suria

Graduan kejuruteraan berbasikal jual teh masala RM1 demi kelangsungan hidup - “Pada awalnya saya tak beritahu ibu bapa”

Kavievanan Subramaniam memanfaatkan masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mencari rezeki menjual teh masala chai di Brickfields, Kuala Lumpur. Foto BERNAMA

SELEPAS menamatkan pengajian pada Februari lalu, Kavievanan Subramaniam memasang impian untuk bekerja sebagai jurutera mekanikal namun hasrat itu terbantut disebabkan wabak Covid-19.

Kavievanan, 23, memberitahu dia sedar peluang untuk mendapatkan pekerjaan agak sukar selepas banyak syarikat memberhentikan pekerja ekoran penularan virus itu ditambah negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

ARTIKEL BERKAITAN: Dari kokpit ke restoran... 5 kapten bersemangat ubah nasib, berani ceburi bidang baharu

Enggan berputus asa, sejak Mei lalu pemuda itu memutuskan untuk memulakan perniagaan menjual teh masala chai menggunakan basikal di sekitar Brickfields, Kuala Lumpur.



Kavievanan akan mengayuh basikal di kawasan sekitar Brickfields pada pukul 3 hingga 6 petang.

Di antara pukul 3 petang hingga 6 petang, kelibat Kavievanan menunggang basikal dapat dilihat di sekitar Brickfields sambil membawa bekas teh masala chai.

Ia bukan teh biasanya sebaliknya campuran khas bersama kayu manis, halia, lada, kapulaga, susu sejat dan susu pekat. Ia dijual dengan harga RM1 secawan.

"Teh masalah chai memang popular dalam kalangan masyarakat India kerana rasanya menyegarkan dan aromanya harum. Ia turut dicampur dengan pelbagai rempah yang mempunyai khasiat untuk kesihatan. Saya belajar membuat teh ini daripada ibu saya," katanya kepada The Star.

Setiap hari, Kavievanan memberitahu dia akan menyediakan 20 liter teh masala chai di rumahnya di Bandar Tun Razak. Dia kemudiannya mengangkut bekas teh itu menggunakan motosikal menuju ke Brickfields.



Kavievanan membancuh sendiri teh masala chai mengikut resepi daripada ibunya.

Di sana, dia akan memindahkan bekas itu di tempat duduk belakang basikalnya dan mengayuh di kawasan sekitar.

"Saya menjual teh ini pada lewat petang kerana itu adalah masa terbaik untuk menikmati segelas teh masala chai. Dalam sehari, saya boleh menjual 100 gelas. Setakat ini, perniagaan saya bertambah baik," katanya yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

Pada awalnya, dia bimbang ibu bapanya tidak bersetuju dengan tindakannya untuk berniaga teh memandangkan dia mempunyai segulung ijazah dalam bidang kejuruteraan.

"Saya tidak memberitahu mereka mengenai idea perniagaan ini pada awalnya. Saya diam-diam beli sebuah basikal dan bekas untuk mengisi teh. Saya hanya memberitahu idea itu selepas itu.



Ia turut memberi peluang kepadanya beramah mesra dengan ramai orang sambil menjual teh masala chai.

"Syukur, mereka cukup positif dan menyokong usaha saya," katanya.

Rakan karibnya juga turut menjual teh masala chai di Masjid India, Kuala Lumpur dan Kavievanan memberitahu dia ingin mendorong orang lain untuk mencuba bidang lain bagi mendapatkan wang tambahan ketika waktu sukar ketika ini.

"Jangan rasa kecewa jika anda kehilangan pekerjaan, bertahanlah dan jangan putus asa. Seronoknya berniaga kerana saya dapat menjalankan perniagaan sendiri dan menjadi bos.

"Saya seronok dengan perniagaan ini kerana saya dapat bertemu dengan pelbagai orang setiap hari serta meraih pendapatan halal. Pada masa hadapan, saya harap dapat mengembangkan perniagaan seperti menjual kacang putih bersama teh masala chai," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain