suria

Budak ‘straight A’ dedah kisah ‘struggle’ tiap kali nak makan ayam goreng... itu dulu, kini bergelar usahawan cheesekut premium sampaikan dapat rating ‘sebanyak bintang di langit’!

DAHULU (kiri) dan kini... Ahmad Shahir melalui pelbagai dugaan sebelum bergelar usahawan berjaya.

SEGELINTIR budak-budak sekarang relaks saja apabila mendapat keputusan gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), susulan kisah Instafamous yang gagal dalam akademik.

Selain kisah yang tular itu juga, terdapat usahawan dan personaliti media sosial yang memperoleh keputusan gagal SPM, mahu menunjukkan bahawa sesiapapun masih boleh berjaya dalam hidup meskipun gagal dalam akademik.

Enggan mempromosikan budaya gagal dalam pelajaran, seorang pemuda sebaliknya mempunyai pendirian yang berbeza dengan mempamerkan keputusan cemerlang dalam SPM.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada ijazah dari Australia, 'berguru' dengan chef pastri terbaik dunia... tapi kerana cheesekut premium Biscochiz, pengasasnya dimarahi artis!

Kecoh mengenai perkongsian foto salinan sijil SPM miliknya dengan keputusan 10A yang menjadi tular di media sosial, baru-baru ini.

Pendek kata semua keputusan peperiksaan pemuda ini dengan 'straight A', termasuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).



Sijil SPM milik Ahmad Shahir dengan keputusan 'straight A'.

Bukan orang kaya

Bukan mahu berlagak, namun anak kelahiran Marang, Terengganu ini mempunyai alasan tersendiri untuk berkongsi kisah kejayaannya kepada masyarakat.

"Ala, bolehlah kau budak pandai. Keluarga kayalah tu. Ni sure lahir-lahir pandai. Kau dari dulu hebat, bolehlah," demikian antara kata-kata yang diterimanya.

Siapa sangka, di kala kita enak menikmati ayam goreng makanan segera sehingga menjilat jari, usahawan ini sebenarnya pernah struggle untuk merasai keseronokan itu ketika zaman kanak-kanaknya.

"Saya lahir daripada keluarga yang kalau nak makan ayam KFC tu, saya kena dapat markah tinggi, kena dapat nombor satu baru boleh dapat makan ayam goreng tu.

"Itu pun mungkin setahun sekali. Dulu keadaan keluarga saya, ayam goreng tu memang susah gila nak dapat," ujar pengasas bersama Biscochiz, Ahmad Shahir Ismail sambil menjelaskan beliau bukan dilahirkan dalam keluarga berada.

Bagaimanapun, anak kepada seorang guru wanita dan penjawat awam ini menjadikan pendidikan sebagai keutamaan dalam keluarga.

Pendek kata kalau tak score, habislah! Tidak minat belajar itu bukan perkara biasa, tetapi dididik sampai ada minat dan kesungguhan, itu yang luar biasa.

"Kalau tak belajar, mak dan arwah ayah siap pegang rotan. Saya bukannya suka sangat belajar, tetapi ada benda memang kena paksa. Kalau boleh, saya nak main guli petang-petang, main (kereta) Tamiya dengan rakan-rakan," ujar pemuda berusia 36 tahun itu.

Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, keinginannya untuk bermain permainan video seperti rakan-rakan lain, Playstation turut diduga sebaik melangkah ke sekolah menengah.

"Member saya masa kecil dulu tu ramai ada Playstation 1, tapi saya tak ada. Setiap kali balik dari rumah member, mesti saya tanya dekat mak, kenapa Shahir tak boleh ada Playstation? Kenapa kawan Shahir, mak bapa dia belikan?

"Sampaikan mak saya pun naik angin, dia kata 'stop pergi rumah kawan tu'. Dulu, saya ingat mak ayah jenis tak sayang saya, tak boleh nak bagi apa yang saya nak," kata beliau.



Kenangan... Ahmad Shahir (bulatan merah) bersama guru dan rakan-rakan.

Kerja keras

Namun realitinya, Ahmad Shahir berkata, dibesarkan dalam keluarga sebegitu membuatkan segala-galanya perlu dibuktikan dengan usaha, kesungguhan dan kejayaan.

"Nak ayam goreng, nak mainan, kena belajar rajin-rajin. Saya kena usaha keras daripada kecil lagi untuk mendapatkan sesuatu. Nasihat itu tanda sayang mak dan arwah ayah.

"Saya tahu mak dan arwah saya bekerja keras nak sara saya dan adik-beradik. Saya pernah tengok mereka balik kerja penat, ada banyak kali stay up malam-malam nak dapatkan duit lebih. Daripada situlah saya nampak kena kerja keras.

"Mak dan arwah ayah pernah pesan, Kalau nak berjaya, respek cikgu, dengar cakap cikgu, jangan nak melawan. Jadi, itu yang saya amalkan sejak kecil.

