suria

Mungkin ada yang terlupa... amalan sunnah makan sebelum solat sunat Aidilfitri bukti haram berpuasa 1 Syawal

Memandangkan kes Covid-19 kembali meningkat, umat Islam disarankan untuk melakukan solat sunat Aidilfitri bersama keluarga di rumah.

LEMBARAN hari raya Aidilfitri menjelma lagi. Hari kemenangan bagi umat Islam dalam melawan hawa nafsu. Menjadi kelaziman seluruh dunia umat Islam akan bergembira dengan kedatangan Aidilfitri setelah sebulan bermujahadah melaksanakan amalan wajib dan sunat.

Hari raya Aidilfitri bukan sekadar untuk kita memakai pakaian baharu, ziarah kubur, makan makanan yang lazat dan ziarah menziarahi tetapi perayaan ini membawa maksud kita kembali kepada fitrah penciptaan.

Pepatah Arab ada mengatakan: Bukanlah hari raya Aidilfitri bagi orang yang berpakaian dan perabot rumahnya serba baru, namun hari raya Aidilfitri adalah bagi orang yang beriman dan ketaatannya bertambah.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramadan sudah di penghujung... Inilah golongan yang tidak dapat keampunan Allah

Raya tahun ini mungkin berbeza seperti mana tahun-tahun yang lepas. Ini kerana, sudah dua kali kita tidak dapat beraya seperti biasa. Kunjung-mengunjung untuk merapatkan tali silaturahim ke rumah sanak saudara tidak lagi dapat dilakukan. Ini semua disebabkan ujian Covid-19 yang semakin mengganas dengan catatan kes harian yang mencecah empat angka.

Sebagai umat Islam kita seharusnya reda dengan segala ujian yang mendatang. Kita semua perlu kembali kepada Yang Maha Kuasa dan menginsafi segala kesilapan dan kesalahan yang telah kita lakukan.

Bagaimanapun, kedatangan Syawal perlu disambut dengan ketaatan kepada Allah dan tidak menjadikan kehadiran Syawal sebagai pesta maksiat. Sebagai umat Islam ada beberapa perkara sunnah yang perlu dititik beratkan agar momentum Ramadan dapat diteruskan dengan amalan-amalan sunah.

Antara perkara yang perlu dilakukan pada malam raya dan di pagi raya ialah:

MALAM HARI RAYA

1. MEMBAYAR ZAKAT

Menjadi satu kewajipan bagi seorang muslim yang mampu untuk membayar Zakat Fitrah. Kata para alim ulama' waktu yang paling baik untuk mengeluarkan Zakat Fitrah ialah selepas tergelincirnya matahari akhir Ramadan dan sebelum menunaikan Solat Aidilfitri.

2. MENGHIDUPKAN MALAM RAYA DENGAN IBADAH TERUTAMANYA BERTAKBIR

Sabda Baginda Rasulullah: Barang siapa menghidupkan (dengan ibadah) pada malam dua hari raya (hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidil Adha) kerana mengharap pahala dari Allah, maka hatinya tidak akan mati di hari semua hati mati. [HR Ibn Majah 1772]

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Para alim ulama' mengatakan menjadi satu keharusan seseorang individu muslim menghidupkan malam hari raya dengan amal ibadah dengan bertakbir, solat, membaca Al-Quran dan apa sahaja ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah.

PAGI HARI RAYA

1. MANDI SUNAT HARI RAYA

Dalam sebuah riwayat daripada Ibn Umar bahawa dia akan mandi sunat hari raya Aidilfitri sebelum keluar dari rumah ke Musolla. [HR Muato' 384]. Telah berkata Imam Nawawi: Menjadi satu perkara sunah untuk mandi sunat hari raya dan ia bertepatan dengan perbuatan yang dilakukan oleh Ibn Umar.

Bagi membezakan mandi biasa dengan mandi sunat hari raya adalah dari sudut niat. Maka pastikan niat mandi pada pagi itu adalah untuk mandi hari raya. Sebagai contoh niatnya ialah; "Sahaja aku mandi sunat Aidilfitri kerana Allah Ta'ala."

2. MAKAN SEBELUM SOLAT RAYA

Menjadi amalan sunah untuk makan dahulu sebelum mendirikan solat sunat Aidilfitri. Ini berdasarkan perbuatan Baginda Rasulullah. Pada hari raya Rasulullah tidak berangkat untuk melaksanakan solat sehingga baginda makan beberapa butir kurma. [HR Bukhari 900].

Perbuatan Baginda Rasulullah itu menunjukkan hari kebesaran umat Islam yang mana pada hari itu juga diharamkan untuk berpuasa. Maka bagi masyarakat Malaysia boleh makan juadah yang disediakan sebelum melakukan solat sunat hari raya Aidilfitri.

3. MENGUCAPKAN "SEMOGA ALLAH MENERIMA AMALAN KITA" KEPADA SAHABAT HANDAI

Ucapan "Semoga Allah menerima amalan kita dan amalan kamu" merupakan satu amalan sunnah yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah.

Seperti dalam sebuah hadis daripada Wasilah dia telah berkata: Aku telah berjumpa Baginda Rasulullah pada hari raya, maka aku katakan kepada Baginda: Semoga Allah menerima amalan amalan kita dan amalan kamu. Sabda Rasulullah: Ya, semoga Allah menerima amalan amalan kita dan amalan kamu. - [HR Bahaiqi 6295].

4. SOLAT SUNAT HARI RAYA

Sementara itu, memandangkan kita kini sedang dalam usaha memerangi wabak Covid-19, kita tidak dibenarkan melakukan solat sunat Aidilfitri di masjid atau pun surau melainkan dengan bilangan jumlah yang sedikit.

Oleh yang demikian, kita digalakkan untuk melakukannya di rumah bersama keluarga. Solat sunat Aidilfitri dua rakaat hukumnya sunat muakkad, di mana segala rukun dan syarat serta sunatnya sama seperti solat fardu, kecuali perkara sunat yang ditambah iaitu takbir tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua, serta bertasbih di antara tiap-tiap takbir.

Tatacara solat sunat hari raya adalah seperti berikut:

(Rakaat pertama)

* Niat: Sahaja aku sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri dua rakaat sebagai imam/mengikut imam kerana Allah Taala.

* Takbiratul ihram dan kemudian Takbir 7 Kali (diselangi lafaz Tasbih): Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu Akbar

* Membaca Al-Fatihah dan membaca Surah Pilihan

* Rukuk/Sujud/ Berdiri Semula

(Rakaat Kedua)

* Takbir bangun dari sujud dan kemudian selepas berdiri diikuti takbir 5 Kali (diselangi lafaz Tasbih seperti tadi)

* Membaca Al-Fatihah dan membaca Surah Pilihan

* Rukuk/ Sujud/ Salam

* Sunat berkhutbah sebanyak dua khutbah yang sama seperti khutbah Jumaat dari sudut rukun dan perkara sunat dalam khutbah. Secara umumnya, khutbah mempunyai lima rukun sahaja seperti yang disebutkan oleh fuqaha’ al-Syafi’eyyah. Berikut adalah lima rukun tersebut:

Memuji Allah.

Berselawat ke atas Baginda Rasulullah.

Pesanan untuk bertakwa.

Mendoakan orang beriman pada khutbah yang kedua.a

Membaca satu ayat al-Quran.

Suasana PKP bukanlah menjadi penghalang untuk kita tidak bergembira dek kerana tidak boleh pulang ke kampung, dengan teknologi yang semakin canggih mereka yang jauh boleh didekatkan dengan pelbagai aplikasi yang sedia ada.

Kegembiraan yang disambut mestilah bertepatan dengan syarak. Janganlah sesekali kita meraikan hari raya Aidilfitri yang penuh bermakna ini dengan melakukan maksiat kepada Allah.

Oleh itu, usaha-usaha untuk menghidupkan suasana gembira dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah merupakan sebahagian daripada syiar Islam.

Jadikan Aidilfitri kali ini bukan satu kekurangan tetapi ia merupakan satu kelebihan dalam kekurangan yang dapat kita raikan bersama dengan ahli keluarga yang tercinta.

Di kesempatan ini, ustaz ingin mengucapkan kepada seluruh umat Islam khususnya di Malaysia Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain