suria

Hari raya kali ini berbeza namun amalannya tetap sama... Ikuti panduan solat sunat Aidilfitri di rumah

Tahun ini kita digalakkan untuk melakukan solat sunat Aidilfitri di rumah.

HARI raya Aidilfitri tahun ini hadir namun sedikit berbeza daripada kebiasaan. Namun kita hendaklah bersyukur akan nikmat kemenangan ini selepas sebulan mentaati perintah Allah dengan berpuasa.

Hari raya Aidilfitri bukan sekadar untuk kita memakai pakaian baharu, ziarah kubur, makan makanan yang lazat dan ziarah menziarahi tetapi perayaan ini embawa maksud kita kembali kepada fitrah penciptaan.

Selama sebulan kita berusaha mengekang hawa nafsu supaya mematuhi perintah Allah.

Kita renungi syair Arab yang berbunyi: “Bukanlah hari raya Aidilfitri bagi orang yang berpakaian dan perabot rumahnya serba baru, namun hari raya Aidilfitri adalah bagi orang yang beriman dan ketaatannya bertambah.’’

ARTIKEL BERKAITAN: 8 pintu syurga akan panggil umat Islam di akhirat kelak... Lakukan amalan untuk peluang ini

Bagi orang beriman pasti kesedihan akan menyelubungi perasaan tatkala Ramadan melabuhkan tirainya yang dijanjikan dengan ganjaran dan kenikmatan berlipat ganda kepada sesiapa yang berusaha.



Sambutan Aidilfitri kali ini mungkin berbeza tetapi kita harus mensyukuri nikmat dapat bersama keluarga.

Akan tetapi kesedihan itu tidak boleh berpanjangan kerana Ramadan pasti akan menjelma lagi pada tahun hadapan namun adakah kita sempat atau tidak untuk menemuinya kembali dan Alhamdulillah sekiranya usia masih panjang.

Sudah menjadi kelaziman di negara kita yang tercinta ini, setiap hari raya Aidilfitri ia akan disambut dengan begitu meriah.

Pelbagai jamuan raya dan rumah terbuka diadakan bagi meraikan tetamu dan suadara-mara. Cuma yang bezanya pada tahun ini apabila kita diminta duduk di rumah bagi mengelakkan terkena jangkitan Covid-19.

Walau bagaimanapun, sambutan hari raya Aidilfitri perlu diraikan dengan penuh kesyukuran. Di sini ustaz akan menggariskan beberapa amalan sunah untuk kita lakukan di hari raya Aidilfitri.

1. Bertakbir selepas terbenamnya matahari

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita akan bertakbir raya selepas solat Isyak yang menandakan telah berakhirnya puasa di Bulan Ramadan. Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 185: Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Baginda Rasulullah juga menyatakan bahawa orang yang menghidupkan malam raya itu maka hatinya tidak akan mati.

Sabda Rasulullah: Barang siapa menghidupkan (dengan ibadah) pada malam dua hari raya kerana mengharap pahala Allah, maka hatinya tidak akan mati di hari semua hati mati. - [HR Ibn Majah 1772].

Salah satu cara untuk menghidupkan malam raya adalah dengan kita bertakbir.

2. Mandi sunat hari raya

Di dalam sebuah riwayat daripada Ibn Umar bahawa dia akan mandi sunat hari raya Aidilfitri sebelum keluar dari rumah ke Musolla. - [HR Muato' 384].

Telah berkata Imam Nawawi: Menjadi satu perkara sunah untuk mandi sunat hari raya dan ia bertepatan dengan perbuatan yang dilakukan oleh Ibn Umar.

Bagi membezakan mandi biasa dengan mandi sunat hari raya adalah dari sudut niat. Maka pastikan niat mandi pada pagi itu adalah untuk mandi hari raya. Sebagai contoh niatnya ialah; "Sahaja aku mandi sunat Aidilfitri kerana Allah Ta'ala."

3. Makan sebelum Solat Aidilfitri

Menjadi amalan sunah untuk makan dahulu sebelum mendirikan solat sunat Aidilfitri. Ini berdasarkan perbuatan Baginda Rasulullah.

Pada hari raya Rasulullah tidak berangkat untuk melaksanakan solat sehingga baginda makan beberapa butir kurma. - [HR Bukhari 900].

Perbuatan Baginda Rasulullah itu menunjukkan hari kebesaran umat Islam yang mana pada hari itu juga diharamkan untuk berpuasa. Maka bagi masyarakat Malaysia boleh makan juadah yang disedikan sebelum melakukan solat sunat hari raya Aidilfitri.



Penjarakan sosial diamalkan di beberapa buah negeri ketika melakukan solat di masjid.

4. Solat sunat Aidilfitiri

Sementara itu, memandangkan kita kini sedang dalam usaha memerangi wabak Covid-19, kita tidak dibenarkan melakukan solat sunat Aidilfitri di masjid atau pun surau.

Sebaliknya, kita digalakkan untuk melakukannya di rumah bersama keluarga dan bagi yang mungkin sudah terlupa mengenai rukun serta syarat solat sunat Aidilfitri, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) adalah mengeluarkan panduan ringkas.

Solat sunat Aidilfitri dua rakaat hukumnya sunat muakkad, di mana segala rukun dan syarat serta sunatnya sama seperti solat fardu, kecuali perkara sunat yang ditambah iaitu takbir tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua, serta bertasbih di antara tiap-tiap takbir.

Berikut adalah panduan solat sunat Aidilfitri yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais);

1. Lafaz Takbir Raya

2. Solat Sunat Aidilfitri

* Niat (sama ada bersendirian atau menjadi imam)

* Takbiratul Ihram

Rakaat pertama

* Lafaz Takbir 7 Kali (diselangi lafaz Tasbih)

* Membaca Al-Fatihah

* Membaca Surah Pilihan

* Rukuk/Sujud/ Berdiri Semula

Rakaat Kedua

* Lafaz Takbir 5 Kali (diselangi lafaz Tasbih)

* Membaca Al-Fatihah

* Membaca Surah Pilihan

* Rukuk/ Sujud/ Salam

* Doa

* Sunat berkhutubah

5. Mengucapkan "semoga Allah menerima amalan kita" kepada sahabat handai

Ucapan semoga Allah menerima amalan amalan kita dan amalan kamu merupakan satu amalan sunah yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah.

Seperti dalam sebuah hadis daripada Wasilah dia telah berkata: Aku telah berjumpa Baginda Rasulullah pada hari raya, maka aku katakan kepada Baginda: Semoga Allah menerima amalan amalan kita dan amalan kamu. Sabda Rasulullah: Ya, semoga Allah menerima amalan amalan kita dan amalan kamu. - [HR Bahaiqi 6295].

Ucapan selamat hari raya kepada rakan-rakan merupakan satu perkara yang sangat baik untuk diteruskan bagi merapatkan hubungan tali silaturahim sesama kita dan lagi baik ditambah dengan lafaz semoga Allah menerima amalan amalan kita dan amalan kamu seperti mana dalam hadis tadi.



Aidilfitri tetap boleh disambut namun dengan peraturan tertentu. Gambar hiasan.

6. Bergembira pada hari raya Aidilfitri

Setelah sebulan kita berpenat lelah dalam melakukan ibadah kepada Allah, maka tiba masanya untuk kita bergembira menyambut lebaran yang mulia ini.

Suasana PKPB bukan menjadi penghalang untuk kita tidak bergembira dek kerana tidak boleh balik kampung, tetapi dengan teknologi yang semakin canggih mereka yang jauh boleh didekatkan dengan kemudahan yang ada.

Kegembiraan yang disambut mestilah bertepatan dengan syarak. Janganlah sesekali kita meraikan hari raya Aidilfitri yang penuh bermakna ini dengan kelakuan maksiat kepada Allah.

Oleh itu, usaha-usaha untuk menghidupkan suasana gembira dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam.

Jadikan hari raya Aidilfitri kali ini bukan satu kekurangan tetapi ia merupakan satu kelebihan yang dapat kita raikan bersama dengan ahli keluarga yang tercinta.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain