Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga pelakon veteran Dharma Harun Al Rashid yang meninggal dunia pada Selasa malam.
Fahmi dalam perkongsian di akaun Instagram miliknya menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang berkeperibadian lembut, bersahaja serta dihormati ramai.
"Saya berdukacita menerima perkhabaran bahawa seniman Dharma Harun Al Rashid telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.
Allahyarham Dharma meninggal dunia sendirian di rumah pada malam Selasa.
"Pertemuan saya dengan Allahyarham pada majlis penyampaian sumbangan raya kepada artis veteran di IPPTAR (Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak) awal tahun ini masih segar dalam ingatan.
"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman," katanya.
Beliau turut mendoakan seluruh keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan yang tersayang.
ARTIKEL BERKAITAN: Dharma Harun meninggal dunia
ARTIKEL BERKAITAN: “Rumah dalam keadaan gelap, cari ayah tengok sudah tiada”... Dharma Harun meninggal dunia sendirian, jenazah dibawa ke masjid
Terdahulu, berita pemergian Allahyarham dikongsikan oleh anak keduanya Muhammad Al Syafiq, 36, menerusi satu hantaran di Instagram.
Pada 2019, Allahyarham pernah diserang angin ahmar yang menjejaskan pertuturan, dan kesan strok serta penyakit lain turut menurunkan daya ingatannya sehingga beliau tidak lagi mampu bekerja.
Pada Februari 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Setiausaha Politik beliau Datuk Ahmad Farhan Fauzi, menyampaikan sumbangan kepada pelakon popular era 1980-an itu untuk membantu urusan hariannya.


