suria

Da’i Syed kekal bersalah kerana rogol, peguam fail rayuan…. Mohon tangguh hukuman kerana isteri baru bersalin

Peguam akan failkan rayuan baharu dan permohonan penangguhan hukuman buat Syed.

PEGUAM mewakili pendakwah selebriti Da’i Syed iaitu Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff memaklumkan pihak pembelaan akan segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan susulan keputusan Mahkamah Tinggi  Shah Alam mengekalkan hukuman terhadap anak guamnya, pada pagi Jumaat.

Menurut Mohamed Baharudeen, pihaknya juga merancang untuk memohon penangguhan pelaksanaan hukuman di peringkat Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.

“Pihak pembelaan merancang untuk memfailkan rayuan secepat mungkin di Mahkamah Rayuan, termasuk permohonan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman di peringkat itu.

Syed ketika dibawa keluar daripada dewan bicara.

“Rayuan ini akan menumpukan kepada beberapa isu undang-undang penting yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, terutamanya pertikaian berkaitan Seksyen 375 dan 376 Kanun Keseksaan, serta kekeliruan dalam naratif pendakwaan dan pembelaan.

“Sekiranya penangguhan (stay) diberikan oleh Mahkamah Rayuan, pihak pembelaan akan memaklumkannya kemudian,” katanya kepada mStar.

Mohamed Baharudeen berkongsi perkara itu ketika ditemui petugas media sejurus selesai prosiding keputusan kes rogol melibatkan anak guamnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor.

Sebelum itu, peguam bela berkenaan menjelaskan kronologi perjalanan kes yang bermula di Mahkamah Sesyen sebelum dibawa ke peringkat rayuan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya kuat” - Hana Ismail reda suami kembali ke Penjara Kajang

ARTIKEL BERKAITAN: Da’i Syed menangis, gagal rayuan… Hukuman penjara dan sebat kekal 

“Pada peringkat Mahkamah Sesyen, Syed telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan. Kemudian, kes dibawa ke Mahkamah Tinggi dan permohonan jaminan telah dipertimbangkan serta diluluskan.

“Hari ini, rayuan telah didengar di Mahkamah Tinggi, namun mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan pihak pembelaan.

“Isu utama yang dipertikaikan adalah berkaitan persetujuan (consent), dan Mahkamah Tinggi menegaskan hujahan pembelaan tidak mencukupi untuk mengubah keputusan terdahulu. Oleh itu, hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dikekalkan,” jelasnya.

Tambah Mohamed Baharudeen, pihak pembelaan turut mengemukakan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman sejurus keputusan dibuat.

Pihak pembelaan merancang untuk memfailkan rayuan secepat mungkin di Mahkamah Rayuan.

Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff

PEGUAM DA'I SYED

“Selepas itu, pihak pembelaan memohon penangguhan pelaksanaan hukuman (stay of execution) dengan alasan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Bagaimanapun, permohonan tersebut ditolak oleh Mahkamah Tinggi kerana tiada keadaan khas yang membolehkan penangguhan diberikan, walaupun pihak pembelaan menegaskan Orang Kena Tuduh (OKT) sentiasa hadir ke mahkamah, bukan flight risk, dan baru sahaja menimang anak berusia tiga bulan,” ujarnya.

Keputusan Mahkamah Tinggi pada pagi Jumaat menyaksikan Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful kekal bersalah atas kesalahan merogol seorang wanita pada 2019.

Mahkamah turut mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen iaitu penjara selama 10 tahun serta tiga sebatan.

Mohamed Baharudeen rancang untuk memohon penangguhan pelaksanaan hukuman buat Syed.

Hukuman penjara Syed berkuat kuasa serta-merta dan dia dibawa ke Penjara Kajang bagi menjalani tempoh hukuman tersebut.

Hakim Datuk Adlin Abdul Majid dalam keputusannya menegaskan bahawa dapatan Mahkamah Sesyen dibuat berdasarkan bukti kukuh serta penilaian menyeluruh terhadap kes pendakwaan dan pembelaan.

Syed yang diwakili peguam Mohamed Baharudeen turut memohon agar hukuman ditangguhkan atas alasan isterinya baru melahirkan anak tiga bulan lalu dan mereka mempunyai anak kecil untuk dijaga.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Maizatul Munirah Abdul Rahman berhujah bahawa alasan tersebut tidak mencukupi untuk membenarkan penangguhan hukuman memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan memberi kesan besar kepada mangsa.

Hana reda dengan keputusan hakim terhadap suaminya.

Mahkamah akhirnya menolak permohonan itu dan memerintahkan hukuman dilaksanakan serta-merta.

Untuk rekod, pada 10 Disember 2020, Syed mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam, pada 11 September 2019 kira-kira jam 1.35 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pada 30 Ogos tahun lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap Syed selepas mendapati dia bersalah.

Bagaimanapun, tertuduh dibebaskan dengan jaminan bermula 20 September 2024 sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain