suria

“Kita makan budu, sambal belacan... mesti lidah keras” - Siti Sarah tak setuju sikap suka cari salah orang guna bahasa Inggeris

Sarah minta masyarakat berhenti mencari kesalahan orang lain terutama dalam kesilapan sebutan bahasa Inggeris.

KETIKA orang ramai hangat membincangkan mengenai kaedah teguran terbuka bagi kesalahan sebutan bahasa Inggeris, penyanyi Siti Sarah juga tampil menyatakan rasa kurang senang dengan sikap suka mencari salah.

Ujar Siti Sarah atau nama penuhnya Siti Sarah Raisuddin, isu sebutan atau kesalahan tatabahasa adalah remeh yang tidak perlu diperbesarkan.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] “Kalau ikut hati nak betulkan seluruh ucapan tu!” - Adibah Noor sengaja cari salah ‘public figure’ guna bahasa Inggeris supaya viral

Menurut penyanyi berusia 37 tahun itu, penutur bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama mereka juga tidak menggunakan tatabahasa yang betul ketika bercakap.

Siti Sarah berkongsi pendapatnya menerusi Twitter.

"Kadang-kadang Sarah tak faham kenapa orang kita ni suka sangat nak cari salah orang. Terutamanya apabila orang tu cakap dalam bahasa Inggeris. Alahai, bagi Sarah tak semua orang Melayu boleh sebut perkataan dengan baik dalam bahasa Inggeris.

"Kita makan budu, sambal belacan mesti lidah keras. Bagi Sarah okay saja kalau cakap broken English. Orang putih betul pun berterabur apabila cakap... tak ikut tatabahasa pun! Kita beria kalau cakap Inggeris kena cakap macam dalam buku.

"Sebut tak betul tu okey saja, negara lain relax saja. Apa yang nak dibanggakan sangat dengan bahasa mereka? Mereka belum tentu boleh cakap bahasa Melayu dengan sebutan yang perfect face with tears of joy.

"Kalau orang putih cakap bahasa Melayu salah, kau kata comel... kalau Melayu cakap orang putih salah, kau kata bodoh," kata Sarah menerusi Twitter miliknya.

Kadang-kadang kita ni terikat dengan loghat dan percakapan seharian.

SITI SARAH

PENYANYI

Sebelum ini, tindakan penyanyi dan pelakon Adibah Noor menegur kesilapan sebutan bahasa Inggeris selebriti, personaliti televisyen serta tokoh politik mengundang rasa kurang senang segelintir pihak.

Terbaharu, Adibah turut menegur kesalahan yang dilakukan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Sehubungan itu netizen melahirkan rasa meluat dan menyampah kerana menyifatkan Adibah terlalu berlebihan dan sengaja mencari kesalahan orang berpengaruh hanya untuk popular.

Menerusi laporan mStar pada Isnin, penyanyi berusia 51 tahun itu bagaimanapun memberitahu kata-kata berkenaan tidak akan mematahkan niatnya untuk mendidik orang ramai dalam memperbaiki sebutan bahasa Inggeris.

Tindakan Adibah memperbetulkan sebutan bahasa Inggeris selebriti dan tokoh politik mengundang kecaman.

Dalam pada itu, isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu ini turut memberi nasihat kepada orang ramai yang sentiasa ingin mencuba bercakap dalam bahasa Inggeris untuk membuang perasaan malu.

"Tak payah malu kalau tak reti sebut perkataan Inggeris. Yang penting ada usaha nak cuba. Lama-lama okay la. Kadang-kadang kita ni terikat dengan loghat dan percakapan seharian.

"Sedangkan kalau kita baca al-Quran kalau pelat tak boleh sebut pun, sekiranya kita cuba juga itu pun dapat pahala. Apa yang memalukan, kita ni sibuk cari salah orang, salah sendiri besar gajah pun tak nampak.

"Bukanlah kita tak perlu belajar bahasa Inggeris dengan baik, cuma jangan malu untuk berbahasa Inggeris walau salah. Selain itu sebagai orang yang nak menegur, jangan sampai mengaibkan orang lain. Kita tutup aib orang, Allah tutup aib kita," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!



Artikel Berkaitan

Artikel Lain