Teruskan mencari ganjaran Allah tidak hanya di bulan Ramadan sahaja

Amalan membaca Al-Quran bukan hanya ketika bulan Ramadan tetapi sepatutnya menjadi kebiasaan setiap hari. - Gambar Sekadar Hiasan

RAMADAN telah seminggu meninggalkan kita kini Syawal pula menjelma dan sepanjang tempoh itu kita telah bertungkus-lumus melakukan ibadah dengan melaksanakan solat malam, berzikir, membaca Al-Quran dan pelbagai amalan kebaikan di bulan mulia itu.

Bagaimanapun selepas berakhirnya Ramadan, semua amalan yang pernah kita lakukan terus ditinggalkan.

Ada dalam kalangan kita bahkan sanggup kembali melakukan maksiat seolah-olah Ramadan tidak memberi kesan ke atas jiwa dan tingkah laku.

ARTIKEL BERKAITAN: Rebutlah ganjaran umpama berpuasa setahun... Ketahui 5 kemusykilan mengenai puasa enam bulan Syawal

Malah ada yang sanggup kembali ke alam fitnah, tidak solat, sering melakukan dosa-dosa yang sepatutnya telah dapat mereka tinggalkan hasil daripada didikan bulan mulia itu.

Nafsu mereka menjadi lebih agresif seakan-akan sebulan telah terkurung dan akhirnya dibebaskan daripada belenggu.

Oleh sebab itulah kita dapat lihat ada dalam kalangan mereka yang mengambil gambar semasa hari raya dengan aksi-aksi yang tidak senonoh serta ditambah dengan kelakuan berpelukan sesama pasangan yang bukan mahram.

Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Rabbaniyyin Laisa Ramadhaniyyin berpesan: Jadilah hamba yang taat sepanjang masa kerana Allah dan jangan hanya menjadi ahli ibadah selama sebulan Ramadan.



Momentum ibadah dan kebaikan yang dilatih sepanjang Ramadan perlu diteruskan.

Ramadan akan berlalu apabila sudah sampai tempohnya sedangkan Allah tetap kekal dan tidak sekali-kali akan lenyap.

Ada disebutkan ungkapan hikmah: Sesiapa yang menyembah Ramadan, maka sesungguhnya Ramadan telah berlalu dan sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Hidup dan tidak akan mati.

Fasa selepas Ramadan adalah pembuktian sama ada matlamat tarbiah atau pendidikan sepanjang bulan itu tercapai atau sebaliknya. Jika amalan dan tingkah laku yang dipamerkan sebagaimana berlaku dalam Ramadan bermakna kita berjaya dengan tarbiahnya.

Jika natijah adalah sebaliknya, ia bermakna kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. Momentum kebaikan yang dilatih selama sebulan itu perlulah diteruskan.

Firman Allah dalam Surah Muhammad ayat 33: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu.

Setiap amalan yang kita lakukan mestilah dengan niat ikhlas kerana Allah. Ini kerana hanya amalan yang ikhlas kerana Allah akan diterima dan dipermudahkan.

Tanpa niat dan keikhlasan semata-mata kerana Allah, sukar untuk individu istiqamah dalam melakukan perkara kebaikan khususnya amalan-amalan yang kita lakukan dalam bulan Ramadan.



Sentiasalah berdoa kepada Allah agar ditetapkan iman dan mempermudahkan semua urusan ibadah kita.

Jika diperhatikan secara terperinci, setiap ibadat dalam Islam akan disertai dengan kewajipan memasang niat.

Sabda baginda Rasulullah: Umar Al-Khattab meriwayatkan Rasulullah bersabda: Segala amal (tidak berlaku) melainkan dengan adanya niat dan sesungguhnya setiap seorang hanya akan beroleh balasan berdasarkan niatnya. Dengan asas itu, sesiapa yang berhijrah dengan tujuan mencapai keredaan Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu menyampaikannya kepada (balasan baik) Allah dan RasulNya, dan sesiapa berhijrah dengan tujuan mendapat faedah dunia atau dengan tujuan hendak berkahwin dengan wanita, maka hijrahnya itu hanya menyampaikannya kepada apa yang dituju sahaja. - [HR Bukhari 1].

Oleh sebab itu, memasang niat dari awal adalah sangat penting supaya dapat membezakan antara ibadah dan adat seperti menyambut Ramadan dengan tadarus dengan niat ia sebagai adat yang biasa dilakukan ketika dalam bulan Ramadan dan apabila ia telah berakhir maka amalan yang dilakukan juga akan berakhir.

Maka untuk mengekalkan momentum ibadah kita supaya kita dapat melakukan ibadah dengan baik seperti dalam bulan Ramadan adalah dengan meminta pertolongan dari Allah seperti di dalam hadis Baginda Rasulullah:

Rasulullah memegang tanganku (Mu'adz) lalu bersabda: Wahai Mu'adz, demi Allah aku mencintaimu. Kemudian baginda bersabda lagi: Aku wasiatkan kepadamu wahai Mu'adz, janganlah engkau tinggalkan setiap selesai solat untuk mengucapkan, ALLAAHUMMA A'INNII 'ALAA DZIKRIKA WA SYUKRIKA WA HUSNI 'IBAADATIK (Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir dan bersyukur kepadaMu serta beribadah kepadaMu dengan baik).

Hanya dengan bantuan serta taufik daripada Allah kita dapat melakukan setiap amalan dengan baik.

Semoga kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang hanya beribadah dalam bulan Ramadan dan apabila keluar kita mengikut hawa nafsu yang dipandu oleh syaitan laknatullah.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ramadan, Syawal, Ibadah, Taqwa, Amalan, Addin

Artikel Berkaitan

Klik

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

HARI ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Duka Covid-19 seakan terubat, TNB sinari hidup golongan memerlukan, agih zakat cecah RM4.36 juta

TNB tampil dengan inisiatif perkongsian rezeki melalui pengagihan wang wakalah zakatnya ke seluruh pelusuk tanah air.

Covid-19 bukan sekadar pandemik, buktikan kepentingan dunia digital... dorong MYNIC lebih rancak bantu bisnes online

MYNIC menawarkan program latihan pemasaran digital, dengan membawa perniagaan luar talian ke dalam talian dan seterusnya menghadapi pasaran ekonomi digital global.

Ketahui 7 cara mudah sediakan makanan di rumah

SEBENARNYA tak susah untuk menaik taraf ruang peribadi anda terutamanya dapur bagi memudahkan dan melancarkan hari-hari anda di rumah.

Artikel Lain