suria

Awas! Anda akan diarah patah balik jika gagal patuhi jadual rentas negeri - “Mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan”

Keadaan aliran trafik pada petang Khamis di sekitar Plaza Tol Gombak menghala keluar ke Pantai Timur. Foto Bernama

AMBIL perhatian kepada orang ramai yang akan melakukan pergerakan rentas negeri bermula Khamis.

Mereka yang gagal mematuhi jadual pergerakan rentas negeri ditetapkan akan diarah berpatah balik.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata perkara sama dilakukan terhadap mereka yang ingkar serta mengambil kesempatan susulan pergerakan rentas negeri bermula Khamis.

"Mereka yang ingkar untuk merentasi sempadan negeri dan tidak mengikut jadual yang ditetapkan, akan diarahkan berpatah balik.

"Bagi mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 5) 2020 dan berdepan denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah," katanya menerusi program Bual Bicara kendalian Sinar Harian, Khamis.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini mengeluarkan jadual pergerakan rentas negeri selama empat hari bermula Khamis bagi membolehkan orang ramai yang terkandas disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pulang ke kediaman masing-masing.

Bermula dengan Kuala Lumpur pada Khamis, ia diikuti pergerakan pulang dari Perak, Johor dan Kelantan pada Jumaat, manakala Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang (Sabtu) dan Selangor, Negeri Sembilan, dan Terengganu (Ahad).

Sehingga Rabu, sebanyak 143,516 permohonan menerusi aplikasi Gerak Malaysia diluluskan oleh PDRM bagi mereka yang ingin melakukan perjalanan rentas negeri.

Huzir berkata, bagi memastikan pergerakan rentas negeri berjalan lancar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sebanyak 98 sekatan jalan raya diwujudkan seluruh negara dan ditambah jika perlu. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

rentas negeri, Gerak Malaysia,

Artikel Lain