suria

Ramadan bukan pesta makan tapi didik kawal nafsu, insafi diri hayati nikmat puasa - Pensyarah Kanan Usim

Membaca al-Quran adalah amalan yang mendapat ganjaran besar pada bulan Ramadan.

BAGI segelintir umat Islam terutama dalam kalangan anak muda, kedatangan bulan Ramadan dilihat sebagai menyusahkan kerana perlu berpuasa selama sebulan sehingga ada yang berani meninggalkan rukun Islam ketiga itu secara terang-terangan.

Maka tidak hairanlah wujudnya 'Geng Plastik Hitam' termasuk aktiviti sosial tanpa menghiraukan kemuliaan bulan Ramadan. Persoalannya, mengapa perkara ini berlaku?

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah Undang-Undang dari Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, situasi itu berlaku kerana semakin ramai lupa kenikmatan Ramadan, selain penghayatan tentang Islam semakin pudar.

ARTIKEL BERKAITAN: Hati, mata, lidah, telinga dan perut juga perlu berpuasa! Begini caranya

ARTIKEL BERKAITAN: Allah tidak akan tolak doa orang berpuasa, ketahui 7 kelebihan Ramadan

"Puasa merupakan syiar umat Islam tetapi malang apabila ada segelintir semakin lupa akan kenikmatan Ramadan disebabkan penghayatan tentang Islam dalam diri itu semakin terhakis," katanya kepada mStar.

Ramadan adalah peluang terbaik untuk kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah.

Mohammad Hadi berkata, adalah penting bagi generasi muda hari ini untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan kembali memahami Islam yang sebenar selain hikmah menjalani ibadah puasa.

"Jika mereka sedar tentang hikmah dan kebaikan berpuasa pasti ia tidak menjadi masalah.

"Malah orang barat juga membuat kajian tentang puasa dan mereka mula sedar ia banyak manfaat kepada tubuh badan manusia," jelasnya.

Atas dasar itu juga kata Mohammad Hadi, selain berpuasa kerana Allah SWT, sebagai umat Islam kita juga perlu lebih banyak membaca dalam mendapatkan ilmu termasuk mengenai bulan yang mulia ini.

"Apabila kita buat kerana Allah, tambahkan ilmu di dada dengan bacaan dan kaji. Insya-Allah nikmat itu akan datang," katanya.

Bersederhana dalam membeli makanan di bulan Ramadan.

Ramadan bukan pesta makan!

Mohammad Hadi juga turut menegaskan Ramadan bukan bulan untuk kita berpesta mahupun melakukan pembaziran sebaliknya ini adalah kesempatan terbaik mendapatkan keampunan serta menyucikan diri daripada segala penyakit rohani.

Malah menerusi berpuasa juga, ia dapat memberi keinsafan dalam merasai kesengsaraan fakir miskin yang mengharungi hari mereka tanpa sebarang makanan.

"Ramadan adalah bulan berkasih sayang... sifat kasih sayang kepada orang fakir, anak yatim, golongan tua dan sebagainya.

"Ia bukan tentang makan semata-mata dan inilah kesempatan terbaik untuk mengawal dan mendidik hawa nafsu kita dan Insya-Allah jika kita berjaya maka selepas Ramadan ia sudah menjadi terbiasa," katanya.

Cari ketakwaan kepada Allah

Ia bukan tentang makan semata-mata dan inilah kesempatan terbaik untuk mengawal dan mendidik hawa nafsu kita dan Insya-Allah jika kita berjaya maka selepas Ramadan ia sudah menjadi terbiasa.

DR NUR MOHAMMAD HADI ZAHALAN 

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah Undang-Undang dari Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Dalam pada itu, Mohammad Hadi memberitahu sebagai umat Islam kita perlu tahu tujuan berpuasa, malah Firman Allah SWT: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (QS Al-Baqarah: 183)

Jelasnya, pada bulan yang mulia lagi penuh keberkatan inilah sebagai umat Islam kita perlu meninggalkan apa yang dilarang selain melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah.

"Seperti mana kita tahu, pada bulan Ramadan Allah membuka pintu syurga seluas-luasnya, menutup pintu neraka serapat-rapatnya.

"Inilah kesempatan untuk kita tingkatkan amal ibadah. Syaitan sudah dikurung, tiada alasan untuk mencari reda Allah, minta kepada Allah dan berdoa kepada-Nya.

"Doa dalam bulan Ramadan adalah paling mustajab jika kita buat dengan bersungguh-sungguh dalam mencari redanya," katanya.

Ramadan

Artikel Berkaitan

Artikel Lain