjadi wanita pertama yang dipilih sebagai naib presiden Amerika Syarikat.

Senator berusia 56 tahun berasal dari California itu pada awalnya berentap untuk merebut jawatan presiden daripada Donald Trump namun wanita itu kalah di tangan Joe Biden.

Joe yang bertanding atas tiket parti Demokrat kemudiannya mengumumkan Kamala sebagai naib presiden sekiranya mereka menang.

ARTIKEL BERKAITAN: Selamat jalan Trump, Joe Biden sah Presiden AS ke-46

Kamala, bukan sahaja wanita Afrika-Amerika tetapi Asia-Amerika pertama yang dilantik jawatan kedua tertinggi tersebut.



Kamala dan Joe bakal memulakan tugas rasmi mereka pada 20 Januari 2021.

Siapa Kamala Harris?

Kamala dilahirkan di Oakland, California - ibu bapanya juga adalah imigran; ibunya Shyamala Gopalan berasal dari India manakala bapanya, Donald J. Harris berasal dari Jamaica.

Selepas ibu bapanya bercerai, Kamala dibesarkan oleh ibunya yang merupakan seorang penyelidik kanser dan aktivis hak sivil.

Kamala dibesarkan dengan budaya masyarakat India namun masih menitikberatkan budaya Afrika-Amerika sepanjang dia bersama adik perempuannya, Maya dibesarkan di Oakland.

"Ibu saya sangat memahami bahawa dia membesarkan dua anak perempuan kulit hitam.

"Ibu tahu bahawa tempat di mana dia tinggal (AS), dia nekad untuk memastikan kami membesar menjadi wanita berkulit hitam yang yakin dan bangga tentang siapa diri kami," tulisnya dalam buku autobiografinya, The Truths We Hold.



Kamala mempunyai pengalaman luas dalam bidang perundangan.

Kamala mendapat pendidikan di Universiti Howard, salah satu pusat pengajian terkenal di Amerika dan menyifatkan sepanjang menuntut, institusi itu telah membentuk siapa dirinya hari ini.

Kamala memberitahu dia tidak pernah berasa terancam tentang siapa dirinya sebaliknya berpendapat politik tidak perlu dikategorikan berdasarkan warna kulit atau latar belakang mereka.

"Saya ada saya... Barangkali akan ada cuba memahami siapa saya, tetapi saya tahu siapa diri saya yang sebenar," jelasnya.

Rakyat India turut meraikan pelantikan Kamala

Pemilihan Kamala sebagai naib presiden Amerika Syarikat cukup membuatkan rakyat di India berbangga dengan pencapaiannya.

Malah ada yang melepaskan tembakan dan menyalakan mercun sebagai tanda bangga terhadap Kamala terutamanya di Thulasendrapuram, Tamil Naidu iaitu tempat kelahiran ibunya.



Masyarakat di India turut meraikan kemenangan Kamala.

Sebagai tanda syukur, ada yang berkunjung ke kuil untuk berdoa selain menggantung poster wajah Kamala sebagai tanda bangga terhadapnya.

"Ini adalah penghormatan kepada semua wanita," kata seorang suri rumah, Arul Mozhi Sudhakar kepada AFP.

Bapa saudaranya, Balachandran Gopalan yang juga seorang ahli akademik memberitahu, ibu Kamala yang meninggal dunia pada 2009 pasti akan berasa bangga dengan pencapaian wanita itu sekiranya mendiang masih hidup.

Balachandran juga memberitahu seluruh keluarga besar mereka akan berkumpul di Washington termasuk dari India, Kanada dan Mexico bagi menyaksikan detik bersejarah itu nanti.

Bagaimanapun dunia Islam menganggap tiada peranan dapat dimainkan oleh Kamala terutamanya dalam membela nasib rakyat Palestin atas faktor beliau mempunyai pertalian dengan bangsa itu.

Ini kerana, Kamala berkahwin dengan Doug Emhoff, 56, yang juga berbangsa Yahudi pada 2014.

Joe Biden dan Kamala bakal memulakan tugas rasmi mereka pada 20 Januari 2021.



Kamala berharap lebih ramai wanita diberi kepercayaan menyandang jawatan penting.

Yang pertama, bukan juga terakhir!

Sebelum terlibat dalam dunia politik, Kamala pernah bertugas di Pejabat Peguam Daerah Alameda selain menjadi hakim di San Francisco pada 2003.

Kamala juga pernah menjadi wanita pertama Afrika-Amerika yang berkhidmat sebagai Peguam Negeri di California dan pegawai penguatkuasa undang-undang tertinggi.

Dalam dua penggal sebagai Peguam Negara, Kamala memperolehi reputasi sebagai salah satu bintang yang menyerlah Demokrat. Momentum ini digunakan untuk mendorong pemilihannya sebagai senator di California pada 2017.

Ketika beliau mencalonkan diri sebagai presiden dalam kempen yang dihadiri lebih daripada 20,000 orang di Oakland, California awal tahun lalu, rancangan itu dilakukan dengan penuh semangat.

Bagaimanapun kegagalannya tampil dengan kempen yang jelas terutamanya berhubung perancangannya terhadap perkara berkaitan kebajikan dan kesihatan telah membunuh impiannya untuk bergelar presiden.

Namun bagi Kamala, pemilihannya sebagai naib presiden juga adalah sesuatu yang cukup luar biasa.

"Mungkin saya wanita pertama berada di posisi ini, tetapi saya juga bukan yang terakhir kerana semua kanak-kanak perempuan yang menonton akan sedar bahawa ini adalah negara yang penuh dengan peluang," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain