suria

Bahaya asap rokok... Apa kata kuatkuasa larangan merokok di tempat kerja dan rumah

Ramai sebenarnya yang terpaksa memendam rasa kerana bukan sahaja terpaksa menghidu bau busuk asap rokok.

RAMAI sebenarnya yang terpaksa memendam rasa kerana bukan sahaja terpaksa menghidu bau busuk asap rokok tetapi juga mungkin tersedut asap yang diketahui mengandungi bahan kimia yang berjela panjangnya jika dihitung.

Inilah akibat apabila ada yang masih berdegil dan mementingkan ketagihan daripada keselesaan serta kesihatan orang lain.

Meskipun terdapat undang-undang serta peraturan di samping pekeliling dan memo berkaitan larangan merokok, masih ramai yang enggan mematuhinya bahkan menganggap apa yang mereka lakukan itu sesuatu yang lazim berlaku di mana-mana tempat kerja.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada 7 manfaat berhenti merokok yang tak disedari

Tidak keterlaluan jika dikatakan terdapat juga kakitangan yang masih ‘mencuri-curi’ merokok di tangga, tandas atau setor pejabat malah tanpa rasa bersalah menjadikan laluan tertentu di pejabat sebagai tempat ‘melepak’ untuk melepaskan ketagihan nikotin bersama geng perokok mereka.

Malang perokok pasif

Asap rokok yang terperangkap dalam persekitaran tertutup boleh mencemarkan kualiti udara dalaman sesebuah bangunan dan sudah tentu melipatgandakan risiko masalah kesihatan.

Dalam ruang tertutup, sudah tentulah sukar untuk membersihkan asap rokok selain baunya yang melekat pada dinding, kerusi, sofa dan langsir juga sukar dilenyapkan.

Asap rokok boleh menghasilkan pencemaran udara.

Dalam menjelaskan perkara ini, Dr Shawaludin Husin, Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) berkata, asap rokok boleh berada dalam ruang udara sesebuah bangunan termasuk tempat kerja selama kira-kira dua jam atau lebih meskipun dengan keadaan tingkap dibuka.

“Tidak kiralah merokok di dalam bilik, tandas, tangga atau di mana-mana ruang di tempat kerja, asap rokok tetap akan berlegar seterusnya memberi kesan kepada semua orang yang ada di dalam bangunan.

“Asap rokok menghasilkan pencemaran udara dalaman yang tinggi dengan 300 jenis gas toksik. Meskipun kita tidak melihat asap atau tidak lagi menghidu baunya, ini tidak bermakna kita bebas dari risiko bahaya apabila berada di kawasan merokok.

“Keadaan akan bertambah buruk apabila asap rokok bercampur dengan bahan pencemar udara yang lain disebabkan sistem pengudaraan termasuk penghawa dingin tidak diselenggara dengan baik,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) kepada Bernama baru-baru ini.

Dianggarkan kira-kira empat daripada 10 orang di Malaysia yang bekerja di dalam bangunan terdedah kepada asap rokok basi (sekunder) yang terhasil daripada produk hasil pembakaran tembakau seperti rokok, curut dan paip.

Merokok turut memberi keburukan perokok pasif. 

Paling membimbangkan, pencemaran udara akibat asap rokok di tempat kerja turut memberi kesan kepada bukan perokok (perokok pasif).Ini termasuk ibu mengandung, golongan berusia, mereka yang alah terhadap bau rokok, kanak-kanak serta mereka yang mempunyai sistem imuniti yang lemah.

“Asap rokok yang disedut oleh individu yang tidak merokok memberi ancaman yang lebih tinggi berbanding kepada perokok sendiri. Ibu mengandung berisiko keguguran atau melahirkan anak yang tidak cukup bulan.

“Kanak-kanak pula berisiko mengalami sindrom kematian mengejut, penyakit pernafasan seperti bronchitis, bronchiolitis dan radang paru-paru, meningitis, kesukaran pembelajaran, kelewatan tumbesaran dan masalah neurobehavioral, mati pucuk, jangkitan telinga (otitis media) serta alahan, batuk dan selsema,” jelas Dr Shawaludin.

Sick Building Syndrome

Rokok mengandungi ribuan bahan kimia berbahaya dan telah terbukti secara saintifik.

Antaranya kandungan ‘tar’ yang bersifat karsinogenik yang berisiko menyumbang kepada kanser paru-paru.

Tar juga boleh meningkatkan risiko diabetes, penyakit jantung, masalah kesuburan dan boleh mengakibatkan kanser mulut serta masalah gusi.

Kandungan lain seperti karbon monoksida, nikotin, hidrogen sianida, benzena, formaldehida, arsenik, amonia, plumbum, butana, asid asetik pula boleh mengundang kepada pelbagai jenis kanser termasuk buah pinggang, hati, pundi kencing, penyakit kardiovaskular, strok, penyakit berkaitan pernafasan, penyakit kulit serta pelbagai lagi.

Kerajaan mengambil langkah berani melarang merokok di kedai makan.

Dr Shawaludin turut berkongsi pendedahan pekerja terhadap persekitaran tempat kerja yang tidak sihat boleh mengundang kepada gejala Sick Building Syndrome (SBS).

Menurut beliau, SBS merupakan keadaan di mana individu di dalam bangunan mengalami simptom dan rasa tidak selesa tanpa sebab yang jelas. Boleh jadi mereka juga secara tiba-tiba rasa tidak selesa apabila memasuki pejabat sedangkan sebelumnya mereka baik-baik sahaja.

“Asap rokok merupakan antara bahan pencemar yang menyumbang kepada SBS. Beberapa kajian yang dijalankan mendapati SBS berisiko membawa kepada gejala seperti sakit kepala, selsema, sakit tekak, kerengsaan pada mata dan kulit dan kekejangan,” jelasnya.

Ditanya keadaaan perokok aktif yang lazimnya dikesan mengalami gejala batuk berkahak, kurang bertenaga, penurunan berat badan serta beberapa gejala lain beliau berkata ia berkait rapat dengan sistem imunisasi mereka. Adakah keadaan itu berisiko untuk perokok aktif mendapat penyakit tertentu sebagai contoh penyakit berjangkit seperti batuk kering (tibi)?

“Jangkitan kuman Mycobacterium tuberculosis (kuman tibi) berisiko terjadi kepada mereka yang mempunyai sistem imuniti yang lemah sebagai contoh penghidap HIV/AIDS serta pesakit kencing manis yang sistem imun mereka terjejas (immunocompromised).

“Ini secara langsung turut menjelaskan bagaimana penyakit tibi boleh berlaku kepada perokok. Sistem imuniti yang lemah serta paru-paru rosak, jadi mudahlah kuman tibi ‘hinggap’ dan membiak sekaligus menjadikan perokok golongan yang berisiko tinggi mendapat penyakit tibi,” jelasnya.

Peranan majikan

Majikan boleh mengambil tindakan tegas terhadap pekerja yang mencemarkan kualiti udara dalaman tempat kerja lebih-lebih lagi apabila mereka turut mendatangkan kesan buruk kepada pekerja lain.

Melalui Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA), Dr Shawaludin berkata majikan bertanggungjawab memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan sihat bukan sahaja daripada aktiviti kerja seperti bahan kimia, bunyi bising dan sebagainya tetapi juga pekerja yang membawa unsur-unsur yang tidak sihat.

“Sekiranya majikan menjaga kebajikan pekerja dalam semua aspek tetapi ada pekerja yang merokok di tempat kerja, maka risiko kesan kimia tetap ada.

“Dalam hal ini majikan wajib menyiasat lebih-lebih lagi jika terdapat aduan daripada pekerja berhubung ketidakselesaan serta gangguan kesihatan mereka akibat bau rokok. Jika majikan gagal untuk mengambil tindakan tegas bagi menangani perkara itu maka mereka boleh dikenakan tindakan saman oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH),” katanya.

Majikan boleh dikenakan tindakan saman oleh DOSH jika terdapatan aduan mengenai gangguan kesihatan berpunca daripada perokok.

Selain OSHA, DOSH turut memperkenalkan Tataamalan Industri bagi Kualiti Udara Dalaman 2010 yang menyentuh mengenai masalah kualiti udara dalaman yang disebabkan oleh bahan cemar udara dalaman atau pengalihudaraan yang tidak mencukupi.

Tataamalan itu antaranya menyenaraikan punca bahan cemar udara dan antara yang lazim ialah asap tembakau persekitaran yang dibebaskan oleh pembakaran produk tembakau.

Kerajaan berani

Mengakui usaha menangani isu merokok bukanlah satu tugas mudah dan memakan masa apabila majoriti masyarakat sukar berhenti daripada tabiat itu, beliau berkata ia memerlukan komitmen tinggi di samping keberanian kerajaan untuk mengubah keadaan.

Dr Shawaludin berkata, polemik isu hak asasi perokok mungkin boleh ‘dijawab’ dengan undang-undang yang lebih tegas seperti yang dilaksanakan di negara lain bagi melindungi rakyat mereka daripada bahaya rokok.

Mengambil contoh Hong Kong yang mencatat antara peratusan tertinggi perokok di Asia, beliau berkata negara itu bagaimanapun berjaya mencatatkan penurunan jumlah perokok dari 23 kepada 10.7 peratus pada 1990 hingga 2014.

“Kadar penyakit jantung di negara itu juga secara tidak langsung menunjukkan penurunan dalam tempoh 10 tahun apabila kerajaan menetapkan larangan merokok sepenuhnya di samping usaha pelbagai pihak di negara itu menangani isu rokok dengan tegas,” katanya.

Inisiatif negara jiran, Thailand, yang mengharamkan merokok di tempat awam, premis kerajaan dan swasta, kawasan pantai bahkan pada tahun lepas dilaporkan akan menguatkuasakan undang-undang yang melarang perbuatan merokok di rumah juga katanya, wajar dicontohi.

Perokok, Pejabat, Tempat Kerja, Kesan

Artikel Lain