PENGARAH veteran dan tokoh perfileman negara Tan Sri L Krishnan dilaporkan meninggal dunia di Chiang Mai, Thailand pada Jumaat.Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 104 tahun akibat sakit tua. Pemergian tokoh itu turut disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.L Krishnan bersama isterinya menetap di Thailand. "Beliau telah lama bermastautin di Thailand selepas berkahwin dengan isterinya yang merupakan warga Thailand. Urusan pengebumian mendiang kini dalam proses," katanya.Difahamkan mendiang sudah lama menetap di Thailand selepas mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Rukmanee yang merupakan warganegara sana.L Krishnan atau Lakshmanan Krishnan merupakan seorang tokoh dalam industri perfileman Melayu dan menjadi orang penting dalam perkembangan kerjaya Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.ARTIKEL BERKAITAN: Kamarool Yusoff meninggal dunia akibat masalah jantung ARTIKEL BERKAITAN: Joey BPR meninggal duniaKrishnan, yang dilahirkan di Madras, India pada 1922 dan dibesarkan di Pulau Pinang, memulakan kerjaya dalam bidang perfileman selepas Perang Dunia Kedua sebelum berpindah ke Singapura pada 1949 serta berkhidmat sebagai pengarah filem di Shaw Studio.Sepanjang kerjayanya, Krishnan mengarahkan lebih 30 filem termasuk karya yang menampilkan P. Ramlee seperti Bakti dan Takdir Ilahi, Penghidupan, serta Antara Senyum dan Tangis. Sepanjang perjalanan kerjayanya, sumbangan Krishnan mendapat pelbagai pengiktirafan antaranya Anugerah P. Ramlee pada 1995 dan Anugerah Galeri Sinema Melayu sebagai Pioneer in the Malay Film Industry pada 1996.Beliau turut menerima pelbagai darjah kebesaran dan anugerah lain termasuk Panglima Jasa Negara (2003), Anugerah Filem Tamil Antarabangsa (Pencapaian Sepanjang Hayat, 2003), Panglima Setia Mahkota (2011), Anugerah Seri Temasek (2011), Anugerah Tokoh Malaysia Perfileman Tahun 3 (2011), Anugerah Tokoh Malaysia Perfileman Tahun 2011 (2014) dan Anugerah Sinematografi India Selatan (2015).