suria

Pengawal keselamatan di pusat beli-belah Cheras bentuk kluster baharu, 10 positif Covid-19 - “Satu apartment 15 orang”

Kluster terbaharu membabitkan pengawal keselamatan di pusat membeli-belah di Cheras. Gambar hiasan/Foto Bernama

SATU lagi kluster baharu Covid-19 dikenal pasti melibatkan pengawal dan anggota keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Cheras, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 10 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam kluster tersebut, melibatkan sembilan warga Nepal dan seorang warga Malaysia.

"Punca jangkitan bagi kluster ini masih di dalam siasatan. Langkah-langkah pembendungan dan pencegahan seterusnya telah diambil seperti mengenalpasti dan menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas semua pekerja dan kontak rapat mereka.

"Kesemua kes warganegara Nepal dalam kluster ini tinggal di kediaman yang sama di Cheras," katanya pada sidang media, petang Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, salah satu faktor yang menyebabkan kluster pengawal keselamatan disebab kesemua mereka tinggal beramai-ramai di kediaman yang sama.

"Mereka duduk dalam apartment tu ramai sangat,15 orang duduk dalam satu apartment.

"Kita cuba pantau, siasat dan ambil tindakan sewajarnya iaitu mengelakkan mereka duduk dalam satu apartment secara beramai-ramai," tambahnya.

Dr Noor Hisham berkata, saringan Covid-19 telah dijalankan ke atas penghuni kediaman mereka, pengawal dan anggota keselamatan di pusat membeli-belah tersebut, dan juga pekerja pasar raya yang berkait rapat.

"Setakat ini, seramai 436 orang telah disaring, di mana 10 kes didapati positif, 347 kes negatif dan 79 orang masih menunggu keputusan," ujarnya.

Beliau menambah, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Cheras dan Titiwangsa akan terus menjalankan pemantauan ke atas kenaikan kes Covid-19 berkaitan kluster tersebut.

Malah katanya, kesemua kontak rapat setiap kes telah dipanggil untuk tujuan saringan dan pendidikan kesihatan juga telah diberikan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain