suria

Ustaz Ismail Kamus selamat dikebumikan, menteri agama imbas nostalgia kaset ceramah

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira pukul 11 pagi Jumaat.

JENAZAH pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan AU4, Keramat pagi Jumaat.

Terdahulu jenazah allahyarham disembahyangkan di Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat pada pukul 10 pagi yang dipimpin Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Timbalan Presiden PAS.

Sejak pukul 9 pagi orang ramai mula hadir di masjid tersebut tetapi jumlah yang menunaikan solat jenazah dihadkan agar dapat mematuhi penjarakkan sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Ismail Kamus dijemput Ilahi 15 Ramadan

Ismail menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 72 tahun kira-kira pukul 12.30 pagi, Jumaat di kediaman beliau di Ampang.

Pengerusi Persatuan Perubatan Islam Darulssalam Malaysia Abdul Manaf Jusoh menasihatkan ahli-ahlinya untuk menunaikan solat jenazah ghaib untuk allahyarham.

Ismail Kamus meninggal dunia awal pagi Jumaat.

“Ahli-ahli Darussalam yang jauh melebihi 2 marhalah dipersilakan untuk menunaikan solat ghaib untuk Tuan Guru, ” katanya dalam satu posting di Facebook.

Malah beliau meminta orang ramai agar mendoakan kesejahteraan allahyarham.

“Doakan Tuan Guru Sejahtera dan doakan agar Allah lindungi sepanjang pengurusan jenazah almarhum.

“Terima kasih yang datang ziarah dan mencurahkan khidmat pada Tuan Guru, ” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut mengimbau kembali nostalgia ceramah allahyarham pada era 80-an dan 90-an.

Dr Zulkifli kali terakhir bertemu Allahyarham pada Disember tahun lalu.

“Mengenangkan sosok tubuhnya sentiasa mengingatkan saya kepada nostalgia ceramahnya di era 80-an dan 90-an yang berjaya menarik pelbagai lapisan masyarakat baik di kaca televisyen mahupun koleksi kasetnya yang terjual entah tidak terkira bilangannya.⁣

⁣“Kehadirannya sentiasa dinantikan umat Islam di Malaysia setiap kali Forum Perdana Ehwal Hal Ehwal Islam (kini Forum Perdana Ehwal Islam) di TV1. Celotehnya yang bersahaja, disulami nasihat-nasihat yang amat berguna, sentiasa menjadi ingatan kepada generasi yang sempat berada pada era tersebut, ” katanya.

⁣Menurut Dr Zulkifli, beliau kali terakhir makan bersama Allahyarham pada 17 Disember 2019.

“Walaupun kelihatan uzur, namun almarhum tetap bersemangat menggagahkan diri untuk bersama-sama saya pada malam tersebut.⁣

⁣“Kita kehilangan seorang demi seorang ilmuan dan pendakwah yang benar-benar memahami denyut nadi ummah. Moga Allah SWT memberi ketabahan kepada keluarga almarhum, ” katanya.

Gambar kenangan Dr Zulkifli bersama Allahyarham.

Veteran PAS itu dimasukkan ke wad di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 26 April disebabkan keadaan kesihatan yang agak lemah.

Pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati terdapat jangkitan pada paru-paru, sementara ujian Covid -19 dilakukan sebanyak dua kali dan keputusannya adalah negatif.

Ismail yang merupakan pengasas dan penasihat Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia pernah menjalani pembedahan jantung di IJN pada 9 Mei tahun lalu.

Allahyarham merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain