Anak berhak merajuk, tapi ke mana akhirnya? Putus silaturahim?... Tanyalah hati masing-masing kata Da'i Wan - Ad-din | mStar

Anak berhak merajuk, tapi ke mana akhirnya? Putus silaturahim?... Tanyalah hati masing-masing kata Da'i Wan

Wan Dazrin menjelaskan lebih terperinci mengenai hak seorang anak untuk merajuk dengan kedua ibu bapa mereka.

VIDEO yang memperlihatkan anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi iaitu Nurul Hidayah mengajukan soalan apakah seorang anak itu berhak dengan ibunya menerusi sebuah program keagamaan tular di media sosial baru-baru ini.

Ramai tersentuh hati dengan soalan dan jawapan diberikan panel yang menjentik jiwa, malah ada pula yang tidak mengetahui hak sebenar seorang anak dalam meluahkan rasa tidak puas hati atau marah terhadap ibu bapa mereka.

Pendakwah bebas, Wan Dazrin Wan Din menjelaskan seorang anak itu mempunyai hak untuk merajuk terhadap ibu bapa mereka sebagai seorang yang mempunyai perasaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hati, mata, lidah, telinga dan perut juga perlu berpuasa! Begini caranya

Bagaimanapun katanya, walaupun seseorang itu mempunyai hak berbuat demikian, namun wajib ke atas mereka menuntut hak itu dengan lemah lembut, penuh sopan santun, kemuliaan dan pernghormatan kepada ibu bapa.

"Ya, kamu ada hak. Hak sebagai seorang anak yang mempunyai perasaan. Silakan untuk merajuk. Itu hak kamu.

"Tetapi ingat, wajib bagi kamu menuntut hak itu dengan lemah lembut, dengan penuh sopan santun, dengan penuh kemuliaan dan penghormatan," katanya.

Jelas Wan Dazrin atau dikenali sebagai Da'i Wan, sekiranya seseorang itu tidak mampu menjaga semua ciri yang disenaraikan, maka seorang anak itu tidak layak menuntut hak mereka termasuk di sisi Allah.

Hak ibu bapa lebih besar di sisi Allah

Dalam pada itu, Wan Dazrin berkata, hak ibu bapa itu sebenarnya lebih besar di sisi Allah SWT dan sebagai anak kita perlu terima hakikat tersebut sebagai sumber pengetahuan pertama.

Malah perkara itu turut dijelaskan dalam Surah Luqman Ayat 15 yang bermaksud; ‘Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik.'

Menerusi surah itu kata Wan Dazrin, Allah SWT memberikan satu jawapan menyuruh kita menjaga akhlak pada mereka walaupun ibu bapa kita menyuruh sampai tahap untuk mempersekutukan Allah AWT dan ia bukan hal yang kecil.

"Cuba lihat agungnya Allah SWT sebagai tuhan kita, Dia menyuruh kita untuk tidak mentaati arahan ibu bapa (yang membawa maksud apa-apa arahan ibu bapa yang tidak menepati syariat-Nya, kita boleh tinggalkan).

"Namun Dia tidak meninggalkan arahan kepada kita untuk tetap gauli mereka dengan baik. Ini menunjukkan tingginya kedudukan ibu bapa di sisi Allah SWT," katanya.

Anggap dugaan, hargai ibu bapa

Sementara itu, Wan Dazrin berkata, adalah tidak wajar untuk seorang anak untuk membela hak mereka sehingga terpaksa bertikam lidah, malah ada yang lari daripada rumah.

Katanya lagi, hargailah kedua ibu bapa dengan baik dan sekiranya ada perkara yang membuatkan rasa berkecil hati adalah lebih baik mendiamkan diri demi menjaga hubungan.

"Untuk sepasang kasih sayang yang kita tidak akan punya ganti lagi sekiranya kita kehilangan mereka dalam dunia ini nanti, tanyalah hati masing-masing. Jawab dalam hati masing-masing selepas berfikir semula.

"Anggap ia dugaan dalam membalas jasa mereka sekurang-kurangnya... Mereka inilah yang membesar, memandikan, mengurus, menyara dan mendoakan kita selama ini.

"Hendak dibawa sakit hati atau menuntut hak merajuk itu pergi ke mana pada akhirnya? Putus silaturahim?," jelasnya.

Kata Wan Dazrin, ketika perkara itu berlaku ia adalah tanda awal permulaan hancurnya, atau bermulanya kejatuhan diri kita di dunia dan petanda bahawa ancaman Allah sedang menunggu di akhirat kelak.

merajuk , Wan Dazrin , Nurul Hidayah

Artikel Lain