suria

Sharnaaz Ahmad Masih Pertimbang Tawaran Filem Selepas Keputusan Bersara

Sharnaaz Ahmad.
Sharnaaz Ahmad.

SHAH ALAM: Pelakon Sharnaaz Ahmad mengakui masih mempertimbangkan beberapa tawaran filem biarpun sudah mengumumkan untuk mengundurkan diri daripada bidang lakonan selepas selesainya drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta.

Sharnaaz, 26, bagaimanapun berkata, dia belum membuat sebarang kata putus sama ada menerima tawaran tersebut atau tetap dengan keputusan untuk berehat daripada industri.

"Mungkin ini adalah drama terakhir saya sebelum mengundurkan diri sementara daripada industri ini, saya ingin buat yang terbaik.

"Ada beberapa projek yang datang untuk filem, namun ianya masih dalam pertimbangan lagi memandangkan keputusan saya untuk berehat dahulu selepas drama ini, susah nak cakap buat masa ini, kita tengok macam mana nanti," katanya ketika ditemui selepas majlis bertemu peminat drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta, di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Ahad.

Tambah Shaarnaz, buat masa ini, dia hanya fokus untuk memberi yang terbaik kepada drama terbitan Astro tersebut.

Katanya, dia enggan mengulas panjang tentang keputusan persaraan itu sebelum drama bersiri 40 episod itu berakhir.

"Saya akan tetap akan berehat sementara daripada industri kerana terlalu letih dengan apa yang berlaku dan kontroversi yang menimpa.

"Saya juga tidak menjangkakan bila untuk kembali semula jika benar-benar mengambil keputusan untuk bersara," katanya.

Dalam pada itu, Sharnaaz berkata dia tidak berharap untuk mengecapi populariti seperti yang dicapai hari ini berulang kembali jika dia mengambil keputusan berehat sementara daripada lakonan.

"Saya percaya kepada Allah dan apa yang dia beri pada saya. Saya berada dalam industri ini bukan kerana untuk mendapat populariti, tetapi mencari rezeki.

"Pada saya cukuplah dapat membanggakan ibu bapa itu sudah memadai" katanya.

Drama rantaian 40 episod ini diadaptasi daripada sebuah novel popular karya E-Man Sufi dan diarahkan Jamal Khan. Siarannya bermula pada 9 Disember lalu, setiap Isnin hingga Rabu jam 10 malam di Astro Mustika (saluran 134).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain