suria

Menang Banyak Anugerah, 2 Tahun Tiada Tawaran – Syafie Naswip

Syafie Naswip
Syafie Naswip

SERDANG: Pelakon Syafie Naswip mengakui kejayaannya meraih beberapa anugerah besar dalam industri lakonan tidak banyak membantu kerjaya sebagai pelakon.

Syafie atau nama sebenarnya Mohammad Syafie Naswip, 21, berkata, dia pernah berasa putus asa kerana tidak mendapat sebarang tawaran berlakon selama dua tahun sebelum ditawarkan untuk membintangi filem Songlap pada 2011.

"Bagi saya menang anugerah hanya untuk profil diri sahaja dan ia tidak memberi kesan langsung kepada kerjaya saya terutama tawaran berlakon. Saya perlu kerja keras seperti pelakon-pelakon baru yang lain juga.

"Pernah satu ketika saya rasa putus asa kerana tiada sebarang tawaran sehingga mengambil keputusan untuk sambung belajar," katanya kepada mStar Online pada majlis pelancaran filem Gangsterock, di Hotel Wellnes Mines, di sini, Isnin.

Pelakon yang popular dengan watak Mukhsin itu pernah memenangi lima anugerah iaitu Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2007, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM22 & FF25) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Anugerah Seri Angkasa.

Bagaimanapun, kata Syafie, selepas kejayaan filem Songlap iaitu lakonan bersama Shaheizy Sam, namanya mula kembali semula mendapat perhatian industri.

"Alhamdulillah kehidupan sekarang semakin baik lepas filem Songlap, ramai yang sedar kewujudan saya semula dalam industri. Walaupun tidak terlalu banyak tetapi cukuplah untuk menanggung keluarga," katanya.

Dalam perkembangan lain, Syafie turut terlibat dalam filem Gangsterock yang akan mula menjalani penggambaran pada 11 Januari ini.

Tambahnya, watak antagonis bernama Ringgo itu juga mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap imej 'budak baik' yang sering dibawanya.

"Saya harap orang nampak bakat lakonan saya pada sisi lain pula, selama ini penonton hanya melihat saya sebagai seorang lelaki yang baik sahaja," katanya.

Filem arahan Sofi Jikan itu turut dibarisi pelakon ternama seperti Aqasha, Harun Salim Bachik, Sharifah Amani, Namron, Khir Rahman dan Izara Aishah.

Artikel Lain