suria

“Rumah dalam keadaan gelap, cari ayah tengok sudah tiada”... Dharma Harun meninggal dunia sendirian, jenazah dibawa ke masjid

Jenazah Dharma di bawa ke masjid untuk memudahkan urusan pengebumian yang dijangka berlangsung esok.

SUASANA pilu menyelubungi keadaan kediaman Allahyarham pelakon Dharma Harun yang disahkan meninggal dunia sendirian di rumah pada malam Selasa.

Kira-kira 30 orang terdiri daripada rakan serta ahli keluarga Allahyarham dilihat berada di kediaman arwah yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Keadaan bertambah sebak apabila anak sulungnya iaitu Siti Qurratu Aini, 37, dilihat menangis tanpa henti bersebelahan jenazah bapanya.

Suasana pilu menyelubungi kediaman arwah Dharma. 

Difahamkan anak bongsu arwah, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, ketika ini berada di balai polis berhampiran untuk membuat laporan. 

Sementara itu, menurut rakan Syafiq iaitu Idham Adzha, 23, dia menerima panggilan sekitar jam 9 malam yang memaklumkan Allahyarham sudah tiada.

ARTIKEL BERKAITAN: Dharma Harun meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Dharma Harun mohon tuan rumah bertimbang rasa, kongsi keadaan bapa semakin kurus… tak tergamak hantar ke rumah kebajikan

Katanya, Syafiq dan kakaknya pulang bersama dan melihat keadaan rumah gelap.

"Dia balik rumah dalam keadaan gelap, cari ayah tengok sudah tiada. Telefon ambulans dan pakar perubatan sahkan sudah meninggal dunia.

"Sekarang Syafiq sedang buat laporan polis dan jenazah akan dibawa ke masjid pada malam ini," katanya kepada mStar.

Arwah meninggalkan dua cahaya mata yang masih melanjutkan pengajian di universiti. 

Menerusi perkongsian Syafiq di Instagram miliknya, jenazah Allahyarham akan dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur. 

Difahamkan urusan pengebumian akan berlangsung esok pagi. 

Untuk info Allahyarham merupakan antara pelakon lelaki popular era 1980-an. Antara filem terkenal yang pernah dibintanginya adalah Adik Manja (1980), Prebet Lapok (1979) dan Mekanik (1983).

 

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia