'Hoarding disorder' bukan sekadar tabiat kumpul barang lama tapi petanda masalah mental - Famili | mStar

'Hoarding disorder' bukan sekadar tabiat kumpul barang lama tapi petanda masalah mental

Satu dalam 50 penduduk di Malaysia berkecenderungan menjadi hoarders.

SEPANJANG tiga tahun berumahtangga, Mikayla Razali mendapati suaminya, Izham (bukan nama sebenar) suka benar menyimpan barang dan lebih merimaskan, suaminya itu enggan membuang barang walaupun ia tidak lagi boleh digunakan.

Mikayla, 27, berkata, walaupun ia tersimpan kemas di dalam kotak atau bekas khas, namun siapa boleh tahan jika saban tahun, jumlah kotak barangan 'tidak berguna' itu semakin bertambah hingga terpaksa disusun meninggi sehingga ke siling.

"Setiap kali saya mengemas, kami pasti bergaduh. Mana tak pening, bilik yang sepatutnya boleh dijadikan bilik tetamu atau kerja, 'semak' dengan barang yang suami kutip dan simpan.

ARTIKEL BERKAITAN: Awas! Bukan ketiak sahaja busuk, ada 8 bahagian badan lain yang kerap berbau!

"Pernah saya jumpa buku latihan dia masa tingkatan lima dulu. Bila saya tanya kenapa tak buang, dia kata sayang. Dia pernah mengamuk sebab saya buang reket tenis dia yang dah patah," ceritanya.

Pada mulanya, dia menyangka suaminya itu seorang pengumpul barang tetapi berasa pelik apabila dia turut menyimpan barang yang sudah rosak.

Apa yang dirisaukannya terjawab apabila dia membaca artikel mengenai hoarders dan hoarding disorder.

"Ia ada kaitan dengan psikiatri... Saya pujuk suami jumpa pakar sakit jiwa. Susah juga dia nak terima hakikat tapi saya ugut dan pujuk dia.

Penghidapnya tidak boleh berpisah daripada barang-barang yang boleh dianggap tidak bernilai dan tidak berguna.

"Kalau dia sayangkan saya, dia kena jumpa pakar dan berubah sebab saya percaya penyakit ini bukan sahaja akan jejaskan hubungan kami tetapi dirinya sendiri," katanya.

Ambil masa terima hakikat diri alami hoarders

Bagi Zarimah Ishak, 24, dia mula mengesan dirinya suka menyimpan barang sejak berumur 10 tahun dan ia berterusan sehingga kini.

Selain menyimpan barang yang dibeli semasa mula-mula belajar di kolej, beliau juga menyimpan barangan semasa di sekolah rendah. Tabiat ini membuatkan dia bukan sahaja sering bergaduh dengan teman serumah malah ahli keluarganya sendiri.

"Cuma apabila sudah bekerja, ada rakan sepejabat yang kesan aktiviti pelik saya ini dan nasihatkan saya untuk berjumpa pakar. Memang susah nak terima hakikat yang diri ini ada penyakit tetapi atas nasihat rakan-rakan, saya beranikan diri jumpa pakar.

"Alhamdulilah, sudah ada nampak perkembangan positif," katanya yang masih mendapatkan rawatan di salah sebuah pusat rawatan psikiatri dan kaunseling di selatan tanah air.

1 dalam 50 rakyat Malaysia cenderung menjadi hoarders

Paparan ini adalah antara kisah benar mereka yang terpaksa menjalani kehidupan sebagai penghidap hoarding disorder - yang istilah mudahnya, suka menyimpan barang, terlalu tinggi keinginan terhadap sesuatu barangan dan sukar untuk membuang barang yang dimiliki walaupun sudah rosak atau berusia bertahun-tahun lamanya.

Lebih menarik, penyakit ini disenaraikan dalam The Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition (DSM-5) sebagai penyakit kesihatan mental.

DR FAUZIAH MOHD SAAD

KETUA UNIT KAUNSELING UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI)

Lebih menarik, penyakit yang sering dikaitkan dengan golongan warga emas ini turut ditanggung oleh golongan muda dan bekerjaya.

Malah pakar dari sebuah organisasi kitar semula, Prof Madya Dr Richard Ng yang dipetik menerusi satu laporan media berkata, satu dalam 50 penduduk di Malaysia berkecenderungan menjadi hoarders.

Beliau yang merupakan pengerusi Koperasi Alam Hijau Perak Bhd (Kohijau) berkata, realiti tersebut dapat dilihat apabila pihaknya membuat lawatan dari pintu ke pintu ketika kempen menangani denggi.

"Tindakan susulan perlu diambil apabila mengesan mereka yang mengalami penyakit ini kerana ia boleh mengancam keselamatan diri atau masyarakat setempat. Golongan ini juga perlu dikendalikan oleh mereka yang pakar seperti kaunselor atau pakar psikiatri," demikian kata beliau.

Bagi Ketua Unit Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad, hoarding disorder boleh berlaku kepada sesiapa dan gejala biasa yang boleh dikenal pasti adalah penghidap tidak boleh berpisah daripada barang-barang yang boleh dianggap tidak bernilai dan tidak berguna.

Hoarders bukan berkaitan dengan belian barangan baharu tetapi lebih kepada sayang benda lama.

Ia penyakit boleh diwarisi

Berdasarkan kajian yang meluas berkaitan penyakit hoarding ini, ia selalunya berlaku pada usia muda.

Menurut Dr Fauziah, keadaan akan menjadi lebih teruk dengan peningkatan umur malah ia boleh diwarisi.

"Lebih menarik, penyakit ini disenaraikan dalam The Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition (DSM-5) sebagai penyakit kesihatan mental," jelasnya.

Beliau berkata, antara rawatan yang sesuai ialah cognitive behavior therapy (CBT) di mana ahli terapi membantu mengurangkan rasa gelisah.

“Sesi terapi yang dijalankan iaitu antara lapan dan 10 sesi itu akan turut mengajar penghidap penyakit tersebut menyusun barang dengan teratur.

“Ini penting kerana penghidap beranggapan barangan tersebut berguna di masa hadapan dan perlu menyelamatkannya. Bukan itu saja, mereka ini sentiasa mempunyai keinginan menambah barang-barang tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Pakar Psikoterapi dan Kaunseling (Kemurungan dan Kebimbangan) Access Counselling Services, Dr Meriam Omar Din berkata, membeli-belah secara dalam talian dan penggunaan kad kredit juga boleh menambah keinginan yang membuak-buak untuk hoarders membeli barangan.

Beliau bagaimanapun berpandangan hoarders bukan berkaitan dengan belian barangan baharu tetapi lebih kepada sayang barangan lama.

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain