suria

“Saya terkedu dan menggigil” - Anak Allahyarham Dharma Harun terkejut, kongsi detik akhir

Syafiq menitiskan air mata ketika berkongsi detik terakhir bersama arwah ayahnya.

ANAK kepada Allahyarham Dharma Harun, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman memberitahu kali terakhir dia berbual dengan bapanya adalah pada jam 8 pagi sebelum menghadiri kelas. 

Menurut Syafiq, 35, sudah menjadi kebiasaan untuk dia menyapa dan memaklumkan kepada bapanya sebelum meninggalkan rumah di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

“Pagi tadi dia suruh saya tutup penghawa dingin. Saya beritahu saya nak gerak awal sebab ada peperiksaan. 

"Saya cuma sempat cakap ‘saya gerak dulu, bas dah sampai’. Itulah kata-kata terakhir saya dengan ayah.

“Saya tak pernah rasa berat atau kurang ajar dengan dia. Saya faham dia dah berumur,” katanya kepada mStar ketika ditemui di Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Taman Sri Rampai.

Syafiq menggigil sebaik melihat bapanya yang sudah tidak bernyawa di rumah. 

Syafiq berkata dia hilang kata-kata apabila pulang ke rumah dan mendapati ayahnya sudah tidak bernyawa. 

“Selalunya kakak ada di rumah sebab saya bekerja dan selalu ada tugasan luar. Tapi hari ini kami berdua balik lewat.

“Nak kata serba salah itu ada sebab kami lambat balik. Bila tengok ayah terbaring di sofa ruang tamu, saya terkedu dan menggigil,” luahnya.

Dalam pada itu, Syafiq berkata dia akan memegang amanah arwah untuk menamatkan pengajiannya di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)

“Ayah sentiasa bangga dengan pencapaian pelajaran kami. Setiap kali saya dapat keputusan dekan, atau baru-baru ini kami dapat terbaik fakulti, dia memang gembira.

Allahyarham Dharma menghembus nafas terakhir pada usia 68 tahun. 

“Saya akan cuba habiskan pengajian seperti yang dia harapkan. Itu amanah ayah, dia nak tengok anak-anak dia berjaya,” katanya.

Jenazah Allahyarham akan dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur. 

Manakala akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Taman Selaseh, Kuala Lumpur pada pagi Rabu.

Untuk info Allahyarham merupakan antara pelakon lelaki popular era 1980-an. Antara filem terkenal yang pernah dibintanginya adalah Adik Manja (1980), Prebet Lapok (1979) dan Mekanik (1983).

 

Artikel Lain