suria

Cium anak adalah sunah Nabi SAW sebagai tanda kasih... Usah percaya mitos anak melawan jika selalu dicium

Mencium anak itu merupakan satu perbuatan sunah Baginda Rasulullah.

ANAK-ANAK merupakan anugerah Allah kepada ibu bapa untuk dipelihara dan dijaga. Ia merupakan amanah yang perlu dipikul oleh setiap yang bergelar ibu bapa.

Ada dalam kalangan pasangan yang suami isteri yang diuji oleh Allah dengan tidak mendapat zuriat setelah lama berkahwin.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketawakan orang dilarang jika ia berbentuk musibah walaupun kejadian itu dianggap kelakar... Ketahui hukumnya dalam Islam

Firman Allah di dalam surah Al-Syura ayat 49: Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Sebagai ibu bapa sudah tentu mereka akan menyayangi anak-anak dengan memberikan layanan dan kasih sayang yang secukupnya kepada mereka.

Pada tulisan kali ini ustaz ingin mengajak pembaca meneliti satu hukum berkenan dengan mencium anak.



Kolumnis Addin, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan bersama empat anak kesayangannya.

Antara tanda kasih kita kepada anak adalah dengan mencium mereka sama ada setiap kali bangun daripada tidur atau setiap kali kita bermain dengan mereka. Kasih sayang ini dapat dirasai oleh anak dan juga ibu bapa itu sendiri.

Ada ibu bapa yang tidak pernah sama sekali mencium anak-anak mereka. Mereka berpendapat bahawa itu salah satu cara didikan supaya anak-anak tidak melawan ibu bapa apabila besar nanti.

Tahukah kita bahawa Baginda Rasulullah sendiri mengungkapkan rasa kasih sayang baginda dengan mencium anak dan cucu Baginda.

Abu Hurairah berkata: Rasulullah pernah mencium Al Hasan bin Ali sedangkan di samping Baginda ada Al Aqra' bin Habis At Tamimi sedang duduk, lalu Aqra' berkata: Sesungguhnya aku memiliki sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah mencium mereka sekali pun, maka Rasulullah memandangnya dan bersabda: Barangsiapa tidak mengasihi maka ia tidak akan dikasihi. - [HR Bukhari 5538].

Hadis ini dapat kita ambil daripada kaca mata fiqh iaitu mencium anak itu merupakan satu perbuatan sunah Baginda Rasulullah.



Kasih sayang seorang bapa tiada tandingan.

Ia sebagai bukti kasih sayang dan kerahmatan kita kepada mereka disebabkan mereka tidak mampu untuk makan sendiri, memakai pakaian sendiri dan tidak dapat melakukan apa-apa melainkan dengan bantuan ibu bapa.- (Al-Ifsah 177/6).

Hukum asal bagi perbuatan mencium anak kecil sama ada di wajah mereka, kepala atau anggota badan yang tidak bercanggah dengan adat adalah diharuskan. - (Fathul Bari 427/10).

Hukum ini seperti mana terdapat dalam sebuah hadis iaitu: Dari 'Aisyah dia berkata: Sekelompok orang dari bangsa Arab dusun datang menemui Baginda Rasulullah, lalu mereka bertanya: Apakah kalian biasa mencium bayi-bayi kalian? Para sahabat menjawab: Ya. Lalu mereka berkata: Demi Allah, kami tidak pernah menciumnya. Maka Rasulullah bersabda: Saya tidak mampu apabila Allah 'Azza wa Jalla mencabut rasa kasih sayang darimu. - [HR Muslim 4281].

Bagi hukum mencium mulut anak pula, terdapat dalam sebuah hadis nabi yang mana Baginda Rasulullah menghisap lidah atau mulut Al-Hasan: Dari Mu'awiyah berkata: Saya pernah melihat Rasulullah mengisap lidah atau mulut Al Hasan bin 'Ali dan sesungguhnya tidak akan diseksa lidah atau mulut yang telah dihisap oleh Rasulullah. - [HR Ahmad 16245].



Menunjukkan kasih sayang terhadap anak dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Ibn Hajar berpendapat ia perlu dilihat dari sudut pandang adat setempat. Jika ia membawa fitnah, adalah lebih baik ditinggalkan kerana keburukan lebih banyak berbanding kebaikan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Termasuk yang diharamkan juga sekiranya mencium anak dengan hawa nafsu atau memandang mereka dengan hawa nafsu.

Oleh yang demikian, kasih sayang ibu bapa kepada anak tidak cukup sekadar mencium bahkan di sana terdapat hak anak-anak yang perlu ditunaikan oleh setiap ibu bapa.

Antara hak dan tanggungjawab seorang ibu bapa yang terbesar adalah mendidik dan mengajar mereka.

Sudah menjadi tanggungjawab sebagai ibu bapa untuk mendidik dan mengajar mereka dalam semua aspek terutama dalam aspek agama.

Ini kerana anak dilahirkan sebagai kain putih yang bersih seperti mana yang disebutkan oleh Baginda Rasulullah: Setiap anak dilahirkan di atas al millah (agama fitrahnya Islam) namun, kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani, atau menjadikannya seorang yang musyrik. - [HR Tirmizi 2064].

Semoga anak-anak kita dididik dengan kasih sayang dan tanggungjawab supaya kita dapat membentuk generasi Hawariyyun.

Mendidik dan mengajar bukan sahaja dari sudut dunia tapi dari sudut agama seperti aqidah, ibadah dan juga akhlak. Ia mestilah bersesuaian dengan peringkat umur mereka.

Ingatlah, anak merupakan ujian kepada kita seperti mana firman Allah di dalam Surah At-Taghaabun ayat 15: Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian bagimu.

Dalam Tafsir al-Maraghiy telah diperincikan bahawa kecintaan kepada harta benda dan anak-anak adalah cubaan dan ujian kerana seringkali perkara itu menjadi penyebab kepada perbuatan dosa dan pelanggaran terhadap apa-apa yang dilarang. - (Tafsir al-Maraghiy 7053/14)

Ketahuilah anak adalah amanah Allah yang wajib kita sayangi sedangkan binatang juga mengasihi anak-anaknya dengan rahmat yang Allah campakkan pada diri mereka.

Semoga anak-anak kita dididik dengan kasih sayang dan tanggungjawab supaya kita dapat membentuk generasi Hawariyyun iaitu generasi pembela agama Allah dalam setiap keadaan, sama ada dengan diri mereka, harta, perkataan, dan perbuatan mereka.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain