SENIMAN popular era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid dilaporkan meninggal dunia sendirian di rumah di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada malam Selasa.
Berita duka itu dimaklumkan anak lelakinya, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, di akaun Instagram miliknya.
“Ayah saya meninggal waktu saya balik tadi pukul 9.10 malam,” tulisnya di Instastory.
Difahamkan ketika Al Syafiq pulang ke rumah dia mendapati tubuh badan bapanya sudah terbujur kaku dan segera menghubungi ambulans.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun.
Pada Julai lalu, mStar melaporkan keadaan Dharma merosot apabila berat badannya turun mendadak ke 45 kilogram (kg).
Difahamkan pelakon berusia 68 tahun itu menghidap pelbagai penyakit seperti asma, bengkak bahagian jantung dan paru-paru, gastrik serta mempunyai masalah tiroid.
Sebelum ini sekitar 2019 Dharma pernah mengalami serangan angin ahmar yang mengakibatkan pertuturannya terjejas.
ARTIKEL BERKAITAN: Dharma Harun merayu nak kerja, tak nak berharap pada sumbangan orang ramai lagi
ARTIKEL BERKAITAN: Anak Dharma Harun mohon tuan rumah bertimbang rasa, kongsi keadaan bapa semakin kurus… tak tergamak hantar ke rumah kebajikan
Berikutan kesan strok serta beberapa masalah kesihatan lain, daya ingatannya turut terjejas sekali gus menyebabkannya tidak lagi mampu bekerja.
Selain Syafiq, 36, Dharma juga dijaga anak perempuannya, Siti Qurratu Aini, 37, yang juga masih belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Untuk info Allahyarham merupakan antara pelakon lelaki popular era 1980-an. Antara filem terkenal yang pernah dibintanginya adalah Adik Manja (1980), Prebet Lapok (1979) dan Mekanik (1983).

Arwah mula mencipta nama dalam dunia lakonan pada tahun 1980 menerusi filem Adik Manja.
Pada 1992, Dharma melakar sejarah peribadi apabila diberi peluang beraksi dalam filem aksi Hollywood berjudul Fifty/Fifty, lakonan bersama Peter Weller yang juga pelakon utama filem ikonik Robocop.
Pada 1980, bapa kepada dua cahaya mata itu pernah melancarkan sebuah album solo berjudul Jika Kau Bermimpi Aku Disisimu, di bawah label WEA Records.
Album tersebut menampilkan lapan buah lagu berkonsepkan pop balada yang popular ketika itu, hasil susunan muzik oleh komposer terkenal seperti Ahmad Nawab dan Akbar Nawab.


