suria

Gigih ubah nasib komuniti Orang Asli, Hanim Apeng tetap junjung prinsip "Sejauh mana pergi, jangan lupa asal usul"

Hanim Apeng orang penting dalam membangunkan Kampung Orang Asli Sungai Buloh. Foto SHAARI CHE MAT

MESKIPUN sesat mencari perkampungan Orang Asli Sungai Buloh baru-baru ini, namun penulis masih mampu tersenyum apabila disambut meriah oleh penduduknya walaupun masing-masing sedang sibuk bergotong royong menyediakan makan malam di balai raya.

Dan sudah tentu, sambutan itu diketuai oleh Pengerusi Majlis Pengurusan Kampung iaitu Hanim Apeng yang cukup ceria sambil tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kerana sudi bertandang ke kampung mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Kacak bertopi 'cowboy', kenali jejaka 'wow' ini yang sering diusik tetamu resort

"Beginilah kami... Ada masa terluang memang kami akan berkumpul beramai-ramai dan memasak sebagai salah satu cara mengeratkan hubungan di antara penduduk.

Aktiviti gotong royong bersama penduduk dilakukan sebulan sekali bagi mengeratkan silaturahim antara penduduk. 

"Sekurang-kurangnya sebulan sekali kami akan berkumpul di balai raya, berbincang tentang menu apa yang hendak dimasak. Memang langkah kanan awak (penulis) hari ini dapat merasai masakan penduduk kampung," katanya.

Menu petang itu, gulai lemak ikan masin, sayur campur serta ikan goreng memang cukup menyelerakan apatah lagi dinikmati beramai-ramai.

Fasih berbahasa Inggeris, bawa perubahan di kampung

Lanjut ingin mengetahui tentang wanita berusia 48 tahun ini, Hanim yang turut fasih berbahasa Inggeris ini memberitahu dia sudah lima tahun menerajui tampuk kepimpinan kampung tersebut.

Hanim juga giat memberi ceramah mengenai Orang Asli.

Hanim berkata, dia tidak pernah berasa gentar menerima jawatan tersebut selepas dipilih penduduk kampung kerana itu adalah peluangnya untuk mengubah kehidupan masyarakat di situ.

Pengalamannya sebagai jururawat serta berkhidmat di bahagian pegawai perkhidmatan pelanggan sebuah syarikat sebelum ini juga membuatkan dia selesa bekerja dengan 'orang ramai', malah melihat ia sebagai kelebihan dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

"Pengalaman bekerja sebelum ini membuatkan saya lebih yakin, malahan saya tidak mahu dilihat sebagai pemimpin yang tidak berkemahiran dan lemah.

Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti namun Hanim tetap turun padang setiap kali ada majlis komuniti. 

"Di kampung ini saya bertanggungjawab menjaga hal ehwal berkaitan pembangunan, kebersihan, kebajikan masyarakat dan sebagainya, manakala Tok Batin pula menguruskan hal-hal tentang agama, tanah dan perkahwinan.

"Sebelum saya ambil jawatan ini, kampung ini tiada bekalan elektrik dan jalan raya berturap, malah balai raya ini juga tidak 'hidup' tetapi perlahan-lahan saya bersama penduduk kampung usahakan sehinggalah semua kelengkapan asas itu tersedia," katanya.

Namun itu bukanlah satu-satunya perkara yang ingin dicapai Hanim, sebaliknya dia mahu melihat Orang Asli keluar dari kepompong kehidupan lampau dan memajukan diri di luar zon selesa mereka.

Hanim ketika menghadiri mesyuarat membincangkan mengenai Orang Asli. 

Ini kerana kata Hanim, banyak anak-anak Orang Asli yang bijak dan berpotensi dalam pendidikan, cuma ada segelintir merasakan ia tidak penting kerana sudah terbiasa dengan kehidupan sebelum ini.

Anak jadi contoh pada generasi muda Orang Asli 

Atas dasar itu juga kata ibu kepada tiga cahaya mata ini, dia sangat mementingkan pendidikan buat anak-anak agar dapat menjadi contoh kepada penduduk lain.

Usaha itu juga membuahkan hasil kata Hanim apabila anak sulungnya, Morven Manu yang juga bekas pelajar di Maktab Tentera Diraja (MTD) mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2017.

Kebangaan komuniti Orang Asli... Anak sulung Hanim iaitu Morven Manu mendapat keputusan cemerlang 9A pada 2017.

Malah Morven yang kini berusia 19 tahun sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah, Perak.

"Saya mahu melihat semua anak-anak Orang Asli berjaya tetapi anak sendiri gagal dalam pelajaran... jadi bagaimana saya boleh menjadi contoh kepada yang lain?

"Syukur anak saya dapat jadi contoh kepada rakan-rakan dan generasi baru di kampung... malah setiap pencapaian komuniti di sini saya akan kongsi di Facebook sebagai pemangkin semangat kepada yang lain dan juga orang luar yang melihat," jelasnya.

Hanim berharap anaknya dapat menjadi contoh kepada generasi muda Orang Asli yang lain untuk berjaya dalam pelajaran.

Pun begitu kata Hanim, di sebalik pemodenan yang cuba diterapkan dalam komunitinya, dia masih menitikberatkan soal jati diri dan budaya agar tidak ditelan dek zaman.

Katanya, adalah sangat penting bagi Orang Asli untuk terus mengekalkan tradisi sejak berzaman malah melihat ia boleh bergerak selari dengan pemodenan yang cuba diterapkan.

"Saya selalu berpesan kepada anak-anak dan genarasi muda di kampung ini, sejauh mana pun kita pergi jangan lupa untuk ingat akan asal usul dan sekiranya sudah berjaya sekali pun kembalilah melangkah untuk berbakti kepada komuniti," katanya.

Hanim Apeng, Orang Asli, Sungai Buloh

Artikel Lain