suria

Ramadan sudah di penghujung... Inilah golongan yang tidak dapat keampunan Allah

Bulan Ramadan sudah sampai ke penghujungnya, adakah semua ibadah kita diterima Allah?

ALLAH telah menciptakan manusia dalam keadaan lemah dan mereka tidak terlepas daripada melakukan dosa.

Sabda Baginda Rasulullah: Semua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat. - [HR Ibn Majah 4392]

Bulan Ramadan merupakan bulan untuk kita berdoa meminta keampunan Allah. Tatkala Allah membuka seluas-luasnya pintu syurga dan menutup serapat-rapatnya pintu neraka serta dibuka pintu kerahmatan maka pada waktu inilah kita memohon keampunan Allah dengan kita berdoa: Wahai Tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Mulia dan Engkau menyukai untuk memberikan keampunan, maka ampunilah daku Ya Allah.

ARTIKEL BERKAITAN: Bagai bawa air dalam baldi bocor... 3 perbuatan ini kurangkan pahala tapi tak batalkan puasa!

Bulan Ramadan merupakan bulan yang terbaik bagi seorang hamba yang mahu melipat gandakan amalan soleh kerana pada Bulan Ramadan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu dapat mendidik jiwanya untuk melakukan kebaikan.

Tetapi di sana terdapat mereka yang cukup rugi apabila masuk dalam bulan Ramadan dan apabila dosa mereka tidak diampunkan Allah.

Dalam sebuah hadis: Ketika Nabi menaiki mimbar, Baginda bersabda: “Amin, Amin, Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin”. Maka Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barang siapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin”. [HR Ibn Hibban 907].

Hadis ini menunjukkan betapa ruginya mereka yang apabila telah sampai dalam bulan keampunan tetapi tidak mendapat keampunan dari Allah. Siapakah mereka sehingga Allah tidak mahu mengampunkan dosa-dosa mereka? Maka kata para alim ulama mereka ialah:



Adakah kita termasuk dalam golongan yang rugi sepanjang Ramadan?

1. Orang yang sombong dan tidak menghormati bulan mulia

Membesar dan mengagungkan syiar Islam merupakan salah satu sifat ketakwaan bagi orang mukmin. Firman Allah di dalam Surah Al-Hajj ayat 32: Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Bulan Ramadan merupakan salah satu lambang syiar Islam. Oleh kerana itu, Allah memfardukan pada bulan Ramadan supaya kita berpuasa di siang hari. Ini bertujuan untuk mendapatkan ketakwaan kepada Allah.

Malang sekali ada dalam kalangan kita yang tidak menghormati bulan yang penuh dengan kemuliaan seperti membuka puasa tanpa keuzuran, tidak berpuasa kerana mengingkari kewajiban ibadah puasa Ramadan atau tidak berpuasa kerana alasan-alasan yang didasari nafsu.

2. Orang yang tidak mengerjakan solat sedangkan berpuasa

Apa guna seseorang itu berpuasa tetapi tidak mengerjakan ibadah solat sedangkan solat itu tiang agama. Solat merupakan hubungan hamba dengan Yang Maha Pencipta dan apabila seseorang itu tidak melakukan ibadah solat maka terputuslah hubungannya dengan Yang Maha Esa.

Allah menegaskan kepada mereka yang lalai dalam mengerjakan ibadah solat dengan perkataan celaka. Firman Allah di dalam Surah Al-Maa'uun ayat ke 4-6:

(4) (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang -

(5) (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;

(6) (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riyak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya),

3. Melakukan maksiat kepada Allah

Bulan Ramadan merupakan bulan untuk memperbaiki diri supaya mentaati segala perintah Allah. Orang yang melakukan maksiat pada Bulan Ramadan maka mereka ini akan mendapat siksaan yang berlipat kali ganda. Syaikh Taqiyuddin mengatakan, maksiat yang dilakukan di waktu atau tempat yang mulia, dosa dan hukumnya dilipatkan, sesuai tingkatan kemuliaan waktu dan tempat tersebut. (al-Adab as-Syar’iyah, 3/430).

Seharusnya seseorang itu memanfaatkan Bulan Ramadan sebagai bulan untuk melipat gandakan amalan agar diredai Allah. Ada dalam kalangan mereka yang menghabiskan malam dengan melakukan perkara maksiat seperti berjudi, berkhalwat dengan wanita yang bukan ajnabi atau melanggar segala perintah Allah maka mereka ini tidak akan mendapat keampunan Ilahi melainkan kembali kepadaNya.

Sabda Baginda Rasulullah: Pada malam pertama bulan Ramadan syaitan-syaitan dan jin-jin yang jahat dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup, tidak ada satu pintu yang terbuka dan pintu-pintu syurga dibuka, tidak ada satu pun pintu yang tertutup, serta seorang penyeru menyeru, wahai yang mengharapkan kebaikan bersegeralah (kepada ketaatan), wahai yang mengharapkan keburukan/maksiat berhentilah, Allah memiliki hamba-hamba yang selamat dari api neraka pada setiap malam di bulan Ramadan. - [HR Tirmizi 618].

Oleh yang demikian, rebutlah peluang yang berbaki ini di 10 malam terakhir agar kita tidak tergolong dalam golongan orang yang rugi dan golongan yang tidak dilepaskan dari azab api neraka serta tidak mendapat keampunan Allah.

Semoga Ramadan ini menjadi Ramadan yang terbaik dalam kehidupan kita dengan kita patuh segala perintah Allah.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain