suria

Bukan sekadar tak makan dan minum... Ketahui adab dan fadilat puasa yang mungkin ramai sudah lupa!

Imam al-Ghazali berpesan bahawa puasa itu bukanlah meninggalkan makan, minum tetapi ia merangkumi penjagaan terhadap seluruh anggota badan.

TERDAPAT beberapa adab berpuasa yang perlu diambil perhatian oleh umat Islam dan juga fadilat puasa yang perlu diketahui agar dapat mendorong seseorang itu bersemangat untuk melakukannya.

Beberapa adab ringkas berkenaan puasa yang telah dijelaskan oleh Imam al-Ghazali dalam Bidayah al-Hidayah adalah seperti berikut:

ARTIKEL BERKAITAN: Kenali Ramadan yang bakal temui kita tak lama lagi...

1. Puasa bukan sekadar tidak minum dan tidak makan sahaja

Imam al-Ghazali juga berpesan bahawa puasa itu bukanlah meninggalkan makan, minum dan jimak bagi yang sudah berkahwin semata-mata.

Bahkan ia merangkumi penjagaan terhadap seluruh anggota badan seperti menjaga mata dari melihat perkara haram, menjaga lidah dari berkata perkara yang tidak berfaedah dan tidak mendengar perkara haram seperti umpatan kecuali disusuli dengan benci terhadap umpatan tersebut.

Selain itu, orang berpuasa juga perlu menjaga perut dan kemaluannya yakni tidak banyak makan dan berzina.

Rasulullah SAW bersabda: "Puasa adalah perisai, maka orang berpuasa janganlah berbuat kotor dan jangan pula berbuat perkara bodoh. Apabila ada orang yang mengajaknya berkelahi atau menghinanya maka katakanlah aku sedang berpuasa dua kali” (Riwayat al-Bukhari).

Hadis ini menjelaskan tentang kepentingan menjaga lidah dan perbuatan di samping sabar jika ada pihak ingin memutuskan silaturahim.

Jika tidak, puasa itu hanya sekadar lapar dan dahaga sahaja seperti sabda Nabi SAW: “Berapa banyak orang berpuasa yang tiada dapat dari puasanya kecuali lapar dan dahaga.” (Hadis Hasan Riwayat Ibn Majah)

2. Elakkan tabiat ini ketika berbuka puasa

Ketika berbuka puasa, Imam al-Ghazali menasihati agar berbuka puasa dengan makanan yang halal dan tidak makan dengan banyak bagaikan juadah dua atau tiga kali sehari dikumpulkan kuantititinya dalam satu hidangan berbuka puasa.

Ini akan lebih memberatkan perutnya dan tidak memberi faedah kepada puasanya.

Sepatutnya tujuan puasa adalah untuk memecahkan syahwat dan menambahkan ketakwaan pada dirinya. Jika perut penuh dengan makanan yang halal pun merupakan perkara yang tidak molek, apatah lagi jika perut diisi dengan makanan yang haram.

3. Fadilat puasa sebagai asas ibadah dan kunci taqarrub

Imam al-Ghazali juga menyatakan bahawa puasa adalah asas bagi ibadah dan kunci taqarrub yakni mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Kelebihan puasa dapat dilihat dalam sabda Rasulullah SAW: “Dan demi Dhat yang jiwaku berada di tanganNya, sungguh bau mulut orang yang sedang puasa lebih harum di sisi Allah Ta'ala berbanding harumnya minyak kasturi. Allah berfirman, ini kerana dia meninggalkan makanannya, minumannya dan nafsu syahwatnya kerana Aku. Puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang akan membalasnya dan setiap satu kebaikan dibalas dengan sepuluh kebaikan yang serupa.” (Riwayat Imam al-Bukhari)

Selain itu, terdapat fadilat anugerah memasuki pintu syurga secara khusus. Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka tidak dibenarkan masuk.” (Riwayat Imam Muslim)

Imam Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan bahawa al-Rayyan merupakan pintu syurga yang mana apabila seseorang memasukinya, ia tidak merasa dahaga kerana terdapat banyaknya sungai-sungai yang mengalir dan buah-buahan yang boleh dinikmatinya atau ia hilang lapar dan dahaga sebaik sahaja ia memasuki pintu tersebut.

Semoga umat Islam dapat melaksanakan ibadah puasa sunat dan puasa wajib pada bulan Ramadan sebaik-baiknya dengan meraikan adab-adabnya. Diingatkan semula, puasa merupakan antara asas bagi ibadah dan kunci untuk mendekatkan diri kepada Allah.

***Dr. Mohd Hasrul Shuhari ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain