suria

Hati, mata, lidah, telinga dan perut juga perlu berpuasa! Begini caranya

Bulan Ramadan kita bukan sahaja perlu menjaga lidah tetapi juga telinga daripada mendengar perkara-perkara tidak baik. Foto Sekadar Hiasan (Sumber Google)

ASSALAMUALAIKUM! Selamat berpuasa sebulan pada bulan Ramadan ini. Sempena bulan puasa ini kita akan kongsikan maksud puasa itu sendiri dan beberapa anggota yang perlu ‘dipuasakan’ juga.

Puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum daripada segala perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.

Sekiranya kita mematuhi segala peraturan berpuasa maka sahlah puasa kita. Tetapi dalam masa yang sama, ada perkara yang kalau kita lakukan, ia akan mencacatkan pahala puasa.

Puasanya sah tapi pahalanya kurang dan perbuatan ini akan berlaku melalui anggota badan kita seperti mata memandang video porno, lidah pula asyik ‘membawang’, telinga mendengar lagu yang melalaikan manakala hati pula berburuk sangka.

Oleh itu jika perut berpuasa maka mata, lidah, telinga dan hati pun hendaklah turut berpuasa.

Telefon pintar juga boleh mengundang pelbagai perkara tidak elok ketika Ramadan.

Bagaimana mata berpuasa?

Puasa mata adalah dengan cara menahan penglihatan daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan, memejamkannya dari perkara-perkara yang kotor dan keji dan menguncinya daripada perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.

Allah berfirman dalam surah An Nur, ayat 30-31: “Katakanlah kepada lelaki beriman: Hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita beriman: Hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan mereka.”

Mata itu ibarat tingkap bagi hati dan pintu jiwa manusia. Hanya ada dua pilihan bagi mata, ada ketikanya diarahkan melihat kebaikan dan oleh kerananya akan diberi pahala atau diarahkan melihat kemungkaran dan oleh kerananya akan berdosa. Maka kuranglah pahala puasanya. Nauzubillah.

Sebagai balasan kepada orang yang mampu menjaga pandangan matanya daripada melakukan perkara maksiat, Allah akan anugerahkan kemanisan dalam beriman dan beramal.

Sekiranya tidak, maka Allah akan cabut kemanisan beriman dan beramal seperti malas nak beribadat, nak solat, nak sedeqah dan sebagainya.

Berpada-pada berbelanja ketika berpuasa.

Bagaimana perut berpuasa?

Dalam masa yang sama faham tak kita apa yang dimaksudkan dengan perut berpuasa? Iaitu bukan sahaja kita perlu menjauhi perut tidak diisi dengan makanan dan minuman pada waktu berpuasa.

Bahkan juga makanan dan minuman yang diharamkan pada masa tidak berpuasa ketika malamnya atau bukan bulan Ramadan.

Beberapa contoh Allah berfirman berkenaan halal dan haram iaitu; “Wahai orang yang beriman makanlah dari yang baik-baik… [Al-Baqarah:172]. - Maksudnya makanan atau minuman yang halal tu sebenarnya dari yang baik sahaja untuk kesihatan.

“Dan dihalalkan bagi mereka segala yang baik dan diharamkan bagi mereka segala yang buruk” [Al-A’raf:157]. - Maksudnya kalau yang Allah haramkan tu memang tak elok untuk badan, minda dan kesihatan.

“Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba… [Al-Baqarah:275].

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perut mereka dan akan dimasukkan ke dalam api neraka yang menyala-nyala” - [Al-Nisa:10].

“Diharamkan kepada kamu bangkai, darah, daging babi, apa yang disembelih selain nama Allah…” [Al-Maidah:3]

Adakah boleh dikatakan perut berpuasa sekiranya ia diisi dengan makanan dan minuman yang Allah haramkan?

Ia termasuklah sumber daripada perbuatan haram seperti harta yang didapati dari riba, rasuah, curi, rompakan dan hak anak yatim.

Makanannya pula seperti bangkai kerana ayam tidak disembelih mengikut syariat Islam atau apa jua perbelanjaan daripada sumber haram dan ia dibelanjakan.

Bahkan Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita apa yang kita makan daripada yang haram, maka api nerakalah menjadi keutamaannya. Nauzubillah.

Bagaimana lidah berpuasa?

Patutkah diberikan pahala puasa yang sempurna bagi orang yang dipermainkan oleh lidahnya, diperdaya oleh ucapannya dan ditipu oleh perkataannya? Sempurnakah puasa orang berdusta, menipu orang lain, gemar memaki hamun dan mengumpat seta ‘membawang’ sana ‘membawang’ sini? 

Nabi SAW bersabda: “Seorang muslim sejati adalah orang-orang Islam yang lain berasa aman dari lidah dan perbuatan tangannya.”

Sabdanya lagi: “Hendaklah kamu menjaga ini. Rasulullah SAW menyampaikan perkataan itu lalu memberi isyarat ke arah lidahnya.

Muaz bertanya: “Adakah kami akan diseksa kerana kesalahan yang kami ucapkan, wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab; “Wahai Mu’az tidaklah umat manusia itu dihumban ke dalam api neraka melainkan kerana lidah mereka.”

Bagaimana telinga berpuasa?

Telinga turut dikehendaki Allah supaya berpuasa daripada mendengar perkara maksiat seperti kata-kata kotor, nyanyian melalaikan, perkara keji dan hina.

Bagaimana hati berpuasa?

Puasa hati adalah dengan menjauhkan hati dari perkara yang merosakkannya seperti syirik, keyakinan yang sesat, penyakit was-was dan sifat-sifat tercela seperti hasad dengki, bakhil, bangga dengan diri sendiri, riyak dan sebagainya.

Allah berfirman: “Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya.” [Al-Isra’:36].

Semoga puasa kita diterima Allah dan kita akan mendapat pahala yang penuh, insyaAllah.

Sila kongsikan semoga menjadi sebahagian amal jariah kita.

*** Ustaz Shams ialah pensyarah di sebuah universiti

Puasa, Ramadan

Artikel Lain