suria

Finas bakal pindah ke ibu pejabat baharu bermula Mei, bangunan lama fokus aktiviti industri kreatif

Pengurusan Finas meluangkan masa berbuka puasa bersama pengamal media baru-baru ini.

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bakal memasuki fasa baharu apabila agensi itu dijadual berpindah ke ibu pejabat (HQ) baharu di Damansara Damai, Petaling Jaya pada Mei ini. 

Langkah perpindahan itu dilihat sebagai usaha menyusun semula struktur operasi bagi memperkukuh pembangunan industri kreatif tempatan, selain memanfaatkan fasiliti di kompleks Finas Hulu Klang, Selangor sebagai pusat aktiviti industri.

Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac, berkata penyusunan semula itu melibatkan pemisahan fungsi pentadbiran dan aktiviti industri supaya ekosistem perfileman negara lebih tersusun.

Katanya, ibu pejabat baharu di Damansara Damai akan memberi fokus kepada urusan korporat dan pengurusan pentadbiran agensi berkenaan.

Hans Isaac berkata ibu pejabat baharu FINAS di Damansara Damai akan memberi tumpuan kepada urusan korporat dan pentadbiran.

"HQ kita di Finas Damansara lebih kepada urusan korporat. Di sana ada studio juga, jadi kita mempunyai dua studio, satu di sana dan satu lagi di Hulu Klang.

"Pawagam pula akan ada dua, satu di Hulu Kelang dan satu lagi di HQ kami yang mempunyai kapasiti kira-kira 300 hingga 400 tempat duduk," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Finas bersama media, baru-baru ini.

Menurut Hans, segala urusan teknikal serta acara berkaitan industri akan terus dijalankan di kompleks Finas Hulu Kelang.

"Daripada segi teknikal dan acara industri, semuanya di Hulu Kelang. Jika boleh, kita mahu tubuhkan akademi atau sekolah filem di sana juga.

ARTIKEL BERKAITAN: RUU Pindaan Finas 2025 lulus, kukuhkan industri filem dan kandungan kreatif Malaysia

ARTIKEL BERKAITAN: Finas jawab dakwaan konon jadi lubuk rasuah, tunggu hasil siasatan... “Kami tidak akan tutup mata”

"Kalau ada filem, penggiat industri boleh datang ke Finas, berjumpa rakan-rakan dan berbincang mengenai projek mereka sambil menggunakan semua kemudahan kreatif yang ada seperti studio teknikal dan panggung wayang," katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata kompleks Finas di Hulu Kelang akan terus diperkasa sebagai hab kreatif yang menghimpunkan pemain industri untuk bertukar idea dan menghasilkan karya berkualiti.

"Kami berharap dapat menambah baik segala fasiliti di sana. Dalam bidang kreatif, idea tidak datang hanya melalui mesyuarat. Kadang-kadang ia muncul apabila kita berbual dan berkongsi pandangan dengan rakan.

"Kita mahu menyediakan ruang kerja bersama (co-working space). Jika sesebuah produksi tidak mempunyai pejabat fizikal, tetapi mempunyai pendaftaran syarikat yang sah, mereka boleh datang ke Finas dan menggunakan ruang yang disediakan untuk projek mereka," katanya.

Azmir Saifuddin berkata penubuhan satu ibu pejabat utama akan memudahkan urusan pentadbiran Finas.

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan membantu syarikat produksi kecil dan sederhana terus berkembang dalam industri perfileman tempatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata penyusunan semula operasi melalui satu ibu pejabat utama akan memudahkan pengurusan pentadbiran.

"Apa yang penting , kita mempunyai satu HQ. Sebelum ini kita ada Finas Petaling Jaya, Finas Hulu Kelang dan beberapa cawangan lain.

"Malah bahagian pelesenan cawangan juga sudah disatukan kerana kini semuanya beroperasi secara digital," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain