suria

Terbawa-bawa emosi dalam lakonan, anak Dharma Harun masih dalam proses 'move on'

Syafiq sayu lihat kerusi tempat arwah bapa selalu berehat.

ANAK kepada Allahyarham Dharma Harun iaitu Syafiq memberitahu dia sukar melupakan pemergian bapanya yang meninggal dunia pada 25 November tahun lalu.

Syafiq atau nama sebenarnya Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 37, berkata perasaan sebak itu kembali hadir apabila dia terlibat dalam pembikinan filem pendek khas sempena Aidilfitri berjudul Jam Misteri Atuk.

Menurut Syafiq, jalan cerita karya berkenaan sangat dekat dengan kehidupannya sehingga dia terpaksa berdepan dengan emosi sendiri sepanjang proses penggambaran.

Jam Misteri Atuk memaparkan kisah kekeluargaan.

“Ini kali pertama saya kembali berlakon selepas pemergian bapa. Jalan cerita filem pendek ini sangat dekat dengan diri saya sehingga saya terpaksa berperang dengan emosi sendiri.

“Cerita ini tentang seorang anak yang kehilangan bapanya dan saya sendiri masih dalam proses untuk ‘move on’. Jadi, ada babak-babak saya tidak berlakon sebaliknya meluahkan emosi sebenar tanpa sengaja,” katanya.

Pada masa sama, Syafiq berkata filem pendek terbitan Avaris Studio itu turut memberi pengajaran tentang pentingnya menghargai masa dan ibu bapa selagi mereka masih ada.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya terkedu dan menggigil” - Anak Allahyarham Dharma Harun terkejut, kongsi detik akhir

ARTIKEL BERKAITAN: Finas sedia bantu masa depan anak-anak Dharma Harun… “Arwah bangga mereka pelajar cemerlang”

“Seperti mana dalam filem pendek ini, selepas arwah bapa tiada barulah kita teringat kenangan bersama dan rasa rindu.

“Walhal semasa bapa masih ada, kita sibuk dengan kerja dan kehidupan. Sekarang apabila saya lihat kerusi yang arwah bapa selalu duduk pun saya rasa sayu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syafiq yang kini sedang menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA) berharap penglibatannya dalam Jam Misteri Atuk dapat membuka lebih banyak peluang dalam bidang lakonan.

Syafiq bergandingan dengan Wafariena.

Malah dia juga berhasrat meneruskan legasi bapanya sebagai anak seni.

“Jika boleh arwah bapa mahu saya terus menghidupkan nama Dharma dalam bidang seni dan saya harap menerusi karya ini orang akan mula nampak bakat saya,” katanya.

Jam Misteri Atuk mengisahkan seorang cucu perempuan yang masih merindui arwah datuknya. Segalanya berubah apabila dia menemui jam tangan lama milik datuknya yang secara misteri membawanya kembali ke masa lalu.

Selain Syafiq Dharma, filem pendek ini turut dibintangi Azhar Amir, Aleza Shadan, Wafariena Roslan, Kiky Hannah dan Aidern Shafiy.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain