suria

Siapa sangka hobi permainan Lego sejak kecil kini kerjaya Muhammad Khairul... paling bangga 150,000 Lego hargai frontliners - “Seronok lihat idea saya diubah jadi produk nyata”

Muhammad Khairul mempunyai pengalaman selama 10 tahun sebagai jurubina model di Legoland Resort Malaysia.

SIAPA sangka hadiah sebuah set Lego mampu menggubah pandangan seorang kanak-kanak berusia enam tahun terhadap permainan popular itu sehinggakan ia menjadi kerjaya tetapnya hari ini.

Itulah kisah Jurubina Model Kanan di Legoland Malaysia Resort, Muhammad Khairul Zainon Noor apabila bercakap tentang permainan itu yang turut bertanggungjawab dalam menimbulkan minatnya terhadap bidang seni bina.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak ‘straight A’ dedah kisah ‘struggle’ tiap kali nak makan ayam goreng... itu dulu, kini bergelar usahawan cheesekut premium sampaikan dapat rating ‘sebanyak bintang di langit’!

Cerita Muhammad Khairul, set Lego pertamanya adalah hadiah daripada ibu saudaranya dan baginya ia bukan sekadar permainan biasa sebaliknya Lego telah banyak mengasah imaginasi dan kreativitinya.



Muhammad Khairul melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di Legoland.

"Sebagai seorang kanak-kanak yang datang daripada keluarga biasa, set Lego pertama saya itu amat bermakna kerana ia boleh dikatakan mahal ketika itu (tahun 1991).

"Walaupun set itu didatangkan dengan manual tersendiri, saya lebih suka mencuba membina model-model Lego yang mudah tanpa berpandukan manual.

"Ia bukan sekadar permainan tetapi Lego membuatkan saya lebih peka memerhati keadaan sekeliling dan apa saya tonton di televisyen dan daripada situ saya akan bina apa sahaja yang terlintas dengan set yang saya ada," katanya kepada mStar.

Malah kata Muhammad Khairul, 35, sehingga kini dia masih menyimpan set Lego hadiah daripada ibu saudaranya selain koleksi lain yang terdiri daripada Transformers, Gundam dan Lego.

Kursus berbeza, impian tetap sama!

Dalam pada itu, Muhammad Khairul memberitahu meskipun terlalu minat terhadap bidang seni bina namun dia terpaksa akur apabila tidak berjaya menyambung pengajian dalam bidang itu sebaliknya ditawarkan bidang Perancangan Bandar dan Wilayah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor pada 2004.

Setelah beberapa tahun, saya diberikan peluang untuk membina model Lego untuk Legoland lain seperti Legoland Florida dan Legoland Malaysia.

MUHAMMAD KHAIRUL ZAINON NOOR

JURUBINA MODEL KANAN LEGOLAND RESORT MALAYSIA

Meskipun agak kecewa, dia bagaimanapun tidak pernah berputus asa untuk menggapai impiannya dan teruja apabila diterima bekerja di Legoland sebagai jurubina model Lego.

Ketika itu katanya, dia memulakan tugas di Merlin Magic Making I-Park, melalui program perantis yang diadakan di mana model Lego direka dan dihasilkan untuk semua Legoland di seluruh dunia.

"Masa tu saya ditugaskan membina model Lego yang direka oleh mereka. Namun setelah beberapa tahun, saya diberikan peluang untuk membina model Lego untuk Legoland lain seperti Legoland Florida dan Legoland Malaysia.

"Bermula dari situ, saya dinaikkan pangkat menjadi jurubina model kanan Legoland yang memberikan saya lebih pemilikan dan tanggungjawab dalam projek dibawah kelolaan saya.

"Sebahagian kerja harian saya termasuk membina dan mereka struktur model Lego yang baru, rutin pembersihan dan penyelenggaran harian, dan saya juga mendapat peluang untuk membayangkan dan mereka struktur Lego yang eksklusif," kongsinya.

Mural penghargaan buat frontliners paling dibanggakan

Bercakap lanjut mengenai kerjayanya, Muhammad Khairul sepanjang 10 tahun berkhidmat di situ, banyak projek diterimanya meninggalkan makna dan impak besar disebaliknya.

Ini termasuklah dia pernah diberi peluang untuk mereka potret Lego bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersempena dengan acara pembukaan Legoland Hotel Malaysia pada 2014 sebagai tanda penghargaan kepada beliau.



Tanda penghargaan... 'Frontliners Tribute Murals' projek terbaharunya.

"Saya memang cukup bangga diberi peluang itu kerana ia memberi impak yang luas kepada negara. Projek seperti ini yang terus memotivasikan saya untuk mengembangkan kerjaya saya ke peringkat lebih tinggi.

"Ia sesuatu yang cukup memuaskan apabila sebagai jurubina Lego saya dapat melihat idea saya diubah menjadi sebuah produk nyata yang dapat dinikmati dan dipelajari oleh pengunjung," katanya.

Berkongsi mengenai projek lain dihasilkannya, Muhammad Khairul memberitahu mural Lego Penghargaan Kepada Barisan Hadapan (Lego Frontliner Tribute Murals) antara yang membanggakan.

Menerusi mural ini, dia turut bekerjasama dengan komuniti Lego Building Malaysia untuk menghasilkan lima mural mewakili hero barisan hadapan Malaysia yang bekerja sewaktu pandemik.

Jelasnya, bagi merialisasikan projek itu, mereka menggunakan 150,000 Lego dan ia disiapkan dalam tempoh sembilan hari.



Muhammad Khairul teruja dapat bekerja dalam bidang impiannya.

"Mural ini mengambar hero-hero Malaysia seperti doktor, jururawat, polis, askar, tukang bersih, dan penunggang penghantar makanan.

"Ia benar-benar menonjol sebagai sesuatu yang memberikan impak kepada saya dan komuniti Legoland kerana ia merupakan tanda perhargaan untuk menghormati segala kerja keras yang dilakukan oleh barisan hadapan dalam membantu masyarakat sewaktu pandemik," ujarnya.

Bertugas ketika pandemik jelasnya tidak memberi banyak perbezaan kerana katanya, dia bersama pasukannya sentiasa aktif dalam meranang idea baharu untuk pembinaan Lego.

Impak kepada generasi akan datang, mahu bina Lego lebih kompleks

Sementara itu, Muhammad Khairul berharap kerjayanya itu diharap dapat memberi impak kepada generasi akan datang dengan keupayaan untuk belajar melalui permainan.



Replika Johor mini di Legoland.

Miniland di Legoland Resort Malaysia katanya adalah contoh untuk mengajar pengunjung mengenai budaya, sejarah, dan seni disebalik mercu tanda ikonik Asia Tenggara melalui keseronokan, visual, dan gaya interaktif.

"Legoland merupakan taman tema bertaraf antarabangsa pertama di Malaysia, seiring dengan itu, saya akan terus memperkasakan kemahiran saya untuk meningkatkan pengalaman ini kepada semua rakyat Malaysia," katanya.

Pesanannya kepada rakyat Malaysia yang berminat untuk mempunyai kerjaya sepertinya, Muhammad Khairul meminta mereka terus percaya dalam mengejar cita-cita.

"Terus bersemangat, dan tidak takut untuk terus mengejar minat anda. Seperti saya, saya tahu saya sangat menyukai Lego dan mempunyai minat terhadap bangunan dan kejuruteraan.



Pengunjung melihat mural dihasilkannya.

"Walaupun, saya agak gentar untuk meneruskannya sebagai kerjaya. Namun setelah saya mengambil peluang diberikan, saya berjaya dan saya sudah tidak berhasrat untuk meneruskan kerjaya saya dalam bidang perancangan bandar buat masa sekarang," katanya.

Kini matlamatnya satu, untuk mencipta atau membina model Lego yang lebih kompleks tanpa bergantung kepada perisian komputer.

"Walaupun pergunaan teknologi seperti perisian Lego Voltron sangat bermanfaat dan berguna bagi kami, tapi bagi saya, saya inginkan keseimbangan dalam membina model Lego secara organik dan secara pergunaan teknologi dalam proses penghasilannya," ujarnya.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain