suria

Bagai bawa air dalam baldi bocor... 3 perbuatan ini kurangkan pahala tapi tak batalkan puasa!

Berpuasa bukan sekadar tidak makan dan minum tetapi menjaga perbuatan lain.

SUDAH menjadi lumrah sesuatu kebaikan yang dilakukan pasti akan mendapat ganjaran di sisi Allah. Sebagaimana seseorang itu berpuasa, mereka pasti mengharapkan ganjaran pahala.

Ramai dalam kalangan kita mengetahui perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum di siang hari, bersama dengan isteri di siang hari puasa dan lain-lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sekadar tak makan dan minum... Ketahui adab dan fadilat puasa yang mungkin ramai sudah lupa!

Dalam masa yang sama, kita perlu tahu terdapat beberapa perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa tetapi tidaklah sampai ke tahap membatalkan puasa.

Alangkah ruginya mereka yang berpuasa tetapi tidak mendapat pahala seperti orang yang membawa air di dalam baldi yang bocor.

Sabda Baginda Rasulullah: Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam. [HR Ibnu Majah 1690]

Antara perkara yang boleh menyebabkan pahala puasa berkurang ialah;

1. Tidak menjaga lisan

Menjaga lisan adalah perbuatan yang sangat penting dalam Islam. Antara bentuk menjaga lisan adalah dengan menghindari perkataan yang buruk dan tidak bermanfaat. Selain daripada dapat mengelakkan daripada berkurangnya pahala, ia dapat mengelakkan diri daripada membuat dosa dan menyakiti hati orang sekeliling.

Sabda Baginda Rasulullah: Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”. [HR Bukhari 1770]

Dengan kehadiran Ramadan yang mulia, seharusnya menjadikan kita sebagai mukmin yang baik menggunakan lidah untuk berzikir, membaca Al-Quran dan bertutur dengan perkataan yang baik. Sabda Baginda Rasulullah: Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam. [HR Bukhari 6475]

Imam Nawawi menjelaskan tentang hadis ini ketika mana menjelaskan hadis-hadis Arba’in. Beliau berkata, Imam Syafie menjelaskan bahawa maksud hadis ini adalah apabila seseorang hendak berkata hendaklah dia berfikir terlebih dahulu. Jika dirasakan perkataannya tidak akan membawa mudarat, maka dibolehkan untuk berbicara. Akan tetapi, jika dirasakan perkataannya itu akan membawa mudarat atau dia ragu-ragu samada membawa mudarat atau tidak, maka hendaklah dia tidak berbicara.

2. Tidak melakukan perbalahan

Persaudaraan merupakan satu ikatan yang mana Allah SWT telah mengikatnya di antara orang-orang yang beriman. Sekiranya kita mendapati sesiapa sahaja sama ada dari timur atau barat yang beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari akhirat maka dia adalah saudara kepada orang yang beriman. Di samping itu juga, persaudaraan ini mewajibkan orang beriman untuk menyayanginya seperti mana mereka menyayangi diri mereka sendiri atau sebaliknya.

Sabda Baginda Rasulullah: Puasa itu merupakan perisai. Apabila salah seorang daripada kalian sedang berpuasa, maka janganlah dia berkata-kata dengan perkataan yang kotor dan menjerit-jerit. Sekiranya ada orang yang mencaci atau memeranginya, maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa. [HR Bukhari 1904].

Sifat marah antara punca berlakunya masalah yang lebih besar dalam kehidupan bermasyarakat. Jika seseorang individu tidak dapat mengawal marah, pergaduhan besar boleh berlaku malah tidak mustahil hingga menyebabkan pertumpahan darah. Oleh kerana itu, apabila seseorang itu berpuasa maka seharusnya kita berusaha untuk mengawal diri dengan mengatakan "Sesungguhnya saya sedang berpuasa".

3. Berkata dusta

Perbuatan berbohong dalam keadaan seseorang itu sedang berpuasa menjadikan dosa orang tersebut bertambah beratnya. Ini kerana, dosa dan pahala seseorang itu boleh berbeza kadar ganjaran dan hukumannya mengikut perbezaan faktor seperti tempat ia dilakukan dan juga masa ia dilakukan. Justeru, melakukan dosa seperti berbohong dalam bulan Ramadhan lebih-lebih lagi dalam keadaan seseorang itu sedang berpuasa menjadikan ianya lebih berat di sisi Tuhan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W bersabda: Barang siapa yang tidak meninggalkan ucapan yang dusta dan beramal dengan pembohongan maka Allah tidak berhajat ke atas perbuatannya yang meninggalkan makan dan juga minum. [HR Bukhari 1903]

Berdasarkan hadis di atas para ulama memberikan tafsiran yang berbeza-beza akan maksud sebenar kenyataan Nabi. Sebahagian mensyarahkan maksudnya adalah sesiapa yang berbohong puasanya tidak diterima oleh Allah. Manakala sebahagian yang lain pula menyatakan bahawa maksud hadis tersebut adalah sesiapa yang berbohong akan menyebabkan pahala puasanya berkurangan.

Imam al-Subki pula menyatakan bahawa hadis ini memberikan peringatan kepada kita akan dua perkara: Pertamanya, bertambah keburukan dan keji bagi orang yang berbohong semasa berpuasa berbanding di luar puasa. Keduanya, hendaklah seseorang itu berusaha untuk menyelamatkan puasanya dari perbuatan berbohong.

Rugilah bagi seseorang yang bertungkus lumus dalam berpuasa tetapi akhirnya dia hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja. Ini semua dek kerana dalam bulan puasa masih lagi melakukan perkara-perkara yang tidak diredai Allah walaupun syaitan telah dikurung dan pintu syurga dibuka seluas-luasnya manakala pintu neraka ditutup serapat-rapatnya.

Oleh yang demikian, dengan kehadiran bulan Ramadan maka bersegeralah dalam memperbaiki diri dan bersedia dengan sebenar-benar persediaan agar tidak menyesal di kemudian hari. Selamat datang bulan Ramadan, bulan yang penuh dengan kenikmatan dan kasih sayang.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain