suria

Ya Allah... Sedar atau tidak ketika bersolat, banyak ciri munafik dalam ibadah kita!

Adakah kita melakukan solat dengan sempurna bagi mengelak tergolong dalam kalangan orang munafik? Gambar hiasan.

KEBELAKANGAN ini kita selalu mendengar perkataan munafik. Allah mengatakan bahawa orang munafik adalah termasuk dalam kalangan orang fasik iaitu jahat.

Allah juga berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 8: "Di antara manusia ada yang mengatakan bahawa kami beriman kepada Allah dan hari akhirat, pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang yang beriman."

Dan dalam ayat yang lain Allah akan menyiksa orang munafik di dalam api neraka yang paling bawah.

Kalau kita teliti fakta sejarah orang munafiklah yang telah cuba menghancurkan Islam, negara Islam dan orang-orang Islam seperti beberapa contoh berikut:

1. Abdullah bin Ubay bin Salul pada zaman nabi Muhammad SAW dan merupakan bapa munafik: Dia telah memeluk Islam dan pergi berjihad dalam peperangan Uhud tetapi tujuannya untuk menghasut tentera Islam sehingga 300 orang termakan hasutan dan belot dari medan peperangan Uhud.

Melakukan solat secara berjemaah adalah dituntut dalam Islam.

2. Abdullah bin Sabak seorang munafik pada zaman sahabat atau zaman khalifah sehingga merosakkan pengikut saidina Ali dan melahirkan fahaman syiah yang rosak. Akhirnya syiah telah sesat sehingga menghalalkan darah pembunuhan ahli sunnah wal jamaah dan mengkafirkan sahabat nabi seperti saidina Abu bakar, Umar dan Uthman.

3. Lawrence of Arabia seorang ejen British yang menonjolkan diri sebagai seorang Islam telah memecahkan kesatuan negara Islam yang menguasai lebih 2/3 dunia pada zaman khilafah Uthmaniyyah.

4. Mustafa Kemal Ataturk yang telah menghancurkan Khalifah Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924 dan menukarkan sistem Khalifah kepada republik, sistem Islam kepada sekularisma, masjid-masjid ditutup dan mengaji tidak dibenarkan.

Fakulti Pengajian Islam di Universiti Istanbul juga ditutup dan pengajian Islam di sekolah dilarang. Laungan azan pula wajib dalam bahasa Turki, khutbah Jumaat tidak dibenarkan dalam bahasa Arab, kitab-kitab berbahasa Arab tidak dibenarkan dicetak di Turki sementara dalam perkahwinan mesti ada tarian dan nyanyian dan banyak lagi.

Penelitian daripada fakta sejarah dan firman Allah SWT di atas menunjukkan bahawa perbuatan munafik amat berbahaya dan Allah melarang kita bersama orang munafik selain melantik pemimpin dalam kalangan orang munafik.

Antara ciri-ciri orang munafik itu apabila dia mengelak melakukan solat Subuh dan Isyak secara berjemaah. Gambar hiasan.

Peribahasa Melayu menyamakan munafik sebagai gunting dalam lipatan, talam dua muka, lidah bercabang, pisau dua mata dan api dalam sekam. Oleh itu marilah sama-sama kita kaji dan teliti apa cir-ciri yang menjadikan seseorang itu munafik kerana ditakuti kita tergolong dalam kalangan orang sedemikian.

Di dalam sebuah kitab yang disusun oleh Drs Hanafi Mohamad dan dalam kita-kitab lain terdapat lebih kurang 50 tanda-tanda orang munafik berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis nabi SAW.

Ia seperti solat cara orang munafik, mulut munafik, hati munafik, transaksi cara munafik dan lain-lain. Tetapi pada artikel kali ini mari kita fokuskan kepada cara-cara orang munafik beribadat terutama mengerjakan solat.

7 CARA SOLAT MUNAFIK

1.  Solat dengan cara malas-malas

Salah satu ciri munafik adalah malas dalam beribadat amnya dan khususnya dalam mengerjakan solat.

Allah SWT berfirman; "Sesungguhnya orang munafik itu menipu Allah sedang Allah membalas tipuan mereka [dengan tidak memberikan hidayah kepada mereka]. Apabila mereka hendak mendirikan solat, mereka berdiri dengan malas..." - [Al-Nisa:143]

2. Solat dalam keadaan riyak

Kalau pun mereka solat maka mereka mengerjakannya kerana selain dari Allah. Contohnya apabila kita balik kampung mak mentua pada musim cuti sekolah ni. Ayam belum berkokok pun kita dah bangun dan kejutkan mak mentua dan pak mentua untuk solat berjemaah untuk dapat pujian supaya dikatakan menantu terbaik pada hal kat rumah sendiri pukul 12 tengahari pun baru bangun.

Meninggalkan solat Jumaat bagi lelaki tanpa sebab atau halangan adalah tergolong dalam kalangan orang munafik. Gambar hiasan.

Allah SWT berfirman dalam ayat yang sama; "Sesungguhnya orang munafik itu menipu Allah sedang Allah membalas tipuan mereka [dengan tidak memberikan hidayah kepada mereka]. Apabila mereka hendak mendirikan solat, mereka berdiri dengan malas dan riak terhadap manusia...." - [Al-Nisa:143].

3. Solat dalam keadaan lalai

Allah SWT berfirman masih dalam ayat yang sama; "Sesungguhnya orang munafik itu menipu Allah sedang Allah membalas tipuan mereka [dengan tidak memberikan hidayah kepada mereka]. Apabila mereka hendak mendirikan solat, mereka berdiri dengan malas dan riak terhadap manusia dan mereka tidak mengingati Allah melainkan sedikit sahaja." - [Al-Nisa:143].

Apabila mengangkat takbir untuk solat, tiba-tiba segala macam perkara kita ingat dan terbayang di fikiran ketika dalam solat contohnya, aku kunci tak kereta tadi, mana kunci kereta dan sebagainya.

4. Lalai dalam menjaga solat

Maksud orang yang lalai dalam menjaga solatnya ialah orang yang sengaja melewatkan-lewatkan solatnya tanpa keuzuran syarak. Contohnya masuk waktu Zohor pukul 1.30 petang tapi dikerjakan solat zohor pukul 4.30 petang dan alang-alang mahu kerjakan terus solat Asar sebab sayangkan mekap contohnya atau sebab ada mesyuarat penting kononnya.

Allah berfirman; “Maka celakalah bagi orang yang solat, mereka itu lalai daripada solatnya… [Al-Maaun: 1-2] Dalam satu hadis nabi SAW sahabat bertanya apa maksud “lalai daripada solat” yang Allah sebut dalam ayat tersebut, maka jawab nabi SAW: melewat-lewatkan mengerjakan solat.

5. Solat ekspres

Ia bermaksud mengerjakan solat dengan sangat cepat sehingga tiada tama’ninahnya. Rasulullah SAW bersabda bahawa; “Pencuri yang paling utama ialah orang yang mencuri di dalam solatnya. Lalu ada yang bertanya bagaimana caranya mencuri dalam solat itu. Maka jawab nabi SAW ialah orang yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya serta bacaan dalam solatnya.” - [HR ahmad dan Hakim].

Solat merupakan perbuatan wajib dilakukan oleh setiap umat Islam walaupun dalam apa juga keadaan sekalipun.

Contohnya, satu video dari Indonesia pernah tular sebelum ini apabila jemaah masjid melakukan solat sunat Terawih 23 rakaat tetapi dalam masa 7 minit.

6. Gemar meninggalkan solat berjemaah

Nabi SAW bersabda: “Tidak ada yang akan meninggalkan solat berjemaah kecuali orang munafik yang sudah diketahui kemunafikannya.” - [HR Muslim].

Kalau solat tak ajak anak bini solat bersama, kalau berhenti di R&R pun tak suka solat berjamaah kerana nak cepat dan sebagainya.

Pada zaman nabi SAW kalau nak kenal siapa orang munafik tengok semasa solat Isyak dan Subuh kerana orang munafik memang susah untuk bersolat berjemaah terutama pada waktu solat Isyak dan Subuh.

7. Meninggalkan solat Jumaat

Tiada keuzuran yang dibenarkan oleh syarak tetapi mereka meninggalkan solat Jumaat kerana sibuk bekerja, adanya mesyuarat, membeli belah dan hal-hal lain.

Sabda nabi SAW; “Barang siapa meninggalkan solat Jumaat tanpa ada halangan atau bahaya, maka ia akan menjadi orang munafik dalam sebuah catatan yang tidak akan dihapuskan dan tidak akan ditukar [selama tidak bertaubat] - [HR Abu Daud dan Nasa’i].

Solat adalah ibadat pertama yang akan diaudit oleh Allah di akhirat nanti. Oleh itu, jagalah solat, tata tertibnya, rukun dan syarat sahnya.

Siapa yang menjaga solat maka di telah mendirikan agamanya dan sesiapa yang meninggalkan solat maka dia telah meruntuhkan agamanya.

Terlalu marahnya Allah kepada orang yang solat dengan cara munafik yang mana Allah mengatakan mereka menipu, mencuri, celaka dan ciri munafik.

InsyaAllah dalam minggu yang akan datang kita akan teliti banyak lagi ciri-ciri munafik supaya kita dapat membersihkan diri daripada sifat itu dan mengelak daripada mendapat azab Allah.

Untuk sebarang pertanyaan boleh e-mel kepada saya di [email protected]

Marilah kita sama-sama berkongsi artikel ini agar kita turut mendapat manfaat dan pahala jua. Waalahua’lam.

*** Ustaz Shams ialah pensyarah di sebuah universiti.

munafik, solat

Artikel Lain