suria

Bercakap hal orang atau berperangai ‘makcik bawang’ memang ‘best’ tapi itulah ciri-ciri mulut munafik

Mulut munafik bermaksud dosa yang lahir dari mulut yang menjadi sifat-sifat orang munafik. Semoga kita dapat membersihkan diri daripada ciri-ciri tersebut. Gambar sekadar hiasan.

SEBAGAIMANA yang telah saya janjikan dalam artikel lalu mengenai ciri-ciri solat munafik, maka kali ini kita akan bincangkan berkenaan ciri-ciri "mulut munafik".

Ia bermaksud dosa yang lahir dari mulut yang menjadi sifat-sifat orang munafik. Semoga kita dapat membersihkan diri daripada ciri-ciri munafik.

Cuba kita semak ada tak keluar daripada mulut kita sifat-sifat seperti berikut:

ARTIKEL BERKAITAN: Ya Allah... Sedar atau tidak ketika bersolat, banyak ciri munafik dalam ibadah kita!

Bercakap dusta

Sabda nabi Muhammad SAW menyebut berkenaan dusta antara lain, seperti berikut:

1. "Tanda-tanda munafik ada tiga: Apabila berbicara dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi kepercayaan dia khianat" [HR Muttfaq Alaih].

2. "Sesungguhnya setakut-takut yang aku takut atas umatku adalah setiap munafik yang pandai lidahnya."[ HR Abu Ya'la].

3. “Sesungguhnya dusta adalah salah satu daripada beberapa pintu munafik." [HR Ibnu 'Adi].

4. "Takutlah kamu terhadap prasangka kerana sesungguhnya prasangka itu sedusta-dusta perbicaraan."  [HR Muttfaq Alaih].

Syarat Allah untuk mengampunkan dosa kita yang berkait rapat dengan manusia, dengan syarat manusia tersebut memaafkan kesalahan kita. Gambar hiasan.

Merujuk kepada hadis ini Allahuakbar, betapa kita selalu berburuk sangka tanpa ada apa-apa bukti, kita telah membuat kesimpulan dan menuduh seseorang itu telah melakukan sesuatu kesalahan.

Sebab itu Allah menyuruh kita "tabayyun"/tapis/siasat dulu sebarang berita yang kita terima.

Ini satu kesalahan yang amat berat dan kesannya selagi kita tidak memohon maaf terhadap mangsa yang kita dustai maka selagi itu kita berdosa walaupun kita memohon keampunan kepada Allah.

Ini kerana syarat Allah untuk mengampunkan dosa kita yang berkait rapat dengan manusia, dengan syarat manusia tersebut memaafkan kesalahan kita.

Maka selagi tidak dimaafkan maka selagi itulah kita terus hidup dalam keadaan berdosa, nauzubillah.

Mungkir janji

Allah berfirman; " Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah janji dan janji itu akan ditanya" [Al-Isra:34]. Dalam masyarakat kita sekarang terdapat sebahagian yang sangat suka berjanji tetapi akhirnya dimungkiri janji-janji tersebut dengan pelbagai alasan. Termasuk janji adalah kontrak untuk perniagaan, perjanjian pinjaman dan lain-lain.

Mengkhianati amanah

Allah berfirman dalam al-Quran: “Wahai orang–orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati [amanah] Allah dan Rasul dan juga janganlah kamu mengkhianati amanah yang dipercayakan kepadamu sedang kamu mengetahui [salahnya]: - [A-Anfal: 27]

Nabi SAW bersabda; “Belum beriman orang yang tidak beramanah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak memegang janji” - [HR Ahmad, Bazzar dan Thabrani]

Daripada ayat dan hadis tersebut bermakna banyak amanah yang Allah letakkan atas bahu kita seperti Allah menciptakan kita untuk memakmurkan dunia tetapi lihatlah kerosakan yang dibuat oleh manusia seperti apa yang berlaku di hadapan mata kita dengan mencemarkan sungai-sungai sehingga hampir membunuh manusia.

Tidak amanahnya kita dengan kenikmatan yang Allah berikan, kita salah gunakannya atau kita merosakkan alam sekitar yang Allah amanahkan kepada kita dan generasi manusia seterusnya.

Allah berfirman: "Dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim" -  [Al-Hujurat: 11].

Allah amanahkan kepada kita supaya hidup dalam keadaan harmoni tapi tengoklah apa yang telah dilakukan oleh manusia sehingga sanggup membunuh manusia lain seperti di New Zealand seramai 50 orang Islam, di Palestin lebih 60,000 orang Islam, di Syria lebih 200,000 orang Islam, di Iraq lebih 1.7 juta orang Islam dan banyak contoh-contoh lain.

Menipu dalam jual beli, perniagaan

Sekarang ini penipuan dalam perniagaan dengan pelbagai cara seperti menipu kandungan, kualiti, harga, waranti dan sebagainya. Difahami dari maksud hadis nabi SAW  tentang lima dosa yang Allah akan segerakan balasan, salah satunya apabila kamu mengurangkan sukatan dan timbangan maka “Allah uji kamu dengan kemarau yang panjang, kesulitan dalam mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka”.

Ingatkan dengan menipu akan dapat keuntungan yang besar tetapi Allah akan sempitkan rezeki dan kehidupan mereka. Kalaupun nampak banyak dapat untung tetapi tiada keberkatan dalam hidup.

Kaya tetapi hidup sentiasa tiada ketenangan, tidak bahagia, anak bini bermasalah dan makin jauh daripada landasan agama apatah lagi nak memikirkan pasal mati dan hidup selepas mati dan masalah lain.

Menghina sahabat Rasulullah SAW

Ini seperti yang dilakukan oleh syiah yang sesat sehingga mengkafirkan saidina Abu Bakar r.a., saidina Umar r.a. dan saidina Uthman r.a.

Memanggil orang dengan gelaran yang tidak disukai

Kadang-kadang kita memangil nama kawan kita dengan panggilan yang tidak disukainya maka ia adalah satu dosa dan kezaliman. Allah berfirman: "Dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim".  [Al-Hujurat: 11].

Membuka rahsia orang lain dalam keadaan yang tidak diizinkan oleh syarak

Contohnya seperti dengan tujuan mengaibkannya. Maka orang yang sama kongsikan atau “forward” kepada orang lain akan turut berkongsi dosa tersebut sehinggalah diberikan kemaafan oleh mangsanya.

Apa akibat “mulut munafik”?

Difahami dari satu hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa nabi SAW bertanya kepada para sahabat; “Tahukah kamu siapa orang yang muflis (bankrap)?

Sahabat menjawab: Orang yang mufis di kalangan kami ialah seseoang yang tidak memiliki dirham (wang) dan juga tidak memiliki harta.’

Balas nabi SAW: Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) dia pernah menghina si polan, menuduh si polan dan pernah memukul si polan.

Media sosial sering digunakan untuk menyebarkan mesej namun ia sentiasa disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah. Gambar hiasan.

Maka akan diberikan segala pahala  kepada orang yang teraniaya itu, sehinggalah apabila telah habis pahalanya sedangkan beban dosa penganiayaannya belum selesai (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepadanya dan kemudian akan dilemparkan ke dalam api neraka.” [HR Muslim]

Maka itulah antara dosa ”mulut munafik”. Contohnya kita menuduh seseorang dengan tuduhan jahat dan ia tersebar luas, apatah lagi sekiranya  seluruh Malaysia mempercayai fitnah kita itu, maka inilah yang dipanggil sebagai "dosa berantai" atau “dosa jariah”. Nauzubillah. Marilah sama-sama kita bertaubat kepada Allah SWT semoga Allah mengampunkan dosa mulut munafik ini, Insya Allah.

Justeru, dalam perkembangan dunia sosial ini, istilah 'membawang' atau 'makcik bawang' sering diberikan kepada individu yang gemar bercerita hal orang namun ia boleh mengundang padah kerana dibimbangi ia boleh membawa kepada munafik.

Dalam artikel akan datang kita akan teliti lagi berkenaan dengan ciri-ciri mulut munafik yang lain, in syaAllah.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan bolehlah diemelkan kepada saya di [email protected].

Sila kongsikan artikel ini sebanyak-banyaknya semoga menjadi amal jariah kita pula. Wallahua’lam.

*** Ustaz Shams ialah pensyarah di sebuah universiti.

Membawang, Ustaz Shams, munafik

Artikel Lain