Rebutlah ganjaran umpama berpuasa setahun... Ketahui 5 kemusykilan mengenai puasa enam bulan Syawal

Rasulullah menyatakan bahawa puasa enam hari ketika bulan Syawal akan diberikan pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.

ORANG yang berpuasa dengan keimanan dan keikhlasan kerana Allah, mereka layak untuk mendapat pelbagai kenikmatan daripada Maha Pencipta.

Di antara nikmat yang sungguh hebat ialah dikhususkan kepada mereka yang berpuasa satu syurga yang hanya untuk orang-orang yang berpuasa sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Rendang ayam kesukaan Ismail Kamus undang sebak, anak kongsi rebut ‘quality time’ bersama arwah setiap kali Aidilfitri – “Abah rajin melayan...”

Ini berdasarkan sebuah hadis baginda Rasulullah: Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun. - [ HR Bukhari 2840].

Kelebihan puasa enam hari di bulan Syawal

Sabda Rasulullah: Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun. - [HR Muslim 1164].

Kefahaman dari hadis ini Rasulullah menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadan akan diberikan pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.

Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda.

Puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari.

Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.



Ramai memilih untuk melakukan puasa enam hari selepas pada bulan Syawal.

1. Apakah hukum puasa enam hari di bulan syawal?

Puasa enam merupakan amalan sunat. Telah berkata Imam An-Nawawi: Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam Syafie bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

2. Bilakah Puasa enam hari di bulan syawal perlu dilakukan?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidilfitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata: Nabi melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha. [HR Bukhari 1991]

3. Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut atau secara berasingan?

Tidak menjadi kesalahan jika ia dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal.

Ini kerana apabila Rasulullah menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa menentukan hari-harinya.



Tidak menjadi kesalahan sekiranya puasa enam hari tidak dilakukan secara berturut-turut.

4. Adakah puasa sunat enam hari di bulan Syawal dibuat sebelum mengqada puasa Ramadan?

Terdapat perbincangan di kalangan para fuqaha’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu masih belum mengadakan puasa Ramadan yang belum diqadanya atau ia tidak menjadi masalah untuk berpuasa enam hari di bulan Syawal dahulu? Perbincangan ini menghasilkan dua pendapat.

Pandangan Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Saidatina Aisyah pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadan yang perlu diqadanya hingga ke bulan Syaaban yang akan datang. Aisyah ra berkata:

Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada bulan Syaaban. - [HR Muslim 1146].

Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah, yakni Aisyah, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal.

Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqada puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadan.

Menurut Imam An-Nawawi, Mazhab Maliki, Abu Hanifah, Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qada puasa Ramadan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadanya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qada terus apabila boleh melakukannya”. - (Syarah Sahih Muslim 8/22).

Pandangan Kedua : Tidak boleh, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”

Rasulullah meletakkan syarat “berpuasa Ramadan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”.

Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadannya. Jika ada puasa Ramadan ditinggalkan, ia perlu diqada terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

5. Boleh atau tidak menggabungkan puasa qada dan puasa enam?

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah di bolehkan menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qada dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

Persoalan ini berlaku khilaf dalam kalangan ulama, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardu dan tidak bagi yang sunat.

Ada dalam kalangan ulama Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. - (Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428).

Maka sebaik-baiknya lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredaan Tuhannya.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Puasa enam, Ramadan, Syawal, Qada,

Artikel Berkaitan

Klik

Duka Covid-19 seakan terubat, TNB sinari hidup golongan memerlukan, agih zakat cecah RM4.36 juta

TNB tampil dengan inisiatif perkongsian rezeki melalui pengagihan wang wakalah zakatnya ke seluruh pelusuk tanah air.

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

HARI ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Ketahui 7 cara mudah sediakan makanan di rumah

SEBENARNYA tak susah untuk menaik taraf ruang peribadi anda terutamanya dapur bagi memudahkan dan melancarkan hari-hari anda di rumah.

Covid-19 bukan sekadar pandemik, buktikan kepentingan dunia digital... dorong MYNIC lebih rancak bantu bisnes online

MYNIC menawarkan program latihan pemasaran digital, dengan membawa perniagaan luar talian ke dalam talian dan seterusnya menghadapi pasaran ekonomi digital global.

Artikel Lain