suria

“Saya ralat tak faham, arwah cuba sampaikan sesuatu” - Minta buat video call, anak Ismail Kamus masih fikir apa ungkapan tak sempat diluah bapa

Mohd Firdaus berkongsi isi hati selepas pemergian bapanya pada awal pagi Jumaat.

PEMERGIAN pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Ismail Kamus pada Jumaat disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia dakwah di negara ini.

Suasana sayu mengiringi majlis pengebumian tokoh agamawan yang menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira 12.30 tengah malam, pada awal pagi 15 Ramadan.

Jauh di sudut hati, berita sedih tersebut turut memberi kesan pada salah seorang anak allahyarham.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Ismail Kamus dijemput Ilahi 15 Ramadan

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Ismail Kamus selamat dikebumikan, menteri agama imbas nostalgia kaset ceramah

Berkongsi luahan isi hati, anak kedua allahyarham iaitu Mohd Firdaus Ismail, 43, mengakui amat sedih dengan pemergian bapa tercinta, namun reda dengan ketentuan Ilahi.



Kenangan... Firdaus (kanan) dan Ismail pada sambutan ulang tahun.

Mengimbas kembali hari-hari terakhir bersama arwah bapanya sebelum meninggal dunia, Mohd Firdaus berkata, dia dimasukkan ke Hospital Gleneagles di Kuala Lumpur kerana demam panas.

"Saya dimasukkan ke hospital pada 22 April lalu dan terlantar di wad selama enam hari. Masa tu arwah masih dalam keadaan baik.

"Saya masih ingat betapa terujanya arwah mahu buat video call dengan saya, atas bantuan anak saudara. Arwah buat video dari rumah manakala saya di wad.

"Memang saya tak boleh lupa, wajah arwah cukup ceria dan gembira tengok saya, bertanya khabar saya. Satu perasaan yang tak boleh digambarkan," kata anak kedua daripada empat beradik itu kepada mStar.

Lebih dikenali sebagai Ustaz Firdaus, perbualan video tersebut yang dilakukan pada hari kedua dia berada di hospital bagaimanapun hanya dapat dilakukan sekejap sahaja kerana dia perlu menjalani rawatan.

"Sempat juga video call selama tujuh minit. Ingat nak buat video call lagi selepas tu, tapi sudah ditakdirkan, dua hari selepas itu arwah pula dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana masalah kesihatan.

"Masa tu saya masih di wad di Hospital Gleneagles dan arwah pula dimasukkan ke ICU di HKL. Video call tak dapat buat, tapi sempat juga buat panggilan telefon dengan arwah," ujarnya yang menetap di Keramat, Kuala Lumpur.



Firdaus (kanan) semasa muda bersama Ismail (tengah), ahli keluarga dan seorang kenalan.

Ustaz Firdaus yang merupakan bapa kepada empat anak itu bagaimanapun terkilan kerana tidak dapat memahami secara jelas apa yang diperkatakan oleh bapanya.

"Walaupun masih boleh bercakap, tapi tutur katanya tidak dapat difahami kerana arwah dalam keadaan sakit. Saya hanya mampu mendengar suaranya, tapi apa yang dikatakannya tidak jelas.

"Jujurnya, saya agak ralat kerana saya tak faham apa yang arwah cuba nak sampaikan. Hanya dengar suara arwah cuba mahu sampaikan sesuatu kepada saya," katanya yang menyifatkan bapanya seorang yang penyayang.

Memang saya tak boleh lupa, wajah arwah cukup ceria dan gembira tengok saya, bertanya khabar saya. Satu perasaan yang tak boleh digambarkan.

MOHD FIRDAUS ISMAIL

Mengenai pemergian allahyarham ketika umat Islam menjalani ibadah puasa pada hari ke-15 Ramadan, Ustaz Firdaus berkata, ia merupakan satu suratan yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT.

"Tambahan pula arwah meninggal dunia pada hari Jumaat yang mana menjadi kelebihan apabila meninggal dunia pada hari Jumaat.



Ismail (kiri) dan Firdaus (kanan) bersama seorang kenalan.

"Mungkin kerana saya terlalu sedih mengenai keadaan arwah yang semakin tenat, seorang hamba Allah mengingatkan saya tentang kelebihan itu.

"Walaupun sedih, saya amat bersyukur kerana segala urusan arwah dipermudahkan sehingga ke proses pengebumian, selain mendapat sokongan dan doa yang begitu banyak. Alhamdulillah," katanya.

Allahyarham yang merupakan Pengasas Persatuan Perubatan Islam DarusSalam Malaysia itu meninggal dunia di kediamannya di Ampang, pada Jumaat.

Meninggal pada usia 72 tahun, arwah sebelum ini dirawat di HKL akibat serangan jantung dan strok ringan, serta jangkitan kuman di paru-paru.

Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia selama sepenggal dari 1999 hingga 2004, pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain