suria

Demi penuhi impian 2 anak, bapa rela jadi 'orang baru' dalam kokpit pesawat

Kapten Abu Bakar Shafie bersama dua anak perempuanya, Safia Amira Abu Bakar (depan) dan Safia Anisa. Foto Twitter @safiaanisa

MENJADI impian dua juruterbang AirAsia ini untuk berada dalam kokpit bersama bapa mereka yang juga seorang juruterbang berpengalaman.

Pasangan adik-beradik, Safia Amira Abu Bakar, 28 dan Safia Anisa, 23, bagaimanapun menganggap ia perkara mustahil memandangkan bapanya berkhidmat dengan syarikat penerbangan berbeza.

Namun tiada yang mustahil apabila adik-beradik itu berusaha untuk merialisasikan impian itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Cecah usia 80 tahun Tan Sri Azman kongsi rahsia kekal ‘fit’, mahu beri hadiah birthday untuk diri sendiri

"Kami memujuk bapa untuk terbang bersama kami," kata adik-beradik itu menerusi temubual bersama The Star.

Impian itu semakin menjadi kenyataan apabila Kapten Abu Bakar Shafie yang juga juruterbang dengan 40 tahun pengalaman mengambil keputusan meninggalkan kariernya demi bersama anak-anaknya.

Safia Amira rasa bertuah dapat menjadi pembantu juruterbang kepada bapanya sendiri. 

"Kami rasa ia adalah keputusan paling sukar pernah dilakukannya namun sebagai anak kami sangat gembira!

"Mengetahui fakta kami kini bernaung di bawah syarikat penerbangan sama membuatkan rasa seperti berada di rumah dan teruja apabila berjumpa di pejabat," ujarnya.

Pengalaman mengendalikan pesawat dari Kuala Lumpur ke Kuching bersama bapa mereka adalah pengalaman yang tidak boleh dilupakan pasangan adik-beradik itu.

Abu Bakar yang bertindak sebagai juruterbang dibantu oleh Safia Amira manakala Safia Anisa mengambil posisi sebagai krew.

Safia Anisa turut memuat naik gambar mereka bertiga dalam kokpit di Twitter bagi berkongsi pengalaman itu bersama keluarga dan rakan-rakannya sehingga ia menjadi tular.

Safia Amira memberitahu pengalaman bersama bapanya sangat istimewa kerana itu adalah pertama kali dia bertugas sebagai pembantu juruterbang kepada bapanya.

Abu Bakar gembira dapat bersama kedua-dua anak perempuannya.

"Saya ada beberapa impian dalam hidup iaitu menjadi juruterbang dan pembantu kepada bapa saya.

"Ia sangat menakjubkan kerana sejak kecil saya selalu mendengar cerita daripadanya tetapi kini saya dapat pengalaman itu sendiri bersamanya dalam kokpit," jelasnya.

Safia Anisa pula memberitahu bekerja bersama kakak dan bapanya membuatkan dia berasa dekat dengan keluarganya walaupun tidak selalu terbang bersama.

"Abah adalah mentor saya dan kakak pula adalah seorang yang saya kagumi, jadi menjadi satu kelebihan dapat belajar daripada mereka.

"Abah sangat berpengalaman dalam bidang penerbangan dan saya berharap dapat belajar dan menjadi seperti abah dan kakak suatu hari nanti," ujarnya.

Sementara itu, Abu Bakar, 58, yang bakal bersara dalam tempoh empat tahun memberitahu beliau tidak kisah bermula sebagai orang baru walaupun sudah berpengalaman demi anak-anaknya.

"Saya mengambil keputusan menyertai Air Asia kerana ini adalah satu-satunya cara saya dapat terbang bersama anak-anak... Pengalaman itu sangat luar biasa tetapi istimewa.

"AirAsia adalah sebuah syarikat yang kukuh selain penuh dengan semangat dan tentunya saya gembira dapat menjadi sebahagian daripadanya," ujarnya.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain