Jangan risau, tak bosan bercuti ke Busan! Ini tempat menarik yang patut anda lawat - Destinasi | mStar

Jangan risau, tak bosan bercuti ke Busan! Ini tempat menarik yang patut anda lawat

Perkampungan Gamcheon yang comel dan berwarna warni.

JIKA kita bercerita pasal Korea Selatan, ramai yang pernah menjejaki negara asal gelombang K-Pop ini, sama ada mengembara sendiri atau mengikut pakej pelancongan.

Tanpa mengenakan sebarang visa, Korea Selatan adalah negara yang sangat menarik untuk diterokai.

Lupakan sebentar ibu negara Korea Selatan, Seoul yang menjadi tumpuan pelancong serata dunia termasuk Malaysia dan jom kita ke selatan pulau besar itu, bandar kedua terbesar di negara itu iaitu Busan.

Makanan laut kering turut dijual di Pasar Jagalchi.

Berada di negara itu baru baru ini atas jemputan Korea Tourism Organization (KTO), penulis dibawa ke bandar Busan, bandar pelabuhan terbesar Korea Selatan.

Berbeza dengan Seoul yang sentiasa sibuk dan padat dengan pelancong serata dunia, Busan agak relaks dan lebih berjiwa 'kampung'.

Ia juga terkenal dengan beberapa pantai yang indah, pergunungan dan juga pasar basah tempatan yang pastinya membuat kita teruja dengan makanan lautnya.

Di sini, penulis ingin berkongsi beberapa perkara yang boleh dibuat di Busan dan lokasi yang wajib dilawati jika berpeluang ke sini.

Pantai Songdo yang jernih dan indah


Pantai Songdo yang indah.

Terletak hanya tiga kilometer dari pusat bandar Busan, pantai buatan manusia ini tidak kurang menariknya.

Kedudukan pantai berteluk ini, melindunginya daripada ombak besar dan ada bahagian yang selamat untuk mandi.

Bagi membolehkan pengunjung ke tengah laut yang jernih dan penuh dengan hidupan laut, laluan pejalan kaki atau skywalk turut dibina sepanjang 365 meter.

Lantai cermin dibina di tengah-tengah laluan itu bagi membolehkan pengunjung melihat ikan di dalam air yang jernih itu.

Di kawasan pantai itu turut dibina beberapa patung seperti patung penyu, ikan duyung dan nelayan.

Patung berkenaan dibina kerana ada cerita tersendiri di sebaliknya termasuk kisah cinta tidak kesampaian sang nelayan dengan ikan duyung.

Hidupan laut masih hidup di Pasar Jagalchi


Menikmati makanan laut di Pasar Jangachi seperti orang tempatan.

Kunjungan ke Busan pastinya tidak sah jika tidak singgah di Pasar Jagalchi.

Mengikut sejarah, selepas Perang Korea, pasar ini menjadi pusat tumpuan jualan ikan segar dan kebanyakan peniaga adalah wanita.

Asal nama pasar ini dari perkataan Jagal dalam bahasa Korea yang bermaksud batu kecil.

Sotong kurita yang masih hidup dijual di Pasar Jangalchi.

Sebelum ini, pasar ini dipenuhi batu kecil kerana kedudukannya di hujung Pelabuhan Nampo, namun kini hanya ada satu saja kedai yang masih mengekalkan tapaknya dengan batu-batu kecil itu.

Seronoknya berada di pasar ini kerana peniaga bukan saja menjual hidupan laut yang kering tetapi juga yang masih hidup seperti sotong kurita, ikan dan ketam.

Kampung Kebudayaan Gamcheon yang comel dan berwarna warni


Seni dinding di rumah yang diubah sebagai kedai cenderahati di Perkampungan Budaya Gamcheon.

Ini tempat yang paling disukai penulis. Bukan hanya ia unik kerana perkampungan lama yang asalnya adalah penempatan setinggan, ini juga menempatkan rumah kecil dan comel.

Difahamkan, kampung ini dibina untuk pelarian Perang Korea sekitar 1950-an di kawasan berbukit dan lorong sempit.

Namun, zaman berubah. Kebanyakan anak muda berhijrah dan hanya golongan tua saja yang tinggal di perkampungan itu.

Apa yang menarik mengenai perkampungan yang terletak di daerah Saha ini adalah transformasi rumah penduduk menerusi projek pemuliharaan kediaman menjadikan perkampungan itu berwarna warni dan terkenal sebagai lokasi bergambar.

Bukan itu saja, banyak juga rumah dijadikan kedai cenderahati kerana kedatangan pengunjung yang semakin bertambah di kawasan itu saban tahun.

Terleka membuat kek ikan di Samjin Amook

Pengalaman membuat kek ikan atau 'fish cake' di kilang tertua pengeluar kek ikan di Busan iaitu Samjin Amook memberikan kelainan dalam lawatan biasa ke satu-satu negara.

Bukan hanya dapat menerap dan menghias kek ikan mengikut kreativiti masing-masing, pelawat juga berpeluang membawa pulang kek ikan untuk dimakan.

Kek ikan adalah makanan ringan yang terkenal di Korea.

Walaupun tidak dapat membawa pulang kek ikan yang dibuat sendiri kerana tidak tahan lama, semua pelawat berpuas hati kerana dapat merasai keenakan kek ikan yang dikeluarkan kilang berkenaan.

Wajib makan makanan laut bila di Busan


Terkenal dengan makanan laut, kunjungan di bandar ini tidak sah jika tidak merasai keenakan masakan makanan laut seperti sotong kurita, tiram, udang, ketam dan abalone.

Sama ada mahu dikukus atau dibakar, pastinya satu pengalaman unik apabila dihidangkan hidupan laut yang hidup -hidup.

Lebih menarik, banyak restoran makanan laut di Busan yang mendapat pengiktirafan sebagai Restoran Mesra Muslim dengan papan tanda bewarna hijau.

Banyak lagi lokasi menarik di Busan ini yang boleh dikunjungi kerana keunikan dan keindahan landskap muka buminya.