suria

Hukum pemakaian inai oleh kaum lelaki, adakah haram atau dibolehkan?

Terdapat larangan daripada Imam as-Syafi'e rahimahullah tentang perbuatan lelaki berinai kecuali bagi tujuan perubatan sahaja.

MAJLIS sosial seperti majlis akad nikah, kenduri kahwin, majlis pertunangan kembali dibenarkan penganjurannya di negeri-negeri tertentu.

Maka berduyun-duyunlah pasangan membina masjid bersama separuh jiwa yang sekian lama dinantikan. Tahniah diucapkan dan didoakan semoga berkekalan sehingga ke syurga.

ARTIKEL BERKAITAN: Wajah orang meninggal dunia dihidupkan guna aplikasi, ketahuilah hukumnya

Inai dan pengantin adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Pemakaian inai merupakan sesuatu yang sinonim lebih-lebih lagi dengan kaum wanita yang mana pemakaian inai biasa dilihat di majlis perkahwinan atau menjelang majlis perkahwinan.

Terdapat sebilangan kaum lelaki yang turut sama menjadikan ia sebagai amalan dengan memakai inai di jari mereka ketika majlis pertunangan atau hari persandingan mereka. Ia boleh dikatakan meluas dan menjadi kelaziman bagi kaum adam memakainya di hari persandingan.

Persoalannya, adakah ianya dibenarkan dalam syarak?

Inai pada asalnya adalah perhiasan untuk kaum wanita dan adalah digalakkan bagi wanita untuk mengenakan inai di jari-jemari mereka. Ini adalah seperti yang diriwayatkan dalam sebuah hadis, daripada ‘Aisyah:



Inai dan pengantin adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan.

Seorang wanita memberikan isyarat dari belakang tabir bagi menunjukkan pada tangannya ada surat untuk diberikan kepada Rasulullah.

Maka Nabi menggenggam menutup tangannya lalu berkata: Aku tidak tahu adakah ini tangan lelaki ataupun tangan perempuan?. Jawab perempuan tersebut: Perempuan. Lalu Baginda berkata: Jikalau kamu ini perempuan, nescaya akan lakukan perubahan pada kuku-kuku kamu (iaitu dengan inai). [HR Abu Daud 4166]

Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata, terdapat larangan daripada Imam as-Syafi'e rahimahullah tentang perbuatan lelaki berinai kecuali bagi tujuan perubatan sahaja.

Contoh tujuan perubatan ialah seperti berinai untuk merawat penyakit kuku dan uban. Ini adalah kerana, perbuatan berinai ini merupakan amalan dan perhiasan yang sinonim bagi kaum wanita sahaja.

Umum mengetahui perbuatan menyerupai wanita dari segi pakaian ataupun perhiasan adalah ditegah di dalam Islam. Sabda Baginda Rasulullah daripada Ibn ‘Abbas:

Rasulullah telah melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita dan golongan wanita yang menyerupai lelaki. [HR Bukhari 5885]



Mengenai inai bercorak, ukiran daun, bunga tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan tetapi haruslah tidak berlebihan.

Lafaz laknat jelas menunjukkan ia adalah sesuatu yang haram dan akan dilaknat Allah jadi tidak usahlah kita melanggar hukum yang mana telah jelas pengharamannya.

Pemakaian inai bagi lelaki kebiasaannya bukanlah pada keseluruhan tangan tetapi hanya di hujung 3 jari mereka. Perkara ini tiada asal dan manfaatnya kecuali untuk berubat tetapi telah menjadi kelaziman dalam masyarakat sedangkan ianya adalah sesuatu yang jelas pengharamannya.

Imam an-Nawawi rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu’ berkata lelaki diharamkan memakai inai ditangan dan kaki kecuali pada rambut mereka. Namun begitu, lelaki diizinkan bahkan dianjurkan untuk mewarnakan rambut atau janggutnya yang beruban dengan inai berdasarkan kepada hadis-hadis sahih. Antaranya ialah:

Uthman bin Abdullah bin Mauhab dia berkata: Aku pernah menemui Ummu Salamah lalu dia mengeluarkan kepada kami beberapa helai rambut Rasulullah SAW yang telah diwarnai dengan inai. [HR Bukhari 5447]

Seiring peredaran zaman, pemakaian inai juga berubah. Pelbagai produk dan perkhidmatan untuk melukis inai berada di pasaran.

Sebenarnya persoalan begini masih lagi menjadi tanda tanya dalam kalangan kita kerana melukis inai bercorak mungkin nampak cantik di mata kita tetapi tidak cantik dari segi hukum syarak.

Mengenai inai bercorak, ukiran daun, bunga tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan tetapi haruslah tidak berlebihan. Adapun ukiran seperti haiwan, lambang dewa-dewi atau apa-apa yang boleh menggambarkan kaitan dengan agama lain serta bertentangan dengan syarak adalah dilarang sama sekali.

Pemakaian inai pada kedua-dua belah tangan dan kaki perlulah dihadkan pada kadarnya iaitu sehingga pergelangan tangan dan buku lali.

Semoga kita sentiasa diberikan hidayah oleh Allah untuk melakukan segala perkara mengikut apa yang Allah suka dan bukan Allah murka.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain