suria

Rendang ayam kesukaan Ismail Kamus undang sebak, anak kongsi rebut ‘quality time’ bersama arwah setiap kali Aidilfitri – “Abah rajin melayan...”

Firdaus berkongsi kenangan bersama arwah abah.

PERGINYA pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus apabila dijemput Ilahi pada hari Jumaat di bulan Ramadan, ketika umat Islam menjalani ibadah puasa amat dicemburui.

Kini kedatangan 1 Syawal pastinya memberi kesan yang amat mendalam buat keluarga Allahyarham.

Sebagai anak lelaki sulung, pemergian ayahanda tercinta memberi tamparan hebat buat Mohd Firdaus, 43.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya ralat tak faham, arwah cuba sampaikan sesuatu” - Minta buat video call, anak Ismail Kamus masih fikir apa ungkapan tak sempat diluah bapa

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Ismail Kamus dijemput Ilahi 15 Ramadan

Lebih dikenali sebagai Ustaz Firdaus, beliau memberitahu Aidilfitri kali ini ternyata berbeza kerana ia disambut tanpa insan tersayang yang dipanggil abah.



Kenangan... arwah Ismail Kamus (duduk, kiri) dan Mohd Firdaus (duduk, tiga, kanan) bersama sebahagian keluarga pada Aidilfitri.

“Walaupun beberapa tahun kebelakangan ini abah tidak sihat, tapi kami sekeluarga tetap menyambut hari raya bersama.

“Jujurnya, raya kali ini cukup sedih bagi saya kerana tiada abah di sisi. Namun, saya reda dengan ketentuan Ilahi, ” katanya kepada mStar.

Ustaz Firdaus yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu berkata, masakan kegemaran Allahyarham setiap kali hari lebaran sudah tentu menggamit memori.

“Abah ni suka sangat makan rendang ayam. Sampaikan anak, menantu semua belajar memasak rendang. Selepas ini setiap kali terpandang mahupun menjamah rendang, pasti jadi sebak.

“Selain rendang ayam, abah juga suka makan lemang. Walaupun ada waktu abah tak berapa sihat, tapi abah masih ada selera untuk makan rendang ayam dan lemang, ” ujarnya.



Allahyarham Ismail Kamus (kanan) sentiasa sibuk menjelang Aidilfitri.

Bapa kepada empat putera itu berkongsi kisah tentang kesibukan arwah bapanya setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Kalau setiap kali raya, abah yang paling sibuk. Ada saja jumpa orang itu orang sini, ada jemputan situ jemputan sini. Dan setiap kali raya jugalah abah akan panggil saya temankan dia.

Abah mengajar erti quality time bersama anak-anak. Abah beri inspirasi untuk saya meneruskannya bagi menerapkan nilai kekeluargaan pada anak-anak saya

MOHD FIRDAUS

“Dan saya akan rebut peluang ni sebagai masa berkualiti dengan abah. Bila saya drive ke tempat yang abah nak pergi, kami akan berbual dan saya ambil kesempatan nak tanya tentang ilmu.

“Saya juga suka berkongsi ilmu dengan abah. Macam-macam... ilmu perubatan, fiqah termasuk bahasa Arab. Saya ni memang suka bertanya, kalau ada ramai orang jadi segan nak tanya untuk dapatkan jawapan lebih terperinci. Abah rajin melayan pertanyaan saya, ” katanya.



Mohd Firdaus (kanan) sentiasa menemani bapanya terutama ketika sambutan Aidilfitri.

Ustaz yang bertugas sebagai pengurus tanggungjawab sosial korporat di bahagian sumber manusia di sebuah syarikat di Damansara, Selangor berkata, beliau akan menggunakan pendekatan yang sama buat anak-anaknya.

“Abah mengajar erti quality time bersama anak-anak. Abah beri inspirasi untuk saya meneruskannya bagi menerapkan nilai kekeluargaan pada anak-anak saya.

Ustaz Firdaus yang juga Nazir Masjid Al-Khairiah AU3 di Keramat, Kuala Lumpur memberitahu, Aidilfitri kali ini disambut secara sederhana di rumah keluarganya di Ampang bersama ibu dan adik-beradik lain.

“Walaupun masih bersedih dengan pemergian abah, tapi kami sekeluarga tidak mahu rumah abah sunyi atau suram tanpa kehadiran kami adik-beradik.

“Bagi saya secara peribadi, kenangan manis bersama abah terlalu banyak untuk dikongsikan. Pemergian abah merupakan satu kehilangan besar buat saya dan ahli keluarga, ” katanya.



Mohd Firdaus akan memupuk semangat kekeluarga yang diamalkan bapanya kepada anak-anaknya.

Allahyarham meninggal dunia pada Jumaat 8 Mei bersamaan 15 Ramadan susulan penyakit komplikasi jantung di kediamannya di Ampang.

Meninggal dunia pada usia 72 tahun, Allahyarham meninggalkan seorang isteri, empat anak dan 15 cucu.

Allahyarham yang merupakan Pengasas Persatuan Perubatan Islam DarusSalam Malaysia dan juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia selama sepenggal dari 1999 hingga 2004, serta pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain