suria

Akibat guris hati orang berkulit gelap, Syatilla Melvin minta maaf - “Perempuan alami situasi itu akan faham, tapi mungkin salah sebab tak sensitif”

Tindakan Syatilla menconteng wajahnya menjadi gelap terima kecaman ramai.

TINDAKAN pelakon Syatilla Melvin memuat naik video memperlihatkan transformasi dirinya daripada berkulit gelap bertukar cerah di Instagram mengundang kecaman netizen.

Selepas menerima pelbagai kritikan, Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak yang tersinggung dengan video tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Promosi produk berunsur lucah, Syatilla Melvin mengaku sengaja guna foto 'double meaning' untuk dapat perhatian

Menurut pelakon berusia 30 tahun ini, dia mengakui kesilapannya yang menyentuh isu sensitiviti dan menjelaskan video tersebut hanya untuk menunjukkan cara pemakaian celak mata yang betul.

Syatilla muat naik video permohonan maaf.

"Saya tak nak buang masa... saya nak terus minta maaf dekat anda semua yang terasa hati dengan saya. Sejujurnya saya tiada niat apa-apa langsung.

"Itu adalah video yang mana saya buat untuk menunjukkan perempuan tak pandai pakai eyeliner... jadi mana-mana perempuan yang mengalaminya atau dalam situasi itu akan faham.

"Tapi mungkin salah saya sebab saya terlepas pandang sensitiviti sesetengah pihak. Saya minta maaf sangat dan saya harap anda maafkan saya," kata Syatilla.

Yang mana kutuk atau cakap bukan-bukan fasal saya, saya maafkan anda semua.

SYATILLA MELVIN

PELAKON

Menerusi video tersebut, isteri kepada pelakon Shahiezy Sam itu dilihat menconteng wajahnya menjadi gelap sebelum bertukar cerah selepas menggunakan produk keluarannya.

Rata-rata netizen menganggap pelakon drama Sha & Shah itu sengaja berbuat demikian untuk meraih populariti dan mendakwa seolah-olah menunjukkan kulit putih lebih cantik berbanding gelap.

Malah segelintir netizen juga meluahkan rasa kesal dengan segelintir peniaga masih menggunakan strategi pemasaran seperti itu sehingga kini.

Syatilla bersama suaminya, Shahiezy Sam.

Dalam pada itu, Syatilla turut memberitahu dia sudah memaafkan semua pihak yang mengutuk dan bercakap perkara tidak baik mengenai dirinya.

Selain itu, kakak kepada pelakon Syifa Melvin ini juga memohon maaf tidak dapat memberi maklum balas kepada pihak media mengenai isu tersebut kerana enggan mengeruhkan lagi keadaan.

"Bagi pihak saya, jangan risau... yang mana kutuk atau cakap bukan-bukan fasal saya, saya maafkan anda semua. Minta maaf juga kepada rakan media, saya sengaja tidak beri respons sebab tak nak keruhkan keadaan.

"Sekali lagi saya minta maaf dan maafkan la saya," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain

Moyes dedah sebab tidak sambar Lingard