suria

Suntikan vaksin batalkan puasa atau tidak? Ini penjelasannya

Seorang warga emas menerima suntikan vaksin baru-baru ini. Foto BERNAMA

KETIKA ini fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sedang berlangsung yang membabitkan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kumpulan yang mempunyai penyakit kronik.

Timbul persoalan sama ada, suntikan vaksin ini membatalkan puasa memandangkan ketika ini umat Islam sedang melakukan ibadah puasa.

Menjawab persoalan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan kaedah pemberian suntikan vaksin terbahagi kepada empat kaedah, pertamanya suntikan Intramuscular iaitu suntikan ke dalam otot, Intravena iaitu suntikan melalui salur darah, intradermal suntikan melalui lapisan kulit atas dan subcutaneous iaitu suntikan pada kawasan dalam kulit di atas otot. Vaksin Covid-19 disuntik menggunakan kaedah intramuscular iaitu suntikan ke dalam otot.

ARTIKEL BERKAITAN: Bagai bawa air dalam baldi bocor... 3 perbuatan ini kurangkan pahala tapi tak batalkan puasa!

Dalam membahaskan isu ini, secara umumnya perkara yang membatalkan puasa adalah apabila tidak mencukupi syarat-syarat atau gugur salah satu daripada rukun puasa seperti haid, nifas, memasukkan sesuatu ke dalam badan dan sebagainya. Ini sebagaimana yang disebut di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:

Maksudnya: Perkara yang membatalkan puasa secara umumnya, setiap perkara yang tidak memenuhi salah satu daripada syarat-syaratnya, atau gugur salah satu rukunnya seperti murtad, keluarnya haid dan nifas. Melakukan setiap perkara yang boleh membatalkan puasa seperti makan, minum dan seumpamanya. Begitu juga memasukan sesuatu dari luar badan ke bahagian dalam rongga dalam badan orang yang berpuasa (Rujuk, Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 28/29)

Para ulama menjelaskan bahawa antara perkara yang membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam tubuh badan melalui rongga yang terbuka seperti hidung dan mulut. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya Raudah al-talibin:



Suntikan vaksin Covid-19 pada siang hari di bulan Ramadan adalah diharuskan dan tidak membatalkan puasa kerana suntikan tersebut tidak melalui rongga yang terbuka.

Maksudnya: Antara perkara yang membatalkan puasa adalah masukkan sesuatu ke bahagian dalam rongga. Para ulama telah menentukan sesuatu yang masuk ke dalam al-Jauf (rongga) membatalkan puasa dengan ain (objek) yang sampai, iaitu (dari) had zahir ke dalam had batin melalui rongga terbuka dengan sengaja dan sedar berpuasa. (Rujuk Raudah al-Talibin, 2/356)

Begitu juga dengan suntikan yang mengandungi khasiat atau untuk menguatkan badan maka boleh membatalkan puasa walaupun suntikan tersebut tidak melalui rongga yang terbuka. Hal ini menjadi perbezaan pandangan ulama sebagai mana yang dirumuskan secara terperinci oleh Syeikh Hassan al-Kaf di dalam karyanya al-Taqrirat al-Sadidah:

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Maksudnya: Hukum Suntikan (pada siang Ramadhan): Harus dalam keadaan darurat namun para ulama berbeza pandangan dalam hal batalnya puasa dalam tiga pandangan:

Pandangan pertama: Batal puasa secara mutlak kerana masuk sesuatu ke bahagian dalam rongga (al-Jauf)

Pandangan Kedua: Tidak terbatal secara mutlak kerana masuk sesuatu ke bahagian dalam rongga (al-Jauf) tanpa melalui rongga yang terbuka

Pandangan ketiga: Perlu perincian dan ia merupakan pandangan yang paling sahih: sekiranya kandungan suntikan tersebut mengandungi nutrisi atau pemakanan maka batal puasanya, namun sekiranya tidak mengandungi pemakanan maka dilihat pada aspek berikut:

Sekiranya suntikan pada urat ke bahagian dalam rongga, iaitu saluran urat darah maka batal

Sekiranya suntikan pada otot iaitu urat bukan pada bahagian dalam rongga maka tidak batal (Rujuk: Al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 352)

Menurut pandangan Syeikh Yusuf al-Qaradawi, suntikan tidak membatalkan puasa walaupun suntikan itu dilakukan pada siang hari Ramadan kerana suntikan bukan termasuk dalam kategori makan atau minum dari sudut syarak.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan dan perbahasan yang diberikan dapat disimpulkan bahawa hukum melakukan suntikan vaksin Covid-19 pada siang hari di bulan Ramadan adalah diharuskan dan tidak membatalkan puasa kerana suntikan tersebut tidak melalui rongga yang terbuka.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain