suria

Tiada lagi keraguan...Malaysia pelopor lampin pakai buang, tuala wanita halal pertama di dunia

Bae Bae dan Flowra, masing-masing produk lampin pakai buang dan tuala wanita berstatus halal pertama dunia yang dilancarkan Khamis.

NAMPAKNYA selepas ini ibu bapa tidak perlu lagi bimbang atau mempersoalkan status halal produk lampin pakai buang yang digunakan untuk bayi mereka.

Ini kerana syarikat Bio Integrasi dan Bio Integrasi Global Sdn Bhd telah mengambil inisiatif menghasilkan lampin pakai buang bayi halal pertama di dunia yang dilancarkan pada Khamis.

Produk diberi nama Bae Bae itu bukan sahaja mendapat status pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) malah ia menggunakan bahan yang boleh menjamin keselamatan dan keselesaan bayi.

Tidak melupakan golongan wanita, produk tuala wanita iaitu Flowra turut dilancarkan pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2019 di Pusat Pameran Antrabangsa (Mitec), Kuala Lumpur.

Pegawai Ekskutif Bio Integrasi Sdn Bhd, Datuk Paduka Shahrizal Sarip memberitahu pihaknya tampil dengan produk berkenaan selepas mendapat maklum balas pelanggan berhubung kebimbangan terhadap produk lampin pakai buang yang tidak mempunyai status halal.

Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia Jakim, Dr. Sirajuddin Suhaimee menandatangai poster produk Bio Integrasi Sdn. Bhd selepas menyerahkan sijil halal kepada syarikat tersebut.

“Kita sering mendapat maklum balas daripada pengguna tentang kebimbangan mereka terhadap bahan yang digunakan dalam produk seperti lampin pakai buang dan tuala wanita.

“Atas dasar itu kita tampil dengan produk yang dijamin halal serta selamat digunakan, malah pihak Jakim sendiri meneliti secara mendalam serta melawat kilang pembuatan produk ini sebelum memberikan status halal,” katanya kepada mStar Online.

Pada majlis sama, Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia Jakim, Dr. Sirajuddin Suhaimee turut menyerahkan sijil halal kepada dua produk berkenaan.

Dalam pada itu, Shahrizal memberitahu kelebihan produk Bae Bae adalah ia direka bagi membolehkan bayi dan kanak-kanak bergerak dengan selesa termasuk bahagian pinggang yang lembut dan nipis.

Ketua Pegawai Ekskutif Bio Integrasi Sdn Bhd, David Chen Kon Foon (empat dari kiri), Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Mohd Amri Abdullah, Pegawai Ekskutif Bio Integrasi Sdn Bhd, Datuk Paduka Shahrizal Sarip pada majlis pelancaran produk lampin pakai buang dan tuala wanita yang berlangsung di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2019 di Pusat Pameran Antrabangsa (Mitec), Kuala Lumpur pada Khamis.

Ia juga dilengkapi dengan teknologi 3D pada bahagian lapisan dalam lampin yang membolehkan ia menyerap lebih banyak cecair selain mengelak kebocoran.

Tidak cukup dengan itu, Bae Bae turut dilengkapi dengan pengesan bagi menunjukkan sama ada lampin sudah penuh dan perlu ditukar apabila ia bertukar warna hijau.

Sementara itu, bagi produk tuala wanita Flowra, Shahriza berkata, ia didatangkan dengan teknologi yang membolehkan penyerapan tanpa kebocoran selain mampu lebih bertahan lama.

Ia juga lebih ringan berbanding jenama lain dalam memberi keselesaan kepada wanita sepanjang hari.

Untuk kedua-dua produk itu ia dijual pada harga di antara RM4 hingga RM7 untuk produk tuala wanita Flowra dan dari RM45 untuk lampin pakai buang.

Bae Bae, Flowra, Jakim, halal

Artikel Lain