Jangan pelik! Badan tidak berpeluh boleh berlaku ketika cuaca panas terik - Pakar PPUKM - Famili | mStar

Jangan pelik! Badan tidak berpeluh boleh berlaku ketika cuaca panas terik - Pakar PPUKM

BEBERAPA kawasan dan negeri di Malaysia berdepan fenomena cuaca panas terik dan senario ini dijangka berlarutan sehingga Mei yang juga bulan di mana umat Islam akan menjalani ibadah puasa.

Fenomena yang berterusan sejak awal tahun ini mendedahkan masyarakat pelbagai peringkat usia kepada pelbagai risiko kesihatan terutama hipertermia atau strok haba.

Antara negeri yang sedang mengalami musim kering sehingga Mei dengan Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pahang dan Kelantan di mana ia merekodkan hujan kurang daripada 25 peratus purata tahunan bagi tempoh April hingga Mei.

Berdasarkan pemantauan status gelombang haba oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, 11 kawasan di enam negeri dilaporkan berada pada paras berjaga-jaga atau tahap satu dengan suhu mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celcius.

Kawasan itu adalah Chuping di Perlis, Pendang, Sik, Kota Setar (Kedah),Hulu Perak dan Kinta (Perak), Jerantut (Pahang), Jeli, Gua Musang dan Kuala Krai (Kelantan) dan Tangkak (Johor).

Kepanasan melampau itu menyebabkan suhu badan boleh meningkat sehingga lebih 40 darjah Celsius, anda berisiko mengalami hipertermia, sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai masalah kesihatan yang boleh mengancam nyawa.

Jika suhu badan di antara 40 dan 45 darjah Celcius, hipotalamus (pusat mengawal suhu badan atau termostat) hilang kawalan sehingga menyebabkan pesakit mengalami pelbagai masalah.

Dalam keadaan normal, termostat akan mengawal suhu badan manusia supaya sentiasa seimbang.

Menurut Perunding Kanan Neurologi dan Perubatan, Pusat Perubatan Universti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Datuk Dr Raymond Azman Ali, hipotalamus adalah kawasan pada otak depan dan ia mengandungi beberapa pusat penting yang bertanggungjawab mengawal suhu badan, kehausan, kelaparan, pemakanan, imbangan air dan fungsi seksual.

Beliau berkata, apabila suhu badan terlalu tinggi, termostat gagal berfungsi dan keadaan ini boleh berlaku sehingga menyebabkan pesakit hilang mekanisme tindak balas badan untuk mengurangkan suhu badan melalui peluh.

“Masalah hilang keupayaan badan untuk berpeluh boleh berlaku, terutama jika cuaca panas terik,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, setakat ini, tiada kes strok haba dilaporkan di PPUKM sepanjang musim panas antara Januari hingga sekarang.

Strok haba sebenarnya sangat jarang berlaku di Malaysia kerana ia lebih terdedah kepada jemaah atau penduduk di kota Makkah yang bercuaca panas kering.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu terdedah kepada cuaca panas dengan mengehadkan aktiviti luaran, minum banyak air dan menjaga pemakanan, terutama dalam cuaca tidak menentu ketika ini.

Siapakah berisiko mengalami strok haba?

 Warga tua kerana mereka mudah mengalami masalah kekurangan air di dalam badan
 Pesakit diabetes
 Pesakit tekanan darah tinggi
 Mereka yang mengambil ubat-ubatan diuretik.

Apakah masalah dihadapi pesakit apabila suhu badan meningkat?

 Kekurangan air di dalam badan atau dehidrasi
 Tekanan darah menurun
 Keliru
 Ketidakseimbangan elektrolit di dalam badan
 Sawan
 Lemah jantung
 Paru-paru lembap
 Pengaliran darah ke jantung tidak lancar dan menyebabkan kegagalan jantung
 Kejutan hipovolemia iaitu pengurangan volum darah yang beredar sehingga menyebabkan tekanan darah di dalam arteri menjadi terlalu rendah atau tidak menunjukkan sebarang bacaan.

   Akibat daripada kejutan hipovolemia, pesakit boleh mengalami pelbagai masalah lain seperti kulit menjadi sejuk, pucat, pernafasan tidak teratur, kegagalan buah pinggang, terkeliru, koma dan akhirnya menemui ajal.

Apakah pemeriksaan dan rawatan?

 Sejarah pesakit akan diambil
 Hasil pemeriksaan, doktor akan mengenal pasti tanda-tanda pesakit mengalami masalah kekurangan air di dalam badan seperti tiada ketegangan kulit, bibit dan lidah menjadi kering, bebola mata tenggelam, air kencing menjadi pekat dan tekanan darah menurun.

Lazimnya, ubat-ubatan kurang berkesan mengubati pesakit. Justeru, langkah pencegahan perlu dititikberatkan untuk memastikan suhu badan pesakit tidak terus meningkat.

Antara usaha mengurangkan suhu badan yang terlalu tinggi ialah merendam pesakit di dalam tempat mandian berisi ais dan ketika direndam, kulit pesakit hendaklah digosok dengan laju untuk memastikan salur darah mereka mengembang bagi melancarkan peredaran darah di permukaan kulit.

Hakikatnya, biarpun strok haba tidak mengancam kita, tetapi pencegahan adalah langkah paling tepat untuk memastikan kita tidak menjadi mangsa keadaan itu dalam keadaan cuaca melampau dengan panas di sesetengah negeri seperti Perlis, Kedah dan Johor manakala hujan lebat serta ribut, di Pulau Pinang dan Lembah Klang.


PPUM , Raymond , terik , hipertermia

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Artikel Lain