"Selalu duduk depan. Cikgu suruh buat homework, saya buat. Kena marah dengan cikgu? Saya diam je, sebab itu memang salah saya sebab tak ikut cakap cikgu. Saya bangga mak ayah didik saya macam tu," kata beliau sambil menambah ibunya yang kini berusia 60 tahun.

Dek kerana didikan ibu bapa yang mementingkan pendidikan dan respek pada guru-guru yang mendidik sehingga mendapat 'straight A', Ahmad Shahir bersyukur dapat menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan di Universiti Vanderbilt di Tennessee, Amerika Syarikat (AS) dengan biasiswa penuh selama empat tahun sehingga 2006.

"Saya dulu bukan reti speaking, tapi saya berusaha untuk belajar. Saya tak nak mak ayah kecewa. Saya tahu mak dan arwah ayah tak mampu nak sponsor saya belajar di luar negara macam keluarga lain. Itu sebab saya berusaha bersungguh-sungguh.

"Dan bila saya dah tamat pengajian di Universiti Vanderbilt, saya terharu sampai menangis bila mak dan arwah ayah sanggup datang ke AS untuk meriahkan majlis konvokesyen saya.

"Mereka sanggup menyimpan selama berbulan-bulan untuk tanggung perbelanjaan terbang ke AS. Bukan sahaja mendidik, mereka juga berusaha untuk capai apa yang dihajati dan ia dibuktikan dengan bersama saya di bumi Amerika!" kata beliau dengan nada teruja.



Isteri Ahmad Shahir, Wan Nurasyikin bersama produk keluaran Biscochiz.

Berpengalaman menjadi jurutera selama dua tahun. Ahmad Shahir nekad untuk mencuba nasib dalam pelbagai bidang jualan dan pemasaran sejak 2008.

Pernah merasai kesusahan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu sejak kecil lagi, ternyata banyak mengajar beliau mengenai erti kehidupan yang sebenar.

Mak dan arwah ayah pernah pesan, Kalau nak berjaya, respek cikgu, dengar cakap cikgu, jangan nak melawan. Jadi, itu yang saya amalkan sejak kecil

AHMAD SHAHIR ISMAIL

Maka, tidak hairanlah di atas didikan ibu bapa itu, Ahmad Shahir sanggup mencabar diri dengan melakukan bidang baharu yang tidak pernah difikirkannya selama ini.

Siapa sangka, beliau berani mengambil risiko untuk berhenti kerja dan menjalankan perniagaan cheesekut premium (gabungan cream cheese dan biskut) secara serius, yang diusahakan bersama isteri, Wan Nurasyikin Wan Mustaffa Kamel, 26.

Murah rezeki

Ketika ramai terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, rezeki Ahmad Shahir dan isteri melimpah ruah.

Dari perniagaan secara kecil-kecilan di rumah sejak Februari 2020, mereka kini memiliki mini kilang sendiri dengan pengeluaran sehingga 300 kotak sehari, malah pernah mencecah 700 kotak sehari di atas permintaan tinggi pelanggan. Wow lebih sekali ganda!

Ahmad Shahir berkata, kejayaan Biscochiz ketika waktu sukar ini disebabkan oleh kepercayaan pelanggan yang yakin dan mempercayai kualiti tinggi produk mereka.

"Ramai yang bagi rating lima bintang. Tapi yang paling membuatkan saya terharu apabila ada yang memberikan rating 'sebanyak bintang di langit'.

"Saya tidak terkata tapi hanya mampu berterima kasih dan ia menaikkan semangat saya dan isteri untuk terus menawarkan kualiti terbaik buat Biscochiz," katanya.

Ahmad Shahir (kanan) dan Wan Nurasyikin merupakan pengasas bersama Biscochiz.

Cheesekut premium Biscochiz adalah kek ais krim premium yang dihasilkan dengan dua jenis cream cheese premium semula jadi dari Australia dan bahan-bahan lain seperti Oreo, Hershey’s dan Caramel.

Bermula dengan hanya dua kakitangan, Ahmad Shahir berkata, mereka kini mempunyai lapan pekerja serta kira-kira 40 usahawan yang memasarkan produk itu di Semenanjung Malaysia dan Singapura.

Menurut beliau, usaha untuk membantu lebih ramai usahawan menjana ekonomi antara matlamat pada 2021 dengan sasaran antara 200 dan 300 orang.

Pada masa sama, beliau turut mahu menjadikan Biscochiz sebagai sebuah syarikat lokal Premium Ice Cream Cake No. 1 di Malaysia, setanding jenama antarabangsa.

"Syukur alhamdulillah, hasil jualan sepanjang 10 bulan pada 2020 mencatatkan sebanyak RM240,000 meskipun beroperasi dalam waktu sukar.

"Dengan bilangan usahawan yang lebih ramai dan pengukuhan operasi di Semenanjung dan Singapura pada tahun depan, kami meletakkan sasaran jualan Biscochiz mencecah RM1 juta pada 2021," kata Ahmad Shahir.

Maklumat lanjut untuk menjana pendapatan dan menjadi usahawan Biscochiz, boleh hubungi laman Instagram biscochiz.officialhq dan Facebook Biscochiz Official HQ.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain