suria

Mereka yang bermusuhan tidak akan diampunkan Allah pada malam nisfu Syaaban

Ambil kesempatan dalam bulan Syaaban ini untuk bermaaf-maafan agar tidak tergolong dalam golongan yang rugi.

BULAN Syaaban merupakan antara bulan yang agung dalam syarak. Baginda Rasulullah memperbanyakkan ibadah pada bulan ini dan disunatkan bagi kita untuk mempertingkatkan amalan dan ibadah kita sebagaimana yang disebut di dalam hadis yang sahih.

Ini kerana, pada Bulan Syaaban laporan amalan seseorang akan diangkat oleh Allah. Oleh yang demikian adalah lebih baik kita mengakhiri laporan amalan tahunan kita dengan melakukan ibadah dan memohon keampunan kepada Allah.

ARTIKEL BERKAITAN: Miliki keistimewaan... Ketahui 5 puasa sunat yang tercatat dalam Al-Quran dan hadis sahih

Usman bin Zaid menceritakan: Saya telah bertanya kepada Rasulullah, wahai Rasulullah, saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban; lalu baginda menjawab, itulah bulan Syaaban di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan bulan Ramadhan; ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Oleh itu saya (Baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa. - [HR Ahmad 20758].

Apabila membicarakan mengenai bulan Syaaban, maka kita akan bercakap mengenai malam Nisfu Syaaban iaitu malam pertengahan bulan Syaaban. Nisf itu bermaksud separuh dalam bahasa arab.

Maka pada malam Nisfu Syaaban terdapat kelebihan yang dikhabarkan oleh Baginda Rasulullah bagi sesiapa yang mengambil peluang. Antara kelebihan malam Nisfu sya'ban ialah:



Ambil kesempatan ini untuk bermaaf-maafan dengan keluarga, sahabat dan kenalan.

1. Allah mengampuni dosa hambanya

Pada malam Nisfu Syaaban Allah akan mengampuni dosa hamba-hambanya kecuali mereka yang bertelingkah dan bermusuhan antara satu sama yang lain.

Ini berdasarkan hadis Baginda Rasulullah: Sesungguhnya Allah melihat pada malam Nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhlukNya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan. - [HR Ibn Majah 1380].

Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempunyai sifat dengki dan Allah akan membiarkan mereka ini sehingga mereka meninggal sifat tersebut.

Sifat dengki ini juga boleh digolongkan dalam golongan orang yang bermusuhan. Terdapat sebuah hadis yang melarang kita daripada sifat dengki ini.

Daripada Anas bin Malik, bahawa Baginda Nabi bersabda:Maksudnya: Janganlah saling memarahi, saling mendengki, saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. - [HR Bukhari 5612].



Doa yang dipanjatkan pada malam Nisfu Sya'ban dimakbulkan Allah.

2. Doa akan dimakbulkan Allah

Sememangnya seseorang itu pasti tercari-cari bilakah waktu yang mustajab apabila seseorang itu berdoa. Ini kerana, apabila kita berdoa kita mahukan apa yang kita mohon itu dimakbulkan Allah.

Tahukah kita bahawa pada malam Nisfu Syaaban doa akan dimakbulkan Allah? Rasulullah bersabda: Apabila malam Nisfu Syaaban (pertengahan bulan Syaaban), maka solatlah di malam harinya dan berpuasalah di siang harinya. Sesungguhnya Allah turun ke langit bumi pada saat itu ketika matahari terbenam, kemudian Dia berfirman: "Adakah orang yang meminta ampun kepada-Ku, maka Aku akan mengampuninya? Adakah orang yang meminta rezeki maka Aku akan memberinya rezeki? Adakah orang yang mendapat ujian maka Aku akan menyembuhkannya? Adakah yang begini, dan adakah yang begini...hingga terbit fajar. - [HR Ibn Majah 1378].

Telah berkata Imam al-Syafie: Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam Jumaat, malam al-Adha (hari raya korban), malam al-Fitri (hari raya puasa), malam awal bulan Rejab, dan malam Nisfu Syaaban. - (al-Um, 1/264).

Rugilah mereka yang sudah berada pada malam Nisfu Syaaban tetapi masih lagi alpa dan sibuk dengan urusan dunia sehingga melupai akan kelebihan ini.

Ditambah pula bagi mereka yang sentiasa bermusuhan diantara satu sama lain sehinggakan orang yang bermusuhan bukan sahaja rugi pada malam Nisfu Syaaban bahkan mereka akan sentiasa rugi.



Perbanyakkan amalan sebagai persediaan memasuki bulan Ramadan.

Ini berdasarkan hadis Baginda Rasulullah: Sesungguhnya pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis maka diampunkan setiap hamba yang tidak syirik kepada Allah dengan sesuatu kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya saling bermusuhan. Lalu dikatakan: Tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai. - [HR Muslim 4652].

Menghidupkan bulan Syaaban termasuk Nisfu Syaaban yang jatuh pada 29 Mac 2021 dengan ibadat seperti membaca al-Quran, bertaubat, beristighfar, berdoa, solat hajat dan sebagainya adalah ibadah yang baik bagi mendekatkan diri ke hadrat Allah.

Mudah-mudahan kita semua bersatu dan meningkatkan amal ibadah, meningkatkan ketakwaan dan melakukan amalan-amalan yang dituntut.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain